Thursday, December 11, 2008

Antara Kena TANGGUNG dan Kena JAWAB..

"Kito jange bui(beri) bola tanggung, nanti kan kena smih(smash) sedap," teringat kata-kata sahabatku dalam teguran bila mana berlaku dalam satu peristiwa dahulu. Ini maksudnya jangan kita berani untuk berada dalam kena TANGGUNG kalau kita tidak bersedia dalam keadaan pandai menJAWAB.


TANGGUNG + JAWAB


Apabila berada di dalam bidang terjun mengajar ini, selalu dan sentiasa berada di dalam macam bola TANGGUNG. Bukan kerana tidak pandai menJAWAB akan tetapi situasi yang memaksa untuk berada dalam keadaan semacam bola TANGGUNG. Sentiasa kena tegur, sentiasa kena marah dan sentiasa kena perli. Tetapi lama kelamaan ini nampak best je.hehehe..


Pandai menJAWAB satu hal, tapi satu hal yang penting adalah biarlah kita menJAWAB apabila dalam keadaan yang memerlukan. Janganlah kita menJAWAB sebarangan sedangkan banyak hati kawan, sahabat, ketua dan siapa-siapa sahaja yang dalam sekeliling kita ada terasa. Sama-sama kita renungkan..

Rakan sekerja yang sempoi..

TANGGUNGJAWAB

Amat sesuai, ambillah jalan untuk jadi lebih berTANGGUNGJAWAB. Insyaallah apabila kita berada dalam semacam bola TANGGUNG pun kita tahu ini tanggungjawab kita yang menyebabkan berlaku sedemikian. Jika kena menJAWAB pun, kita tahu kita menjawab kerana atas dasar keperluan bukan kerana sebarangan. Dan kerana TANGGUNGJAWAB juga lah kita boleh dan perlu untuk menJAWAB.

Dan ingatlah pesan Nabi kita tentang tanggungjwab. Bahawasanya tanggungjawab akan sentiasa diperhatikan dan akan dipersoalkan oleh Maha segala Maha di akhirat nanti..


Abdullah bin Umar r.a. mengkhabarkan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap pemimpin bertanggung jawab atas kepemimpinannya. Imam itu pemimpin dalam keluarganya, bertanggung jawab tentang kepemimpinannya. Laki-laki itu pemimpin, bertanggung jawab tentang kepemimpinannya. Wanita itu pemimpin dalam rumah tangganya, dan bertanggung jawab tentang kepemimpinannya. Khadam itu pemimpin bagi harta majikannya, bertanggungjawab terhadap kepemimpinannya. Kata Abdullah, agaknya Nabi saw. juga bersabda: "Laki-laki itu pemimpin bagi harta-benda ayahnya dan bertanggungjawab terhadap kepemimpinannya. Kamu seluruhnya adalah pemimpin, bertanggungjawab atas kepemimpinannya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0482.

(rujukan dari http://www.tmsk.uitm.edu.my)

Oh PTPTN...

Semalam sudah sampai sepucuk surat yang amat menggerunkan. Surat dari PTPTN. Rasanya semua orang dah tahu apa maksud dari singkatannya. Cukup 6 bulan selepas habis belajar, surat ini akan sampai. Maka begitu jugalah mukmin kali ini.


Pinjam?

Nama pun dah pinjam, mesti kena bayar balik kan. Cuma benda ini sudah lama di bisingkan, sudah lama digegerkan, sudah lama dibahaskan. Namun begitulah. Apabila orang sama yang berada di tempat yang sama, maka ia sememangnya tidak dapat diubah. Sudah di tetapkan cara pembayaran PTPTN ini riba namun mahu buat macam mana..semoga Allah mengampuni dosa-dosa hambaMu ini.


Jika dikira pinjaman sebenar RM28000, namun bila dicampur 3 % di atas baki akhir maka sebanyak RM 35000++ pasti kena bayar. Selama 15 tahun, subhanallah satu jangka masa yang panjang dan lama. Semoga kehidupan nanti akan sentiasa dipermudahkan dan dimurahkan rezeki dalam meneruskan pembayaran apa yang dipinjam.

Oh PTPTN...

Oh PTPTN...

Oh PTPTN...

Saturday, December 06, 2008

Penonton Bola Sepak VS Pengurus Bola Sepak

"Apalah Ronaldo ni, sepak la bola tu ke kiri gol!" "Kepala dia botak sangat, licin. Sebab tu tanduk bola naik ke atas.""Bo**h betul Ballack tu, main macam budak kampung!" "Nistelrooy tu patut masukkan 4 gol. Peluangnya banyak dipersiakan."



Demikianlah dialog-dialog biasa penonton bola sepak musim Euro 2008 ini. Maka ramailah yang "berqiamullail" di kedai-kedai nasi kandar dan sebagainya, bersengkang mata menonton perlawanan-perlawanan pasukan pujaan masing-masing. Kekadang, penulis tersenyum sendirian melihat pelbagai gelagat yang berlaku. Ada yang menepuk meja makan hingga tertumpah teh tarik yang ditempah. Sehingga terkejut dan takut pula pelayan yang hendak mengambil tempahan. Ramailah pada ketika itu "pemain-pemain handalan" yang bukan berada di bangku simpanan, tetapi bangku penonton. Penulis bukannya anti bola sepak atau "mengharamkan" menonton perlawanan bola sepak di stadium atau melalui televisyen tetapi sekadar berkongsi pandangan berkaitan situasi yang berlaku.


"Nasir, Loqman, anta dua orang ni pernah tonton bola di stadium?" "Tak pernah", jawab mereka berdua ringkas kepada penulis. Demam Euro 2008 mengingatkan penulis dialog dan peristiwa ini setahun lalu ketika penulis keluar makan bersama dua orang adik junior sekolah lama dahulu selepas berusrah. Kebetulan malam itu kami makan di restoran berhampiran Stadium Darul Aman dan kebetulan juga pada malam tersebut, pasukan Hijau Kuning terlibat dalam perlawanan. Oleh kerana selepas kami menjamu selera pada malam itu, perlawanan berbaki lima hingga sepuluh minit, maka pintu stadium telah dibuka untuk memberi ruang kepada penonton-penonton yang mahu pulang awal. Justeru, penulis mengambil peluang mengajak kedua-dua mereka mendapat pengalaman baru untuk melihat suasana stadium "secara percuma"ketika perlawanan bola sepak berlangsung. Penulis memohon keampunan daripada Allah, moga-moga ajakan penulis pada malam itu tidak termasuk yang disebut oleh Rasulullah sebagai "man sanna sunnatan sayyiatan…."


