Tuesday, August 31, 2010

Selamat Meneruskan Perjuangan!!~

Artikel daripada Ustaz Hasrizal a.k.a kepada mereka yang berkelana jauh dalam mencari ilmu Allah yang luas. Semoga sentiasa kuat deh!!


“Ini bicara Allah kepada kamu. Rasakan yang Allah sedang bercakap secara khusus kepada kamu,” kata Ustaz Harun kepada kami.

Angin desa di Kubang Lembek tengah hari itu damai sekali. Tidak terasa terik mentari membakar siang.

Saya dan beberapa rakan tekun mendengar.

“Ayat ini adalah mahkota penuntut ilmu di jalan Allah. Ke mana sahaja kamu pergi, junjunglah ayat ini,” pesan Ustaz Harun lagi, melangsaikan pertemuan kami tengah hari itu.

Sudah menjadi suatu kemestian, saya dan rakan-rakan selalu mencari ruang dan peluang untuk bertemu dengan alim ulama’. Pada usia akhir belasan tahun, kami sedang mengorak langkah untuk jejak ilmuwan. Nasihat dan mutiara kata para ulama’ yang berjiwa mursyid itu menjadi dambaan kami, buat bekalan kembara diri… yang panjang itu nanti.


Ustaz Harun mensyarahkan kepada kami kalam Allah yang terungkap pada surah al-Taubah ayat 122:

9_122

“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat berjaga-jaga.” [al-Taubah 9: 122]


DI CELAH KEGENTINGAN TABUK

Musim panas dan pohon tamar berbuah ranum.

Tuaian harus disegerakan untuk manfaat bekalan keperluan hidup setahun mendatang.

Dalam suasana itulah Allah SWT menguji kaum mu’minin untuk turun berjuang. Jangan terkecuali walaupun seorang. Namun segalanya terhasil dengan hikmah yang besar. Sekumpulan sahabat tercicir dengan alasan dan situasi masing-masing. Mereka ditegur dan diperbetulkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan cara yang amat menusuk kalbu. Pengajaran kekal yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Peringatan itu menjadikan para sahabat begitu peka dan responsif terhadap perintah jihad. Hingga tiada langsung yang berlengah. Tatkala ada sub misi (sariyyah, bukan ghazwah) yang dilancarkan oleh Baginda allallaahu ‘alayhi wa sallam, kesemua sahabat menyertainya hingga baginda ditinggalkan sendirian di kota. Lalu turun ayat ini memberi peringatan, bahawa sebesar mana sekali pun suatu misi, adalah tidak wajar untuk kaum mu’minin itu keluar semua sekali memenuhi agenda yang satu.

Dalam kewajipan melaksanakan jihad, kewajipan menuntut ilmu beriringan sedarjat.

MENUNTUT ILMU ITU JUGA NAFAR

Falaulaa nafara…

Keluar menuntut ilmu, digelar Allah dengan kalimah nafara, iaitu kalimah yang lazimnya hanya terguna pada mengungkapkan soal keluar berjihad perang di jalan Allah. Pemilihan kalimah itu harus kita teladani, bahawa Allah SWT mahu kita melihat proses menuntut ilmu di jalan Allah sebagai suatu medan tempur. Justeru persiapan kaum yang keluar berperang, harus juga menjadi persiapan yang sama buat penuntut ilmu di jalan Allah.

Peperangan Itu Susah

Penuntut ilmu juga harus menyediakan fizikal, mental, emosional dan spiritual mereka terhadap hakikat ini, bahawa jalan yang dipilih adalah jalan yang penuh ujian dan kesusahan. Pertaruhannya adalah segala milikan diri, dari masa, tenaga dan harta, hinggalah kepada nyawa dan survival jiwa.

2_155

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan secebis perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar” [al-Baqarah 2: 155]


“Sudah diberi biasiswa takkanlah susah lagi?” terdetik di bibir rakan-rakan mengulas kehidupan yang bakal kami tempuh.

Hakikatnya, soal kewangan yang sering menjadi fokus kerisauan, bukanlah cabaran terbesar belayar di perantauan. Mungkin dalam sederetan ujian yang mendatang, musibah besar yang sering mengorbankan seorang penuntut ilmu ialah sebuah KEBEBASAN. Bebas terbang ke sana sini, tiada lagi leteren dan hambatan kawalan yang menghantui. Segalanya bebas.

Dan kebebasan itulah yang sering memutuskan tali pada sebuah layang-layang.

Terbang tinggi tidak ke mana, hingga nanti jatuh ke tanah berlumpur hina.


