Wednesday, December 29, 2010

Bila Harimau Malaya..




Bila Harimau Malaya tidak lagi segan
Untuk berjuang dan mengecapi kejayaan
Dari yang muda hingga ke tua terus meroyan
Meroyan untuk mendoakan kita terus menang



Bila Harimau Malaya bersedia untuk turun ke medan
Mengangkat kejuaraan pertama kali yang sama diimpikan
Bukan lagi sekadar untuk menang tapi untuk menunjukkan kesungguhan
Kesungguhan dalam apa jua perkara serta tindakan



Bila Harimau Malaya menunjukkan belang
Garuda pun sekali kena libas sayap susah juga mahu terbang
Namun Gelora Bung Karna akan menjadi saksi atas siapa yang akan menang
Harimau Malaya dan Garuda; kita tetap akan bersaudara dan tiada perang-perang,hehee..



Bila Harimau Malaya dan konconya bersatu dalam menyokong
Menyokong bukan lagi impian kosong
Menang piala malam ini; pasti semangat kesukanan akan lebih terdorong
Dorongan ini pasti yang diharap bukan lagi omong-omong..



Bila Harimau Malaya..


nukilan: saffmukmin

Tuesday, December 21, 2010

Muhasabah Bukan Mencari Salah..~

Muhasabah bukan untuk mencari salah
Bukan juga mahu mencari apa yang paling benar
Namun ia perlu walaupun kita tidak pernah salah
Kerana sebagai panduan supaya tidak lagi buat onar


Muhasabah bukan mencari salah
Tapi muhasabah untuk supaya sentiasa tahan dan tabah
Tabah menghadapi ujian, cabaran dan resah
Dalam keadaan senang mahupun dalam susah


Muhasabah bukan untuk mencari salah
Muhasabah untuk menilai diri sendiri dan tindakan
Muhasabah dengan penuh kasih dan sayang kerana Allah
Muhasabah itu pasti di hatinya berkesan..


Muhasabah bukan mencari salah
Dari yang atas hinggalah kepada yang bawah
Berbincang, berdiskusi dan berhujah
Yang benar kita ambil, yang tidak kita tinggalkan;InsyaAllah..


Muhasabah bukan Mencari Salah..

nukilan: saffmukmin



Tuesday, December 14, 2010

Penyelidikan..~

Hidup kena ada penyelidikan dan penambahbaikan. Sebab itu pesanan Allah dalam surah al-Hujuraat mengenai berita yang disampaikan daripada mereka yang Fasiq, harus diselidik terlebih dahulu. Bimbang kalau ia tidak benar, kita silap membuat penghakiman ke atas sesuatu perkara. Apa yang dimaksudkan Fasiq? Untuk menilai mereka yang Fasiq, kita tidak dibenarkan menilai perkata yang tidak jelas dan tidak nampak secara zahir, tapi kita dibenarkan menilai secara zahir di atas perbuatannya. Fasiq dalam kitab "al-Mathla' 'ala abwabil muqni", karangan Syamsuddin Ba'ly, Fasiq didefinisikan sebagai orang yang banyak berbuat maksiat, meninggalkan perintah Allah, keluar dari jalan benar dan agama. Fasiq juga didefinisikan orang yang melakukan dosa besar atau sering melakukan dosa kecil. Jadi, anda sendiri lah yang akan menilai bagaimana orang yang jelas Fasiq dengan amalan zahirnya yang juga jelas sumbernya, bukan sekadar dengar cakap-cakap orang.



Berita yang sebeginilah yang selalu menular di dalam kalangan masyarakat kita sekarang. Dengar dan terus buat penghakiman. Tidak langsung dibuat penyelidikan. Pada siapa lagi yang harus kita persalahkan kalau bukan diri kita sendiri kalau berlaku apa-apa dalam kes sebegini. Oleh kerana kita akan sentiasa hidup bermasyarakat, sebab itu kita kena sentiasa membuat penyelidikan serta mencari sumber-sumber yang betul dalam membuat sesuatu pandangan serta keputusan. Orang Islam sememangnya diajar untuk berfikir menggunakan timbangan Al-Quran dan sunnah serta rasional diri yang sesuai dengan tempat dan keadaan.



Kenapa Ia Amat Perlu?