Setelah beberapa minit menonton perlawanan tersebut, pengadil meniupkan wisel menandakan masa perlawanan telah tamat. Kami segera keluar untuk mengelakkan kesesakan lalulintas yang terpaksa dihadapi andai kami terlewat nanti. Dalam perjalanan ke kenderaan, kami ketawa mengenangkan suasana penonton bola sepak pada malam itu yang seolah-olah lebih hebat dari Nelson San Martin, Marlon Alex James, Hasmawi Hassan dan sebagainya sehingga kekadang kami pun hampir terpengaruh dengan mereka, mengkritik, marah dan sebagainya. Begitulah lumrah penonton bola sepak tidak kira di stadium atau di hadapan televisyen.






Mengkritik


Tidak dinafikan, mengkritik adalah suatu keperluan sebagai "check and balance". Tetapi perbandingan yang dimaksudkan penulis di sini adalah situasi mengkritik bagi mereka yang berjiwa pengurus bola sepak dan pengkritik yang berjiwa penonton bola sepak. Dialog-dialog di awal penulisan ini melihatkan bagaimana situasi pengkritik yang berjiwa penonton bola sepak. Berbeza dengan pengurus bola sepak, membuat kajian, bertanya, melihat kepada situasi dan berhati-hati dalam dalam mengkritik pemainnya. Pengurus bola sepak tidak akan mengkritik secara membuta tuli kerana mungkin kritikan sedemikian akan melemahkan lagi semangat juang anak buahnya. Mungkin persembahan hambar pemainnya kerana kecederaan, letih dan sebagainya. Mengkritik dengan mengambil kira peluang pemain untuk memberi penjelasan dan mengkritik untuk memajukan pasukan.


Begitulah dalam berorganisasi. Sama ada kritikan pemimpin sesama pemimpin, kritikan ahli kepada pemimpin atau kritikan pemimpin kepada ahli. Kritikan perlu melihat kepada situasi dan kondisi. Kritikan mengikut adab-adab yang diajar oleh Islam. Sebagai contohnya, kritikan untuk menambah baik gerak kerja, bukannya merendah-rendahkan ideal orang lain dan menjatuhkan maruahnya. Walaupun para sahabat dan ulama' silam berbeza pandangan, mereka tidak mengkritik pandangan orang lain dengan sewenag-wenangnya. Sebagaimana kata-kata Abu Hanifah An-Nu'man :

" Pendapat aku betul, pendapat kamu m ungkin salah. Pendapat kamu betul, mungkin pendapat aku salah".

Andai kata akhlak sebegini diamalkan sesama kita pada hari ini dengan mengenepikan keegoan diri, dendam peribadi dan mengkritik dengan rasional, Insyaallah gerak kerja sesebuah organisasi akan lebih lancar dan berkesa. Satu hari, Saidina Ali didatangi oleh seorang lelaki yang terus mengkritiknya, "mengapa zaman kepimpinan kamu lebih banyak masalah yang berlaku berbanding zaman kepimpinan sebelum kamu?". Jawapan mudah Saidina Ali, "sebab ramainya orang seperti kamu". Berapa ramai manusia hanya hebat mengkritik, tetapi tidak boleh membantu dalam memajukan organisasi dan membantu gerak kerjanya.


Idealistik dan realistik

Mungkin kekadang pandangan seorang penonton bola sepak nampak seperti sesuatu yang idealistik tetapi kurang realistik. Benar, mungkin sekiranya pemain itu menanduk ke kiri, bola akan masuk ke gawang gol tetapi situasi pada ketika itu mungkin juga tidak mengizinkan. Contohnya, pemain hampir jatuh ke kanan atau pemain tersebut ditolak oleh pemain pasukan lawan, maka keadaan dan kemampuan tidak mengizinkan. Maka, situasi, kondisi dan kemampuan perlu diambil kira sebelum sesuatu ideal itu diketengahkan. Bagi pengurus bola sepak yang baik, pandangan-pandangan yang idealistik serta modus opurandi yang realistik akan diketengahkan sekiranya perlu bagi memajukan pasukannya.

Begitulah dalam berorganisasi. Sekiranya terlalu banyak pandangan-pandangan yang terlalu idealistik tidak digabungkan dengan realistik, maka orang lain akan menjauhi kita dan lama kelamaan, pandangan-pandangan kita akan dibakul sampahkan dengan mudah walaupun ianya baik. Dengan erti kata lain, formula di bawah mungkin boleh diguna pakai :


IDEALISTIK + REALISTIK = BOMBASTIK

IDEALISTIK – REALISTIK = RETORIK



Proaktif

Penulis begitu tertarik mendengar huraian Ustaz Hasrizal Jamil di Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi beberapa minggu yang lalu berkaitan sikap "proaktif" dengan erti kata lain, "tekan butang pause sebelum bertindak". Dalam situasi penonton bola sepak, marah menjadi jalan mudahnya apabila perlawanan bola sepak tidak sebaik yang diinginkan. Tersenyum kita dibuatnya apabila kekadang bukan sahaja pemain yang dimarahnya, bahkan pengadil juga menjadi mangsa. Paling menyedihkan, pengutip bola juga menjadi mangsa maki hamunnya. Berbanding seorang pengurus bola sepak, sebelum sesuatu kenyataan hendak dikeluarkan kepada pemainnya, beliau akan berfikir dengan rasional kerana mungkin sesuatu kata-kata itu boleh menurunkan motivasi pemain-pemainnya. Sesuatu masalah itu akan di"brainstorming" kan terlebih dahulu dengan jurulatih dan pemain-pemain untuk menyelesaikannya.


Begitulah dalam berorganisasi, sikap marah dan terburu-buru lebih menjadi alternatif berbanding proaktif. Sikap bertindak sebelum berfikir dengan baik akan membawa keputusan yang kurang baik. Konsep syura yang diamalkan oleh Rasulullah dan para sahabat terbukti membawa kesan yang terbaik. Walaupun berbeza pandangan, sesuatu perkara dan masalah di"brainstorming" kan sehingga mendapat keputusan terbaik. Bahkan mereka menghormati keputusan yang dibuat dan bersungguh-sungguh melaksanakannya walau berbeza pandangan peribadi. Masalah yang berlaku adalah sikap terburu-buru dan marah kerana dendam peribadi yang menjadi pilihan dikalangan kita. Akhirnya, sesuatu mesyuarat dan masalah tidak di"brainstorming" kan dengan baik tetapi di"blaimstorming" kan , tanpa mengikut adab-adab dan memikirkan kesan tindakan yang diambil.