Peperangan Harus Terancang

Tidak wajar sekumpulan wira terjun ke medan perang sebagai bidan terjun.

Peperangan itu besar. Nilainya besar, harganya besar, pengorbanan untuknya juga besar. Jadi, langkah ke arahnya jangan mula bertapak hingga jelas di fikiran apa yang dimahukan. Begin with the End in Mind, adalah suatu tuntutan yang mesti diterokai oleh setiap penuntut ilmu di jalan Allah. Apa yang mahu dituntut, mengapa ia perlu dituntut, malah soalan semudah “kenapa mahu jadi ustaz“, mesti difikirkan masak-masak. Terikut-ikut sentiasa menjadi musibah bagi apa jua aspek kehidupan.

Apa yang saya cari?

Bakal terlepas peluang kenduri kendara kahwin adik beradik.

Bakal tercampak sunyi di negeri orang.

Bakal membiarkan bonda sunyi sendirian di desa nan sepi.

Bakal berpisah yang mungkin bertanda mati!

Besar sekali harga sebuah perjalanan kembara ilmu yang bakal dilakar ini.

Apakah yang saya cari?

Soalan tentang hal ini saya fikirkan sehadam-hadamnya. Pengajian Islam bukan tiada di negeri sendiri. Mengapa saya mengambil keputusan untuk mengembara jauh? Apa yang saya cari? Salji? Glamor? Naik kapal terbang? Siar gambar raya di surat khabar Ramadhan demi Ramadhan? Apa yang saya cari?

Sesungguhnya saya tidak pernah mengizinkan diri untuk menjadi biasa-biasa. Saya ciptaan Allah. Dia yang Maha Bijaksana lagi Sempurna. Mustahil Allah menciptakan saya biasa-biasa untuk saja-saja bagi tujuan yang ala kadar semata. Saya yakin saya makhluq Allah yang istimewa, dan kembara ke bumi Anbiya’ ini adalah untuk mencari keistimewaan itu.

Menjadi pewaris Anbiya’ bukan retorik. Visi dan misinya saya genggam dalam pesanan Allah di dalam ayat ini.


Peperangan Harus Ada Kemahiran

Mustahil pergi berperang hanya dengan tawakkal yang kosong. Itu bohong. Mendustakan Sunnatullah yang diwajibkan Allah ke atas alam ini.

Kata bijak pandai:

batilmunazzam

“Kucar-kacir dalam kebenaran, mustahil ada upaya mengalahkan kebatilan yang sistematik”

Niat yang baik adalah tuntutan Syariatullah, perancangan yang direalisasikan oleh kemahiran secara sistematik pula adalah Sunnatullah yang melengkapkannya. Justeru, keinginan untuk mewarisi perjuangan para Anbiya’, harus menyeluruh mencakupi seluruh kelebihan para Anbiya’. Siddiq pada hati, akal fikiran, perkataan dan perbuatan. Amanah menjadi integriti diri yang mengikat segalanya agar sentiasa berhubung dengan Dia. Tabligh dalam erti kata hidup untuk menyampaikan, memberi dan berkongsi kebaikan seluas alam. Fathanah, kebijaksanaan dan nilai kompetensi yang luas untuk digarap oleh insan yang optimum dalam perjuangan mereka.

Cerdik tapi tak baik, jadi penipu.

Baik tapi tak cerdik, jadi mangsa penipu.

Pendakwah mesti cerdik. Kemahiran mesti tinggi. Di atas kesedaran itu, saya letakkan azam yang tinggi, bahawa agenda di bumi Anbiya’ nanti bukan hanya pada melangsaikan silibus di bilik kuliah. Kemahiran bahasa, kemahiran ICT, kemahiran berfikir, kemahiran berkomunikasi, dan segala ilmu kendiri, mesti digarap tanpa berlengah-lengah dan bersantai diri. Pewaris Anbiya’ mesti outstanding!


Peperangan Harus Kenal Kawan dan Lawan

Peperangan itu licik.

Lawan disangka kawan.

Kawan dijadikan lawan.

Tipu daya di dalam sebuah pertempuran sering mengelirukan. Dalam tempoh masa yang terhad dan penuh kegentingan, seorang penuntut ilmu di jalan Allah harus peka sepeka mujahid fi sabilillah. Matanya harus cepat membaca suasana. Setiap manusia dan kehidupan yang melintas di depan mata harus cepat dikenal pasti, apakah itu kawan yang menawarkan kebaikan, atau lawan yang menjanjikan kebinasaan.

Penuntut ilmu di jalan Allah mesti berhati-hati.