Kalau dulu, fitnah hanya mungkin boleh dilakukan dari berita mulut ke mulut. Sekarang sudah berpindah dari internet kepada internet. Lagi hebat lagi, dari Facebook kepada Facebook. Pada yang solo, mungkin tidak berapa kisah. Pada yang sudah berpasangan secara sah, itu sebenarnya cabaran. Saya bukan menentang kepada penggunaanya, tapi macam mana kita mengawalnya. Macam-macam kes berlaku dengan teknologi Facebook kini. Fitnah, tuduh menuduh tanpa bukti, tempat berkongsi rasa marah dan macam-macam lagi.



Ada yang terpaksa menyaman individu kerana saman malu di Facebook, ada yang putus cerai kerana kasih dan sayang siber orang ketiga di Facebook dan pelbagai lagi. Bagaimana sekali pun, ia kembali kepada cara kita mengawal penggunaan; bukan menidakkan terus teknologi yang boleh digunakan untuk menyampai dakwah. Tapi kalau anda sedar anda tidak mampu mengawalnya, lebih baik mengambil jalan senang; mencegah ia awal-awal lagi.


Selidik adalah salah satu cara kita mengawal andai kita sangsi dengan berita yang kita terima daripada internet sebegini. Dapatkan daripada sumber yang sah dan jelas. InsyaAllah, ramai yang akan mendapat kesan positif daripada semua ini. Kita dan semua; serta masyarakat amnya.




Akhlaknya



Apa-apa perkara, kalau benar kita tidak mahu ia berlanjutan panjang, cepat-cepatlah untuk seledikinya. Lebih-lebih lagi ia datang dari orang yang Fasiq. Selidik tidak perlu bising-bising, tapi sekadar beberapa yang tahu. Supaya ia benar-benar penyelidikan yang telus serta jujur. InsyaAllah kita doakan agar semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Ameeen..



p/s-Selidik-selidik juga, tapi jangan cemburu lebih-lebih pada yang dah berkahwin,hehehe..

Monday, December 13, 2010

Tika Berat Badan Berbicara..~

Tika berat badan berbicara; sama ada lantang atau terlalu perlahan
Kita haruslah mengambilnya ia serius dan jangan buat-buat tak tahan
Tak tahan kerana mungkin ia bagus atau kita memang kena jaga makan
Namun makan itu perlu tapi kena mengikut keadaan



Tika berat badan berbicara; ada yang buat-buat tak nak ambil tahu
Katanya mahu menjadi pejuang tapi makan waktu tengah malam tak boleh pun dia tak tahu
Nabi pesan kepada pejuang;harus makan apabila lapar dan berhenti sebelum habis makan tu..
Tapi kita dan saya ramainya yang makan tak tentu kalu (dialek Kelate lagi,hehee)



Tika berat badan berbicara; perut menggelebeh nak berjuang pun susah
Mahu berjuang dan berkorban yang mana pasti itu pun susah
Susah mana sekali pun, pejuang harus tekad dan tabah
Tabah untuk berjuang; ibarat peserta Biggest Loser lah!!hehe...



Tika berat badan berbicara; berat badan ideal dicari itu lah realiti
Namun kalau kita sedar ia genetik janganlah kita buat-buat lampi
Genetik itu saintifik, tapi sunnatullahnya siapa yang berusaha turun beratnya pasti
Pasti itu untuk menjamin kehidupan sihat serta berkualiti



Tika berat badan berbicara; yang bujang pasti kalut dan yang dah berkahwin buat-buat sempoi
Yang bujang bimbang tidak ada calon, yang dah kahwin tak fikir sebab sudah ada mek oiii...
Tapi ini pesanan buat semua tidak kira umur, pangkat dan juga siapa yang sudah boroi
Kalau mahu sihat, hari ini berusaha pasti ada hasilnya...oi oi oi!!!hehee...



Tika berat badan berbicara...



nukilan: saffmukmin


Bersediakah Untuk Titik Perubahan?~

Semenjak sebulan dua ini, krisis nilai berita di Malaysia selalu jatuh ke tahap lebih teruk. Kenapa saya berkata begitu? Bukan kerana saya suka mengkritik, akan tetapi kalau anda sendiri menonton berita media arus perdana atau mana-mana sekali pun kebanyakan berita dan rancangan yang tidak bernilai lebih banyak daripada yang bernilai. Kalau dalam pandangan berita; hampir semuanya akan dimuatkan berita yang menghasut, menuduh, dan juga sememangnya benar-benar menjadi agenda politik tidak bersih sesuatu pihak. Kadang-kadang, mahu menonton berita perdana sudah tidak menjadi agenda perdana dalam kehidupan masyarakat berfikiran sekarang.