Jiwa Da'ie vs jiwa Qadhi

"Kita adalah pendakwah, bukan penghukum."


Demikianlah kata-kata yang pernah disebut oleh Hassan Hudhaibi, Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin kedua selepas Hassan Al-Banna. Kata-kata seperti "bo**h", "main macam budak kampung" dan sebagainya tidak harus dijadikan hukuman kepada orang lain, akan tetapi jiwa pendakwah perlu wujud dalam diri kita masing-masing. Qadhi di sini bukan bermaksud Qadhi-qadhi yang dilantik di setiap daerah atau hakim-hakim yang mengikut lunas-lunas Islam tetapi merujuk kepada sikap yang suka menghukum orang lain tanpa usul bicara dan mengikut hawa nafsu.


Inilah antara sikap yang mengeruhkan ukhwah dan melemahkan organisasi apabila kita dengan mudah menghukum seseorang itu lemah, tidak baik, tidak wala' dan pelbagai gelaran-gelaran yang tidak sedap didengar terutamanya pada telinga tertuduh. "Si fulan tu tidak faham Fiqh Al-Aulawiyat ke?" soal dan gelar kita dengan sinis. "Si fulan tu lemah dalam memimpin. Benda mudah macam ni pun tak boleh fikir", hukum kita dengan mudah. Kita lebih berminat menghukum orang lain tanpa cuba merasai perasaan dan keaadaan orang lain ketika itu seolah kitalah yang hebat, kitalah hebat dalam management dan kitalah yang lebih faham. Fiqh Al-Aulawiyat dan Fiqh Al-Muwazzanat pula diputuskan dengan mudah serta mengikut hawa nafsu. Sedangkan jiwa-jiwa sedemikian menjadi barah dalam berukhwah dan berorganisasi.

Lihat sahaja jiwa da'ie yang ada pada Rasulullah. Ada ketika baginda menyatakan jihad adalah sebaik-baik amalan. Dalam situasi yang lain pula, ketika seorang sahabat datang bertemu baginda untuk menyatakan kesediaan beliau untuk pergi berjihad tetapi baginda menyuruhnya pulang menjaga ibunya. Adakah Rasulullah tidak faham Fiqh Al-aulawiyyat dan Fiqh Al-Muwazzanat? Jawapapannya sudah pasti tidak kerana baginda tidak mudah menghukum dengan akal yang pendek seperti kita begitu mudah menghukum Fiqh Al-Aulawiyyat dan Fiqh Al-Muwazzanat.

"Hikmah" dalam berdakwah adalah sesuatu yang subjektif. Penulis tertarik dengan penafsiran As-Syahid Syed Qutub dalam tafsirnya yang terkenal iaitu Tafsir Fi Zilal Al-Quran berdasarkan ayat :

Maksudnya :

Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yng baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang egkau serukan itu) engan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.(An- Nahl : 125)


Menurut Syed Qutub, hikmah ialah dengan melihat kepada keadaan sasaran dan suasana mereka, kadar yang perlu supaya tidak memberatkan mereka dan tidak menyusahkan mereka sebelum mereka bersedia. Ia juga termasuk cara penjelasan dan kepelbagaian mengikut keperluan dan jangan sekali-kali berdasarkan semangat yang boleh terkeluar daripada hikmah.
Kekadang, apabila kita terlalu melayan persepsi diri sendiri semata-mata, kita telah menjadi punca perpecahan secara tidak sedar dan merebakkan virus-virus ukhwah yang akan merosakkan organisasi atau persatuan secara tidak sengaja.


Konklusi


Penulis menyeru kepada diri sendiri yang dhaif ini serta sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama kita hayati cetusan pandangan ini. Moga-moga kita sama-sama mampu memperbaiki dan mengubah diri kita menjadi insan yang berjiwa pengurus bola sepak yang baik daripada menjadi insan yang sekadar berjiwa penonton bola sepak. Salah satu sikap pengurus yang baik ialah sentiasa bersama dengan pemain-pemainnya walaupun permainan mereka belum sampai tahap memuaskan kerana tugasnya ialah memajukan pasukan tidak seperti penonton bola sepak yang menyokong ketika pasukan pilihannya menang dan mencemuh dan membenci semata-mata ketika pasukan tersebut kalah.


Sekali lagi ditegaskan di sini, cetusan ini hanya sekadar analogi mudah, bukan merendah-rendahkan penonton dan peminat bola sepak atau anti kepada sukan bola sepak.


Wallahua'lam, wassalam,


Mohd Idris Bin Mohd Yussoff,

Universiti Kebangsaan Malaysia .


p/s-memang betul2 kena realistik..dan idealistik dalam merancang.

Monday, December 01, 2008

Katakan YA Pada….

Awak sudah siap kan laporan kehadiran untuk minggu ini? Awak sudah siapkan pathway student untuk mentee awak? Sudah berapa kali diberi masa untuk semua agar dapat siapkan fail pengajaran dengan segera..mahu diberi masa lagi ke?

Boleh datang ke nanti untuk majlis makan malam kolej kat Shah Alam? Dah beli tiket ke semua? Ini musim banjir kat Kelantan, mahu tak mahu kena pergi juga ke...?

Dengan senior yang hebat..


Pelbagai soalan lagi yang akan timbul nanti, yang pasti Disember 2008 ini akan menentukan kepastian untuk mukmin terus dapat berjuang atau tidak dalam bidang pengajaran. Kalaulah boleh katakan YA pada soalan itu semua..


Selamat Datang Disember 2008 sambil menunggu Tibanya Januari 2009 yang pasti akan lebih bermakna..

Katanya Kau Seorang Pejuang????