Melihat segalanya dengan mata hati.


Peperangan Menjanjikan Ghanimah

“Anak cikgu sambung belajor di manaaa?” tanya jiran saya.

Emak yang sedang menyapu daun kering di bawah pohon rambutan menoleh.

“Dia sambung belajo ke Jordan. Bidang agama,” kata emak. Senyum seribu makna dilemparkannya.

“Oh ye ke.. elok bebenor le tu, cikgu. Orang belajor agama ni, Allah Taala sumpah depa takkan mati lapor!” balas makcik tersebut. Bahasa orang kampung, tapi maknanya mendalam sekali.

Saya tersenyum sendirian, tatkala mendengar Ustaz Harun menghuraikan ayat ini. Teringat kembali kepada dialog antara emak dengan jiran petang itu. Saya yang melangut di tangga rumah teruja mendengar sumpah Allah yang disebut makcik tersebut. Janjinya begitu, namun jalannya harus disuluh secara realistik. Segalanya tidak mudah, namun mati kelaparan tidak sekali-kali.

Kemurahan Allah SWT mengurniakan bekalan hidup buat manusia yang mewakafkan dirinya di medan perjuangan ini. Dunia tidak menghukum lapar dan mati ke atas penuntut ilmu di jalan Allah. Rezekinya ada, di mana-mana. Tetapi rezeki itu halus garis pemisah di antara buruk dan baiknya. Rezeki yang datang melapangkan jalan untuk terus berjuang. Tetapi ada juga rezeki yang membutakan jiwa penuntut ilmu di jalan Allah, hingga tenggelam dalam KEPERLUAN mengatasi TUJUAN.

Apa yang diperjuangkan bukan lagi sebuah TUJUAN, sebaliknya tenggelam dalam mengejar KEPERLUAN (yang tidak pernah cukup dan memuaskan).

Saya akur dengan nasihat Ustaz Harun. Jiwa gementar memikirkan liku-liku perjalanan ini.

AGENDA BESAR

Sesungguhnya besar sekali makna yang terungkap di sebalik kalimah NAFARA yang difirmankan Allah SWT di dalam ayat ini. Menuntut ilmu di jalan Allah SWT benar-benar sebuah peperangan. Pengorbanan yang diperlukan besar, kerana harganya mahal. Harganya mahal kerana nilainya tinggi. Nilainya tinggi kerana ia AGENDA melahirkan ilmuwan pewaris Nabi.

9_122-i

“… dan supaya mereka dapat memberikan inzar peringatan buat kaum mereka…”

Tugas yang dipikulkan ke atas penuntut ilmu di jalan Allah bukan sekadar memberi Taalim, memberi tahu.

Allah SWT memberitahu bahawa tugas penuntut ilmu di jalan Allah sama seperti tugas seorang Rasul iaitu menyampaikan sebuah INZAR (al-Muddatsir 74: 2). Inzar bukan sekadar memberitahu. Ia lebih dari itu. Inzar memberi pelajaran tentang kebaikan, juga memberi amaran terhadap keburukan. Inzar mengajak kepada yang maaruf, disertakan juga seruan mencegah dan meninggalkan mungkar. Inzar adalah sebuah mesej yang hidup, agar ummah sentiasa berjaga-jaga.


BERMULANYA LANGKAH

Pertemuan itu sungguh bermakna.

Saya bagai dikurniakan ijazah oleh seorang sifu, untuk mengatur langkah menuju ke medan tempur yang penuh kebarangkalian.

Segalanya terungkap dalam sebuah firman. Surah al-Taubah ayat 122 mahkota kurniaan.

Dengan lafaz seeru ‘ala barakatillah, saya memeluk tanpa perpisahan bonda, keluarga dan taulan. Bersama air mata harapan dan azimat at-Taubah 122, saya terbang membelah awan biru, ke bumi Anbiya’ yang sedang menunggu.


“…Di celah pohon zaitun yang rendang
Bersemadi syuhada’ pahlawan Islam
Menanti dan terus menanti hadirnya
Barisan waris perjuangan…”



ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur


p/s-selamat meneruskan perjuangan!!

Monday, August 30, 2010

Misi Membawa Dinsman dan Al-Farabi ke UMT!!~

teater Dinsman




Insyaallah, kertas kerja sudah diangkat. Kelab FINAS Universiti Malaysia Terengganu akan menganjurkan Malam Seni UMT pada 2 Oktober 2010 nanti bertempat di Dewan Sultan Mizan. saya cuma bertindak sebagai membantu, tetapi amat besar hajat saya untuk melihat ia boleh direalisasikan dengan penuh jayanya. Teater Dinsman sudah beberapa kali memberikan kesan kepada mereka yang menonton, dan kumpulan Nasyeed Al-Farabi pula masih segar dengan idea musiknya. Gabungan kedua ini diharap dapat membawa kelainan kepada musik yang boleh memberikan halwa telinga kita bergema dengan baik dan penuh santun.