Sama juga dengan rancangan dan cerita-cerita yang ditayangkan. Saya akui, ada cerita yang saya tengok pasti tidak semua tidak ada nilai yang bagus, tapi paling kurang kita masih lagi tahu untuk memilih mana yang patut untuk dilihat atau tidak. Akan tetapi bagaimana dengan remaja-remaja awal, anak-anak kecil, mereka yang belum lagi dapat membezakan mana yang patut dan tidak, rancangan sekarang hampir semuanya lebih keBARATan daripada barat. Iklan, cerita dan juga sekarang sudah menular kepada filem, sampai bila kita mahu membiarkan kita ditayangkan serta disajikan dengan paparan perdana dengan sesuatu yang tidak ada nilai?


Apa sebenarnya nilai yang kita mahukan? Saya mengambil posisi saya ketika kecil dahulu. Kalau dahulu, kebanyakan rancangan televisyen masih lagi ada nilainya. Mahu melihatkan iklan mahupun cerita yang menonjolkan susuk tubuh wanita atau yang seumpamanya memang tidak akan ada. Kalau ada, pasti akan dicemuh atau pun akan dihalang oleh ibu bapa untuk ditonton. Masyarakat ketika itu mungkin sensitif dan begitu mengambil berat tentang ini. Lagi-lagi dulu masa saya kanak-kanak, kami disantaikan dengan program-program yang kalau ketika besar nanti memang tidak boleh dilakukan seperti rancangan Ultraman, Power Rangers, Maskman, CyberCop dan pelbagai lagi yang memang tidak akan ada di dalam dunia realiti. Akan tetapi sekarang kita disajikan dengan rancangan yang sememangnya boleh dijadikan realiti, seperti Idola kecil, Tom Tom Bak, dan lagi yang pasti Akademi Fantasia dan rancangan-rancangan realiti yang langsung tidak membina minda kanak-kanak. Paling kurang, berjiwa dan bercita menjadi Ultraman dapat meningkat usaha menjadi super power menentang 'musuh', tapi menjadi artis realiti apa gunanya saya pun tak tahu. Inilah nilai yang pasti sama ada sekarang ini kita mengambil cakna atau memang kita tidak mahu tahu langsung.



Menjadi persoalan; Bilakah Titik Untuk Kita Berubah?


Dalam keadaan di Malaysia, tidak dapat tidak perubahan secara keseluruhan pasti berkesan boleh dibuat sekiranya kita menguatkuasakan undang-undang yang ada serta mewujudkan undang-undang Agama berkesan dan kita komited untuk menambah nilai-nilai yang baik kepada semua sektor. Timbul persoalan, tidak pernah dibuat ke selama ini? Atau memang kita tidak perasan? Anda sendiri yang jawab, selama mana Malaysia kita merdeka ini; apa yang telah kita disajikan dengan semua ini lebih banyak yang bernilai kebaikan atau bagaimana? Atau kita sekadar mahu menunggu lagi 50 tahun akan datang dengan membiarkan kesemua ini berlaku lagi?Jadi, mahu tidak mahu, perubahan itu mesti dilakukan dengan segera bersama dengan kuasa pemerintahan.


Kuasa pemerintahan bermaksud kuasa politik sesuatu negara. Kestabilannya memang amat penting, semestinya dalam hal itu memang kita tidak akan kompromi. Namun, dengan isu yang timbul sekarang adakah sudah tiba masanya kita mengambil titik perubahan ini untuk berubah ke arah lebih baik dan berkebajikan?


Politik negara sedang hangat bergerak. Kisahnya pelbagai ragam dan juga rasa. Tapi, kalau anda memikirkan titik perubahan ini, ambil lah perhatian sewajarnya dengan apa yang berlaku sekarang. Jangan sekadar mengambil jalan tengah untuk tidak mahu ambil tahu. Pastinya, perubahan yang kita cari kalau sudah kena cara dan masanya; Allah pasti akan tolong dan bantu. Cuma kembali kepada persoalan asal, bersediakah kita untuk titik perubahan ini?