Katanya kau seorang pejuang
tapi ikhtilat mu tidak dijaga
Katanya kau seorang pejuang
tapi kau masih assobiyyah
Katanya kau seorang pejuang
tapi ibadah mu dan amalanmu masih seperti dahulu
Katanya kau seorang pejuang
kau masih layan tv , movie dan game dgn alasan nak release tension
Katanya kau seorang pejuang
cinta dunia masih menempati hatimu berbanding cinta allah dan
rasulNYA
Katanya kau seorang pejuang
kau sebok update isu semasa berbanding AL QURAN 1 juz sehari
Katanya kau seorang pejuang
kau tak pun berdakwah
Katanya kau seorang pejuang
kau masih layan muzik-muzik yang lagha
Katanya kau seorang pejuang
tapi sering beralasan untuk dakwah dan jihad
Katanya kau seorang pejuang
kau lebih bela jemaah berbanding islam
Katanya kau seorang pejuang
kau masih ada karat jahiliyyah dihatimu tanpa usaha membuangnya
Katanya kau seorang pejuang
mutabaah ibadahmu sangat menyedihkan
Katanya kau seorang pejuang
ukhuwahmu hanya untuk kepentinganmu bukan kepentingan ummat
Katanya kau seorang pejuang
kau sering tinggal QIAMULLAIL berbanding mengamalkannya
Katanya kau seorang pejuang
berapa banyak ummat yang kau ziarah?
Katanya kau seorang pejuang
kau sering menyalahkan orang lain berbanding diri sediri akibat
lalai kerana tidak berdakwah
Katanya kau seorang pejuang
kau lebih banyak berdakyah berbanding berdakwah
Katanya kau seorang pejuang
tapi masa rehatmu lebih banyak berbanding masa berdakwah
Katanya kau seorang pejuang
tapi untuk berinfaq saja kau sudah kikir
Katanya kau seorang pejuang
hidupmu masih senang lenang dan mewah
Katanya kau seorang pejuang
kau sudah menganggap dirimu mulia sedangkan kau harus lebih tawadhuk
Katanya kau seorang pejuang
kau jarang sekali menangis untuk bertaubat
Katanya kau seorang pejuang
kau masih seronok dengan maksiat di sekitarmu
Katanya kau seorang pejuang
kau tidak rasa apa-apa bila berbuat maksiat
Katanya kau seorang pejuang
kau masih malas mencari ilmu agamamu
Katanya kau seorang pejuang
kau jarang sekali muhasabah dirimu sedang sering menasihati orang
lain
Katanya kau seorang pejuang
kau masih berpakaian tidak senonoh
Katanya kau seorang pejuang
namun akhlakmu tidak ada apa yang berubah
Katanya kau seorang pejuang
namun kau sering lalai dan leka berbanding insaf dan sedih
Katanya kau seorang pejuang
kau lebih sibuk bersama keluarga berbanding bersama ummat
Katanya kau seorang pejuang
kau masih pentingkan dirimu berbanding kepentingan ummat
Katanya kau seorang pejuang
kau masih ragu dengan apa yang kau infakkan
Katanya kau seorang pejuang
hafalanmu saja masih jauh lagi
Katanya kau seorang pejuang
kau masih terasa asing dengan pekataan BERDAKWAH apatah lagi
melakukannya
Katanya kau seorang pejuang
kau masih mengumpat dan mengeji orang
Katanya kau seorang pejuang
kau masih berbelah bagi antara dakwah dan dunia
Katanya kau seorang pejuang
kau masih seperti dahulu
Katanya kau seorang pejuang......

p/s-ambil dari senior Abu Nasih yang ku kasihi...sama-sama untuk aku dan kita renungkan..

Saturday, November 29, 2008

Kenapa Tak Mahu Pulang?

"Apa khabar bro? Ada berapa tahun lagi nak habis belajar? Dah lama mengembara ni, tak ingat ke Malaysia ni,hehe..," tanya satu soalan mukmin pada seorang jiran menggunakan friendster. Dulu masa kecil-kecil dia kawan rapat pada abang kedua dan uniknya dia walaupun badannya nampak kecil namun jiwa dan semangatnya besar. Umurnya 5 tahun tua dari mukmin tapi kami juga antara kawan yang rapat.

Lambat lagi

"Man lambat lagi nak balik, sambung setahun lagi kat sini. Nak sambung kat Universiti Cairo pula. Alang-alang dah sampai sini, baik kita terus mengembara dan kalau boleh mahu juga kerja kat sini," jawabnya pula.

Bila dengar hal ini, sekali mukmin terfikir kenapa tak mahu pulang? Adakah kalau pulang tiada lagi harapan untuk ke sana lagi. Atau macam mana?

Pulangla..

Kadang-kadang sedih juga kepada kerajaan Malaysia sehinggakan terpaksa kena pujuk pelajar perubatan kita yang bekerja di luar negara seramai 236 orang malah ditaja pula JPA untuk pulang berkhidmat di Malaysia. Bayangkan hampir Ringgit Malaysia satu juta kerajaan habiskan untuk seorang pelajar perubatan masakan tidak mahu pulang untuk berkhidmat di Malaysia. Sedarlah, duit kerajaan itu bermaksud hasilnya juga datang dari duit rakyat. Bila duit rakyat maka berbaktilah jua pada rakyat Malaysia. Barulah adil namanya...




Mukmin minat sangat cerita Dr.House ni..

Bukan mahu salahkan


Post ini tidak mahu salahkan pelajar perubatan semata-mata. Sama juga pada kita (baca= siapa-siapa yang sedang belajar mahupun sudah habis belajar) untuk sama-sama berbakti semula pada rakyat setelah kita mengambil duit pinjaman sama ada berbentuk PTPTN, JPA, MARA ataupun apa-apa yang berkaitan dengan duit yang hasilnya dari rakyat. Berbaktilah, tidak kisahlah dengan apa cara sekalipun, yang penting kita usaha untuk berbakti. Sama-sama renungkan..

Thursday, November 27, 2008

Satu Kerja Untuk Hasilkan Banyak Tekanan

Baru hampir 4 minggu setelah semester baru bermula. Semester November 2008 memberikan banyak kenangan dan kengerian yang sememangnya kalau digunakan dengan baik mesti akan dapat hasil yang baik.

Tekanan?

Dulu pernah dipostkan dalam saffmukmin tentang kerja. Emm..pernah ditekankan kalau kerja mahu dibuat perlu kepada perancangan. Rasanya sekarang kalau ada perancangan pun mahu diikut pasti memerlukan kekuatan. Betul lah kata Imam Hassan Al-Banna tentang tanggungjawab. Sememangnya tanggungjawab lebih banyak daripada masa yang ada. Tanggungjawab yang kalau dibuat dengan baik, masa yang ada tidak mencukupi. Jadi kalau tidak ditunaikan tanggungjawab maka barulah tekanan yang bertimbun akan datang. Barulah tekanan akan muncul. Satu kerja boleh hasilkan banyak dan bertimbun tekanan.

Tekanan dari pihak pengurusan, tekanan dari mentor mentee, tekanan untuk melaksanakan pelbagai suruhan yang dirasakan macam tak perlu je, tekanan untuk bekerja tanpa cuti(sebab mukmin masih lagi kontrak,cuti tak banyak), kadang-kadang diri terpaksa buat-buat ceria dan gembira bila pulang bertemu mak ayah...




Saat keluar makan dengan rakan-rakan sekerja.
Waktu ni memang semua masih lagi dengan kurang tekanannya..


Jadi macam man
a?

Kiranya takkan mahu biar sahaja dengan tekanan, mahu tekanan merosakkan diri atau macam mana? Sekarang baru sahaja hendak masuk fasa untuk buat dua kerja, tapi tak tahu lah nanti macam mana tekanannya..

Macam mana sahabat? macam mana kawan-kawan? macam mana sekarang..

selalu orang kata tekanan itu biasa...bila sudah biasa dengan tekanan maknanya seseorang itu sudah mula untuk membiasakan diri dengan kejayaan..harap-harap benarlah..

kalau sudi bantu mukmin, amatlah dipersilakan...

*post ini ditulis ketika saat merasakan hidup ini adalah untuk kerja semata-mata dan bukan lagi bekerja untuk melaksanakan hidup..

Thursday, November 13, 2008

Rebut..Rebutlah Semua

Alhamdulillah, semalam banyak lagi ilmu baru dapat dituntut dalam meniti hari yang akan mendatang. Forum Nikah Tunai yang dibawa oleh panel-panel yang sememangnya bermain dengan banyak pengalaman, sangat memberikan kesan mendalam dalam hati ini.

Nikah Tunai

Rebut

Satu persatu dihuraikan oleh panelis yang dibawa khas sama ada yang tempatan mahupun import, sangat memberikan impak pada diri ini. Satu penegasan yang dibawa oleh Senator Mumtaz selaku panelis pertama yang sepatutnya kita sebagai muslim ambil penekanan iaitu mengenai pemilihan bakal isteri. Dibawa hadis nabi yang bermaksud:


Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw. bersabda: "Wanita dikahwini kerana empat hal: kerana harta-bendanya, kerana status sosialnya, kerana keindahan wajahnya, dan kerana ketaatannya kepada agama. Rebutlah wanita yang taat kepada agama, maka kamu akan berbahagia."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1588


Rebut bukan pilih. Senator Mumtaz sangat menekankan bahawa selaku orang Islam, muslimin mahupun muslimat boleh mengambil panduan ini untuk memilih bakal suami dan isteri. Ingat, mesti rebut bukan pilih. Bila pilih mungkin kita boleh untuk tidak membuat pilihan calon yang tidak taat beragama tetapi bila rebut mesti orang yang taat beragama itu yang patut kita ambil.Sama-sama kita fikirkan...


Alhamdulillah

Akhirnya, hajat mukmin tercapai untuk berjumpa dan bergambar dengan Ust Hasrizal. Malah dapat pula bonus untuk tandatangan pada bukunya yang baru dibeli. Orang lain dah lama beli tapi mukmin baru je nak baca,hehe..


Ust Hasrizal dan redhuan


p/s- semoga terus merebut untuk dapatkan mawaddah dan rahmatNya..

Wednesday, November 12, 2008

Kami Sayang Kamu

Mukmin mewakili adik beradik kepada ayah-ayah mereka, Zaiem, Akram, Dziharuddin dan Nur Amaleena, KAMI sayang KAMU semua walaupun kamu semua tidak berada di Kelantan buat masa ini. Insyaallah kita akan jumpa satu masa nanti. Mukmin lagi-lagi rindu semua!!




1) Aisya Safia (26/08/2007)




2) Hadi Marzuqi (9/9/2007)





3) Muhammad Amir Safwan(29/9/2008)







4) Irham Razin(9/11/2008)

p/s- we all love you...

Jauh Perjalanan Lagi Luas Pengalaman

"Macam mana kita ni, jadi tak nak gi ni? Macam tak jadi je," soal seorang kawan mukmin. Semua macam tidak sabar untuk ke sana nanti. Mungkin ada yang pertama kali pergi namun mungkin ada juga yang sudah pergi banyak kali. Emm..bagus juga dapat pergi bersama-sama nanti.


Pengalaman Baru

Bila sampai lambat untuk naik kereta api untuk memulakan perjalanan jauh kali ini, kalut juga kami. Alhamdulillah kami sempat juga. Dari Kelantan kami ke Kuala Lumpur dengan keretapi yang memang mencabar perjalanannya bagi mereka yang tak biasa. Boleh pening juga,hehe..


Khai dan Mukmin

Hampir setengah dari 24 jam dalam perjalanan, kami sampai ke KL Sentral. Maka terus dicari bas atau apa jua pengangkutan untuk ke sana. Alhamdulillah semua berjalan seperti dirancang. Tepat tengahari kami sampai kesana dengan keadaan untuk merehatkan minda yang serabut dengan tesis tahun akhir, ward round dan macam-macam lagi. Yang penting kami dapat naik kereta kabel. Pada yang gayat sila tutup mata,hehehe..


Fuh....tinggi...


Satu apartment dengan sewaan RM170 satu hari satu malam cukup murah bagi kami yang datang dengan jumlah yang agak ramai. Sejuk, luas dan selesa..perghhhh. Sangat best dapat datang ke sini.


Letih dan gembira...sebab baru sampai


A
khirnya, kami sampai juga. Masa pertama mahu datang ke sini berapa kali fikir boleh ke datang ke sini. Tapi seorang senior pernah menasihatkan kita bukan datang untuk kerja itu. Kami datang untuk mengenal tempat ini dan masa yang sama berusaha mengajak untuk lebih dekat padaNya. Yang penting, sepanjang tiga hari perjalanan kami, banyak pengalaman baru dan perjalanan ditempuh waima ini baru dalam Malaysia.


Alhamdulillah..

Sekali lagi

Minggu ini, ramai sahabat mukmin terbang ke Malaysia Timur untuk meneruskan satu lagi episod baru dalam kehidupan mereka. Ada yang gembira dan ada juga yang berduka. Yang penting mukmin doakan mereka sentiasa berjaya dalam kerjaya dan hidup mereka. Dan paling penting ingat semakin jauh kita berjalan semakin jauh dan dalam pengalaman kita. Untuk sahabat karibku sejak sekolah rendah lagi, Mohd Fikri Ismail seorang cikgu di Sri Aman, Sarawak semoga terus berjaya!!!!(terima kasih sebab sudi belanja Cim Cun,hehe)

Cikgu Fikri (baju merah) dan Bujim tengah layan Cim Cun

Wednesday, November 05, 2008

Selamat Hari Lahir Ibu

Tiada apa yang dapat nak dirungkai dalam menulis hal ini. Kalau mahu ditulis tidak terkira dan terbalas terlalu banyak jasa dan pengorbanan ibu.