Akhlaknya


Entri ini banyak persoalan untuk dijawab. Tepuk dada tanya iman. Dengan isu Wikileaks; dan pelbagai lagi pastinya isu ini akan lebih seronok untuk disoroti. Pandanglah dengan pandangan orang yang ada fikiran dan pastinya lagi baik dengan fikiran orang beragama. Saya dan orang yang sayang tidak sabar menunggu untuk titik perubahan ini..~



p/s-Hijrah..

Jodoh..

Jodoh..
Bukan mencari rupa orang kata; tapi konon-konon tak mahu yang hodoh
Memang terbukti; yang cantik-cantik rupa dicarinya dengan penuh gelojoh
Tapi biarlah tindakan kita nampak bukan macam orang bodoh
Yang tentu; masing-masing ada pilihan sendiri untuk jodoh



Jodoh..
Kalau belum bersedia; jangan tergopoh-gopoh
Tapi jangan lambat sangat macam panda Pooh
Jadilah seorang lelaki atau wanita yang bersedia agar perkahwinan yang dicari pasti redhai Alloh (dialek Kelate,hehe)



Jodoh..
Oh Jodoh
Temukan lah kami dan kita dengan jodoh
Baik pada pandanganMU dan baik juga pada pandangan seorang HambaMu ini yang pasti
penuh hino bedo'oh (dialek Kelate lagi,hehe)..

Oh Jodoh..

Ameeeen...


Nukilan: saffmukmin


Sunday, December 12, 2010

Berfikir Kreatif Untuk Lebih Sayang~


Saya pernah menghadiri Kursus Pemikiran Kreatif anjuran Pejabat Pendaftar UMT awal tahun baru-baru ini. Sebenarnya ia khas untuk berjawatan gred 44 ke atas, tapi saya tak tahu dan saya memohon kursus itu. alhamdulillah, permohonan saya untuk ke kursus itu diluluskan. Dan saya menyudahkan kursus tersebut di Hotel Felda Terengganu selama dua hari. Sememangnya memang two thumbs up untuk kursus dan penceramah.


Pemikir Kreatif?


Secara kesimpulannya, saya boleh katakan kita hidup harus sentiasa jiwa kreatif. Lebih-lebih lagi pada kita selaku khalifah Allah dalam usaha menyampaikan urusan-urusan Islam.Ada beberapa sebab. Yang utamanya adalah kita tidak mahu apa yang kita lakukan setiap hari adalah perkara yang sama. Kreatif tidak memerlukan kos yang banyak tapi cukup ia sekadar berbeza dengan sebelumnya tapi pada masa yang sama tetap mengekalkan tujuan asal sesuatu perkara dibuat dan insyaAllah impaknya gempak. Sebagai contoh, setiap hari dan setiap minggu kita mungkin akan melalui jalan yang sama untuk ke tempat kerja dengan harapan masa singkat dapat diambil. Ya, itu betul dan bagus untuk mengejar masa. Tapi cuba bayangkan kalau kita akan lakukan selama mana kita berkhidmat dan bekerja nanti? Oleh itu, kreatifkan sedikit perjalanan laluan anda untuk ke tempat kerja. Bagaimana kalau terpaksa ambil masa? Itu tidak ada masalah, kita cuba awalkan masa untuk ke tempat kerja. Bukan disuruh mengambil jalan yang jauh, tapi sedikit berbeza agar kita tak lakukan kerja yang sama tapi tetap sampai ke tempatnya.Apa hasil gempaknya? InsyaAllah, pasti hasil kerja anda berbeza dengan sebelumnya kerana kita mulakan dengan perkara yang berbeza pada hari itu. Tak percaya, boleh cuba,hehe...


Mungkin ada yang akan cakap itu tidak penting. Ya, mungkin tidak. Tapi pada saya sikap dan sifat kreatif kita berfikir bermula daripada sekecil perkara kepada sebesar perkara. Dalam kursus tersebut juga, saya simpulkan satu lagi sebab kenapa kita perlu mempunyai jiwa kreatif. Ini kerana hidup kita harus rentan dan sentiasa memerlukan survival. Sebagai contoh, ada orang hari-hari main Facebook. Dan Facebook adalah satu penjanaan kewangan bagi orang yang menciptanya. Apa kaitannya dengan kreatif? Ya, kalau anda perasan sudah berapa kali Facebook mengubah layout nya dari hari pertama dia muncul. Mungkin sudah berkali-kali. Ini amat berbeza dengan Laman sosial yang lain seperti Friendster atau sebagainya. Mereka sekadar mengekalkan apa yang ada, tapi apabila sudah ada saingan baru lah terkebil-kebil mahu berubah untuk turut sama bersaing.