Tanggal 5 November, ku ucapkan Selamat Hari lahir buat ibu, mami, mak, apa-apa yang sesuai nama yang bagus dan baik untuk seorang ibu. Selamat hari lahir yang ke 55. Semoga sentiasa sihat dan sejahtera hendaknya bersama abah anak, menantu dan juga cucu-cucunya..sekarang tengah tak sabar tunggu cucu baru,hehe..

Mak bersama ayah


Ku perdengarkan lagu yang sentiasa segar di minda tentang ibu…


Buatmu Ibu


Ibu bergenang air mataku
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan
Bagaikan laut yang tak bertepian

Biarpun kepahitan telah engkau rasakan
Tak pula kau merasa jemu
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu
Dari kecil hingga dewasa

Hidupmu kau korbankan
Biarpun dirimu yang telah terkorban
Tak dapat kubalasi akan semua ini
Semoga Tuhan memberkati kehidupanmu ibu

Ibu kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amatlah aku harapkan
Kerana disitu letak syurgaku

Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan

Kasihanilah Tuhan ibu yang telah melahirkan diriku
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku
Moga bahgia ibu di dunia dan di akhirat sana...

Kasih sayangmu sungguh bernilai
Itulah harta yang engkau berikan
Ibu... dengarlah rintih hatiku untukmu ibu

AEMAN


SELAMAT HARI LAHIR IBU...

Antara Hitam dan Putih

Hitam biasanya merujuk kepada sesuatu yang tidak baik. Sesuatu yang boleh dikatakan ada unsur negatif. Tapi putih pula selalu dirujuk kepada sesuatu yang baik. Sesuatu yang cantik dan positif. Hitam dan putih selalu tidak boleh bersama..


Hitam Putih-1?

Pemilihan Presiden Amerika tahun ini sungguh luas kempennya. Boleh kita katakan satu dunia mengikuti perkembangannya. Yang hitam dan juga yang putih.Yang hitam, dari sebuah tempat di Jepun, Obama hinggakan ke Kenya semuanya memberikan sokongan padu. Dari Indonesia hingga ke beberapa tempat lain semuanya penuh dedikasi membantu untuk memenangkan seorang calon yang dikatakan hebat iaitu Barack Obama. Kenapa kita perlu sangat tahu tentang pemilihan ini? Kerana presiden Amerika lah yang sentiasa akan porak perandakan dunia. Kerana merekalah yang akan kucar kacirkan dunia. Yang lemah akan dikatakan kuat. Yang dah kuat akan sentiasa menindas yang lemah. Jangan pula lupa pada yang kulit putih untuk calon Presiden mereka kali ini, John MacCain. Sesiapun boleh jadi tak seperti yang kita tengok sekarang. Setakat post ini ditulis, Obama telah sah menjadi Presiden Amerika yang ke 44.


Hitam Putih-2?

Bila baru tengok gambar yang diambil beberapa minggu lepas, nampak sangat mukmin ini hitam juga orangnya,hehe..yang putihnya anak sedara mukmin. Terpaksalah mukmin jadi watak antagonis bila perlu selepas ini,hehe...


Mukmin dengan Hadi Marzuqi..


p/s- hitam putih boleh juga jadi kelabu..

Tuesday, November 04, 2008

Boleh Lagi!!!

"Encik, macam mana dengan result saya ni, teruk juga ni. Sedih saya bila tengok result ni. Nak kata tak study, banyak dah study. Nak kata tak mari kelas, sikit je tidak mari kelas. Pastu macam mana ni encik," keluh salah seorang mentee mukmin.


Usaha Sudah Tapi Dah Putus Asa Ke...

Rasa sedih juga bila diajukan sedemikian rupa. Kita menyediakan segala yang terbaik untuk pelajar. Belajar di kolej swasta sememangnya menuntut banyak pengorbanan. Pengorbanan dari segi kewangan sudah pasti dan pengorbanan dari segi lain juga banyak yang harus dilihat. Terutama apabila menerima result yang tidak berapa baik. Usaha sudah ada namun ada beberapa yang perlu kita jelaskan lagi.

Teringat lagi pesanan seorang senior mukmin masa di tahun dua masa di Universiti dahulu. Senior ini masa itu sebagai pelajar dental tahun lima. Pesanan senior ini sampai sekarang akan diingati sampai bila-bila kerana banyak pesanan ini telah mengubah landskap pembelajaran mukmin biarpun tidak secemerlang mana.

"Kita sebagai orang Islam tidak boleh putus asa dengan belajar. Lagi-lagi kalau kita dapat teruk sangat result kita. Bagi abe(baca gaya orang Kelantan), orang-orang pertengahan macam kita ini yang tidak berapa pandai dan tidaklah nak kata kita bodoh mesti kena lalui beberapa langkah untuk kita dapat ingat apa yang kita belajar ni.

Baca, hafal dan baru cuba untuk faham. Mudah je kan,hehe. Kalau orang tu dah hebat, terus je dia baca dan terus faham. Ada yang lagi hebat tak payah baca terus faham. Lagi-lagi abe dan juga due, kita kena buat satu-satu. Untuk baca kita semua boleh, untuk hafal lagi-lagi la tapi untuk faham betul-betul tidak ramai yang boleh. Kerana faham inilah kita akan ingat ilmu kita sampai bila-bila. Jadi teruskan usaha. Jangan putus asa. Buat slow-slow tapi ikut step. Insyaallah Allah pasti akan tolong kalau kita dah cuba yang terbaik"

Senior mukmin tengah mengajar

Usaha dan Boleh lagi!!!

Untuk mentee-mentee ku yang amat disayangi, teruskan usaha walaupun kadang-kadang kita rasa macam sudah tidak sanggup dan susah untuk ambil bidang juruteknologi makmal perubatan ini. Teruskan dan cuba ikut seperti MENTOR ini cadangkan walaupun kadang-kadang ada juga mentor ini tidak ikut langkah-langkah tadi,hehe..


Peringatan dari maksud kata-kata Allah dalam ayat pertama tentang usaha mendapatkan ILMU

Bacalah(wahai Muhammad), Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui PENA dan TULISAN, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Al-Alaq: 1-5

Sunday, November 02, 2008

Fasa Untuk Lebih Berjaya!!!

Tarikh 3 November 2008 adalah satu tarikh yang akan memberikan satu lagi fasa baru untuk mukmin di dalam fasa kerja. Tarikh ini bermulalah sem baru untuk pelajar tempat mukmin mengajar...

Untuk Berjaya Perlu Untuk Berubah

Betul ada banyak kesilapan yang dilakukan oleh mukmin selama terlibat di dalam bidang pengajaran secara lompat ini. Dari sedikit masalah hadir ke pejabat pada waktunya walaupun lewat hanya tak seberapa, dari masalah menyiapkan fail walaupun diminta sehari sebelum kena hantar..kadang-kadang pedih untuk menerima sekiranya orang lain yang tidak disalahkan atas kesalahan yang sama. Namun pedih sepedih manapun harus diterima.

Insyaallah, kali ini mukmin telah cuba untuk mengubah semuanya kepada yang lagi baik. Nabi kita pun berpesan supaya jangan untuk seorang mukmin masuk lubang yang sama dua kali. Betul-betul kena berubah..

Jadi Mukmin yang lagi berjaya nanti,hehehe...


Kegagalan untuk beri
yang terbaik harus diambil sebagai langkah permulaan untuk berjaya dengan lagi baik..tunggu Pengetua, tunggu Ketua Program...ini mukmin akan beri yang terbaik nanti!!!

Kejayaan Bermula Bila Sudah Mula Mengenal dan Belajar tentang Kegagalan

Tuesday, October 28, 2008

Kurang Ajar atau Memang Tak Pernah Diajar

Terkejut bila membaca berita tentang seorang pelajar yang menendang guru mereka. Lagi-lagi guru yang mengajar mata pelajaran mereka pula adalah wanita. Fuh,subhanallah..apa hendak jadi dunia kita sekarang. Sudahlah kebejatan ekonomi yang telah memaksa Pak Lah kita selaku Menteri Pertahanan menangguhkan pembelian helikopter baru waima Nuri sudah lagi tidak menunjukkan kecemerlangannya, ditambah lagi dengan kebejatan akhlak dan adab masyarakat kita yang sekian lama kita rungsing dan bimbangkan, semakin menjadi-jadi.

Inilah bukti yang paling baru dan jelas betapa akhlak dan adab generasi muda sudah berada pada satu tahap membimbangkan dan sepatutnya kita sudah patut mengambil cara pencegahannya. Bukan lagi hanya menunggu masa untuk bertindak setelah berlaku sesuatu. tengoklah apa jadi pada pelajar yang menendang guru mereka. Akhirnya dibuang. Bagaimana kalau semua ini diubah dan dicegah dari awal?? Bak kata orang kita kena jadi proaktif bukan lagi reaktif. Cegah sebelum menjadi lagi parah.


Kurang ke atau macam mana..

Ajar yang diberi tidak disambut dengan baik atau macam mana sebenarnya. Ibu yang telah menatang kita bagai nak rak tapi kita pula yang menconteng arang ke mukanya. Pelbagai masalah yang timbul dari generasi muda sekarang bermula dengan masalah seperti yang mukmin sebutkan tadi, masalah bercumbuan tanpa segan silu di sekolah dan macam-macam lagi dan dengan pasti kita akan menyebut..

“mak ayah tak ajar ke ni”

“mak diorang takde nak pantau ke”

“memang takde didikan agama langsung”

Kalau kita sebagai mak ayah kepada yang melakukan masalah-masalah ini apa perasaan kita sekiranya kita mendengar cakapan orang seperti ini. Pasti rasa sedih dan hiba. Mereka bukan tidak ajar. Mereka bukan tidak beri didikan agama. Mereka bukan tidak mahu pantau. Malahan mungkin semua itu dan lebih lagi mereka sudah lakukan. Inilah yang kita kena telan. Inilah yang berlaku apabila suasana masyarakat kita sudah lagi tidak mengambil Islam sebagai paksinya.



Suasana masyarakat


Suasana

Suasana ini memang besar kesannya. Masakan tidak Hassan Al-Banna menggariskan untuk pembentukan khilafah Islam harus bermula dari pembentukan peribadi Muslim, Keluarga Muslim dan seterusnya Masyarakat Muslim. Masyarakat Muslim itu sendiri merujuk kepada suasana masyarakat yang perlu dihasilkan.

Ajaran sudah diberi. Bukan kerana cukup atau tidak tetapi kerana suasana kita di bumi Malaysia tercinta sudah banyak harus dinilai. Ayuh, kembali lah kita kepada ajaran Islam sebenar dan yang sepatutnya.Kalau kita tidak mengambil jalan dari sekarang, nampaknya haruslah bersedia menghadapinya nanti. Peringatan untuk diri ini sendiri..dan juga pada sesiapa yang mencintakan agama, bangsa dan negara tercinta..

wallahua'alam..

Friday, October 24, 2008

Hati dan Hati-Hati

"Bro, aku sendiri tak dapat nak tahan dah kadang-kadang. Sanggup aku turun sana nak jumpa tapi dia pula yang buat rileks je," tinta kawan mukmin yang seorang ini. Keluhnya adalah mengenai seorang yang bernama perempuan. Bila hati dah rasa rindu apa pun jalan kot..hehehe

Hati

Ini semua kerja hati. Hati yang dipandu dengan baik pasti akan memberikan hasil yang baik. Hati ini bukan HATI ataupun kita kenali sebagai liver dalam English tapi hati ini hati yang diungkapkan oleh Nabi kesayangan kita yang maksudnya jika hati yang baik maka baiklah seseorang itu tapi jika hati yang tidak baik maka kita boleh fikirkan sendiri.

Masalah hati dari dulu sampai sekarang kalau tidak dididik dengan baik dan elok akan senang sahaja dipandu oleh syaitan. Namun bila kita sentiasa di dalam hati yang lalai jangalan kita lupa untuk memohon padaNya. Peliharaan Allah adalah yang terbaik dalam mengatasi godaan-godaan musuh ketat umat Muhammmad dan selainnya. Ingatlah doa yang pernah diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada Umar.