Di Malaysia sendiri jelas di hadapan mata apa yang berlaku sebegitu rupa. Syarikat MAS sememangnya dicabar dengan AirAsia yakni sebelum adanya Airasia bagaimana rasanya perkhidmatan MAS? Harga tak pernah mahu utamakan pelanggan, namun munculnya AirAsia menawarkan slogan " Everyone Can Fly ", MAS memang benar-benar baru mahu berubah dan nasib baik mahu berubah. Pelbagai lagi yang ada dan yang terkini UNIFI akan mencabar Astro. Saya tidak sabar mahu menunggu bagaimana Astro akan memenuhi dan mengikut kehendak pelanggannya. Sekarang dengan suka hati je menaikkan kos!!(mode marah,heheee)



Apa kaitan dengan Sayang?


Hehehe..ini sesuai untuk mereka yang sudah berkahwin. Sayang ini subjektif, kreatif juga subjektif. Ada orang dengan sekuntum bunga; sayang nya berpuluh-puluh tahun. Ada orang kena bagi rumah-kereta-apa-apa yang mahal lagi baru boleh jadi sayang. Di sini lah penting kreatif. Ada orang mungkin berduit, ada yang sederhana dan ada yang mungkin kurang. Tapi kalau anda kreatif, hari-hari anda yang berpasangan boleh buat pasangan yang anda sayang boleh jadi sayang walaupun kita kurang ada duit yang orang fikir kena ada banyak. Caranya bagaimana? Orang yang dah kahwin boleh jawab,hehee..


Akhlaknya


Kreatif dan terus kreatif. Islam memerlukan orang kreatif, bijak tapi mempunyai sikap dan akhlak yang baik. Kreatif+bijak=Islam akan ke hadapan, insyaAllah. Dan survival serta penyampaian Islam akan lebih senang disampaikan andai semua jiwa-jiwa dakwah terus berfikir secara kreatif.


p/s-kreatif untuk lebih sayang

Apabila Disember..

Apabila Disember setiap tahun pasti bujang senang atau bujang terlajak akan buat-buat sibuk
Sama ada sibuk untuk jadi lebih baik atau memang betul-betul mahu menyibuk
Gadis dicari, muslimah di sunting, wanita di cari di setiap sudut dan lubuk
Yang pasti yang berjawatan bujang memang tak mahu lagi menjadi pungguk


Apabila Disember setiap tahun tiba;pasti akan ada kenduri kendara
Kenduri yang dijemput tentu akan tiba dengan sedara mara
Ayuh, yang dijemput jangan jadikan alasan untuk tidak hadir kerana itu hak muslim bersaudara
Tapi yang bujang bersedialah dengan soalan " bila anda mahu tamatkan bujang dan dara",hehe..


Apabila Disember datang, musim hujan akan turun di negeri tadahan orang miskin dan papa
Miskin itu miskin harta pada pandangan orang; namun jiwa dan hati mereka tidak sebegitu rupa
Hujan besar sekali pun, mereka tempuh dengan hati redha
Insyaallah, Allah sayang pada hambaNya yang berjiwa kaya biarpun nampak miskin harta..


Apabila Disember datang segala operasi dari awal tahun hingga ke akhir akan dinilai
Awal tahun Islam sudah pasti akan tiba awal dan selalu kita lupai
Nilai lah seberapa mungkin yang boleh;baik dan buruk,jahat dan sangka baik,semuanya bernilai
Tapi jangan pula nilaikan duit yang ada dan berebut-rebut membeli kain di NILAI,hehee...


Apabila Disember setiap tahun datang dan munculnya Januari awal tahun depan
Selaku bernama manusia kita pasti tidak boleh lari dari merancang dan berhadapan
Berdepan dengan segala kemungkinan yang ada serta bersedia untuk sentiasa tahan dan rentan
Insyaallah, angkat tangan dan berdoalah meminta denganNya jangan malu dan jangan segan!!!


Apabila Disember...


nukilan: saffmukmin