“Hai Tuhanku! Peliharakanlah aku dengan Islam waktu aku berdiri, dan peliharakanlah aku dengan Islam waktu aku duduk, dan peliharalah aku dengan Islam waktu aku tidur dan janganlah engkau menuruti musuh dan orang dengki terhadapku”

Kenapa doa ini Nabi kita mengajar untuk dipeliharakan dengan Islam? Kerana dengan Islam semata-semata lah kita akan selamat dari syaitan mahupun yang kita nampak mahupun tidak. Lebih-lebih lagi pada hati kita yang sentiasa leka dan alpa padaNya..

Hati-hati

Maka untuk kesekian kalinya marilah mukmin mengajak diri ini sendiri dan kawan-kawan lain untuk kita sentiasa berhati-hati dengan masalah hati ini. Mukmin akui diri ini sendiri tidak hebat dan kuat untuk melawan dan mengatasi masalah hati yang sering dibuai dan dilekakan oleh syaitan laknatullah.

Untuk akhirnya, jangan lupa untuk terus memohon hanya padaNya dalam masalah-masalah ini walaupun mungkin semuanya telah tertulis dalam catatanNya.

“Dan jika Allah kenakan bahaya kepada engkau maka tidaklah ada yang dapat melepaskannya melainkan Dia. Dan jika Ia mahukan kebaikan kepada engkau, maka tidaklah ada yang dapat tolak bagi kurniaanNya.”

Yunus:107

p/s-selamat menjaga HATI. Teringat lagu JAGALAH HATI oleh SNADA..

Sunday, October 19, 2008

Bersediakah Kita Untuk Hadapinya

Bila sebut pasal bersedia, tentu banyak kena buat. Kerana itulah yang akan menentukan berjaya atau tidak persediaan kita. Perubahan yang berlaku sekarang menuntut untuk kita semua terus bersedia.


Pemilihan yang gah

Bila ditunda kepada Mac tahun depan, sememangnya ramai ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu akan bersedia untuk pemilihan tersebut. Sehinggakan Tan Sri Muhyiddin sendiri berkata tempoh empat bulan sesuatu yang lama bagi kempen kali ini.Mungkin dia berkata untuk menyokong atau tidak pemilihan kali ini kita sama-sama fikir kerana hingga ke saat ini beliau sendiri sudah ada sehingga 24 pencalonan dan hanya perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 14 pencalonan lagi bagi jawatan Timbalan Presiden...




Bermulalah pemilihan yang dikatakan gah dan akan memberi kesan kepada perjalanan Malaysia nanti katanya...



Pakatan Rakyat?


Dalam pelbagai cerita pemilihan pertubuhan ini, Pakatan Rakyat seolah-olah senyap membisu. Hanya kalau kedengaran cerita dan berita yang tidak sedap didengar. Bermula dengan patung Anwar di simpang empat di satu tempat di Gombak, kisah Raja Petra dan macam lagi.Emm..macam-macam sekarang.


PRK pula

Malah, pilihan raya kampus(PRK) menjengah kali ini dengan format baru.Ahh...tak kisah la buat sekali ke dua kali dalam satu sesi, kalau mahasiswa sekarang tak nak ambil tahu memang tak nak ambil tahu. Alih-alih akan ada la suara-suara sumbing; politik je lebih, belajar pula tak mahu. Macam ini ke kita hendak merebut Universiti dunia kalau pelajar sendiri sudah berfikir sedemikian..sama-sama fikirkan.


Apa sebenarnya?

Tak tahu kenapa mahu menulis juga kali ini. Kadang-kadang isi sama je orang lain. Mungkin sebab melihat betapa perubahan-perubahan yang sedang berlaku di Malaysia sekarang menuntut untuk kita lebih peka dan lebih ambil cakna. Bukan kerana kita ini taksub berpolitik. Bukan kerana kita ini mahu menyalahkan sesiapa. Tapi kita ambil tahu kerana segala perubahan yang sedang berlaku sekarang menuntut untuk kita lebih bersedia menghadapinya kerana macam-macam akan ada hasilnya nanti. Kalau kita tidak bersedia, emm..tunggu je lah hasilnya nanti. Samada baik atau buruk hasilnya, kita lihatlah nanti..

Tak sabar melihat Malaysia dalam 2020..

Thursday, October 16, 2008

Misi Bertemu Amir!!!

Hari ini satu pelaksanaan dilakukan atas satu misi yang telah lama ditetapkan. Satu tujuan yang dilabuhkan di atas satu perjalanan. Misi dan tujuan tiadalah besar sangat cuma mahu ditemukan dengan Amir. Siapa Amir?


Muhammad Amir Safwan


Muhammad Amir Safwan

Kalau tak salah, Amir dilahirkan ke bumi Tuhan ini hanya beberapa hari sebelum kita semua menyambut Hari Aidil Fitri baru-baru ini. Muhammad Amir Safwan nama diberi kepada anak saudara mukmin yang baru. Kenapa sampai dijadikan satu misi untuk bertemunya. Kenapa tidak jumpa sahaja nanti lain masa?

Amir dilahirkan dengan cukup sifat luarannya namun dalamnya hanya Allah sahaja yang Maha Tahu betapa kesakitan seorang bayi kecil menanggungnya. Amir mempunyai sedikit masalah pada jantungnya. Dikhabarkan dari abang mukmin sendiri kedudukan jantung; kedudukan ventrikel kanan dan kiri bertukar dan tiada saluran dari jantung ke peparu.Subhanaallah!!! Maha suci Allah diungkapkan..Betapa ujian yang diberikan kepada abang mukmin setelah pelbagai ujian lain diberi.

Dari HUKM ke Institut Jantung Negara(IJN). Dari wad biasa IJN ke wad NICU IJN. Dari RM25,000 kos pembedahan kepada RM 8,000. Dari kesungguhan seorang ibu kepada kepenatan seorang ayah. Dari Arau ke IJN. Dari Kota Bharu ke IJN. Semuanya perlukan kepada kesabaran kerana semua ini adalah ujian Allah kepada hambanya yang biasa ini. Kalau lulus yang ini, insyaallah iman kita Allah akan beri yang terbaik...

Sabar dan Ikhlas

Dua ungkapan yang sukar untuk dilaksanakan. Pembedahan sudah selesai hampir seminggu. Namun Amir masih lagi berada IJN. Misi kali ini untuk bertemu dengan Amir semoga dipermudahkan. Agar Muhammad Amir Safwan sentiasa dalam keadaan sihat sepenuhnya bila bertemu nanti. Tunggu bapak sedara ini datang ya Amir!!!

semoga Allah permudahkan....Amin.

Misi Bertemu Amir...