Teater Dinsman: Menunggu Kata Dari Tuhan!!!



pelakon tunggal dan utama; Sabri Yunus



Sedikit respon dari mereka yang sudah berkongsi melihatnya..



Ketika teater MENUNGGU KATA DARI TUHAN (MKDT) pertama kali di pentaskan di dalam masjid, saya sebagai moderatornya malam itu tanpa segan silu dan takut telah mendakwa bahawa inilah teater yang pertama kali di pentas di dalam masjid (Masjid Batu, Permatang Pauh Pulau Pinang-kira-kira bulan Jun 2009)


Saya tidak menamakan MKDT sebagai teater Islam tetapi bersetuju dengan penulis dan pengarahnya sebagai teater yang dinukilkan dari hadis Nabi. Hanya dua buah lampu, satu bangku panjang sekadar boleh tidur, di sisi satu bangku untuk Sani Sudin menepuk gendang sebagai muzik latar. Backdropnya hanya ruang imam ketika solat, dinding masjid. Di depan para jemaah duduk bersila. Di ruang sebelah kanan, ruang Muslimah yang turut sama menonton.Mereka duduk berasingan, tidak bercampur.


Maka selepas persembahan, diperkukuhkan lagi dengan ceramah pendek tentang hadis Kaab bin Malik, di mana tercetusnya hadis tersebut oleh Ustaz Halim Nasir. Malam itu seperti bersepakat, inilah teater Islami, teater yang berjiwa Islam apabila mendapat pengkuham huraian hadis Kaab bin Malik. Pada hal malam itu tidak ada sarjana teater, pengulas dan pengkritik yang berautoriti tentang teater atau mana-mana pensyarah universiti untuk melebalkan ia sebuah teater bersifat Islam. (azizi abdullah,2010).


Saya juga pernah menontonnya awal tahun baru ini di kampus USM Kubang Kerian. Sungguh memberi kesan pada seorang Muslim. Jadi, apa tunggu lagi orang-orang Terengganu, jangan lepaskan peluang!!!!!!!


Al-Farabi Band.


Sebuah band nasyeed baru, yang segar musiknya. Dianggotai oleh mereka yang amat berpengalaman dengan dunia musik nasyeed, insyaallah mereka akan datang memberikan hiburan yang lebih segar dan sesuai dengan jiwa muda mudi sekarang. Penghargaan nama diberikan kepada tokoh Islam, Al-Farabi yang begitu mendalami musik sehinggakan boleh mengubati jiwa-jiwa orang 'sakit'. Semoga usahanya ini juga boleh mencapai ke tahap itu,insyaAllah.


Mahu digelar rockers Islam atau Indie Islam, insyaallah tidak ada apa yang mahu dipertikaikan lagi. Nantikan kemunculannya!!!

Antara lagu-lagunya:

-Evolusi
-Apa sebenarnya
-Sunnah Orang Berjuang
-Amanat
-Selawat
-dan macam-macam lagi.




majalah Karangkraf



rakaman Segmen Kreatif di TV3




persembahan di Kuala Lumpur




dalam Bintang Popular Berita Harian





persembahan sempena Album Pertama


Jadi, apa lagi. Misi ini tidak senang, tapi tidak pula susah. Ayuh, sama-sama realisasikan!!!

p/s-orang selalu bercakap kena santunkan SENI, tapi tidak berbuat apa-apa. Mahasiswa, tunggu apa lagi~

Sunday, August 29, 2010

Fikir Bijak Dengan Isu~

Fuuh, panas sekarang di Terengganu. Sama macam di Kelantan. Di negeri lain mungkin sama juga. Dugaan puasa, bukan sekadar mahu menahan lapar dan dahaga, malah setelah rafas(membangkitkan nafsu berahi??) juga harus dilemparkan jauh-jauh, panas juga menjadi faktor juga dalam mencabar puasa kali ini. Kata pakcik saya yang pulang ke Kota Bharu hujung minggu baru-baru ini,


" Panas sengoti, tekak raso kering," pinta pakcik saya.

" Biasa doh, musim-musim gini la nak minum air cendol banyak-banyak," jawab saya sambil berbuka puasa semalam.(dan sambil sedap minum air cendol,hehehe)


Isu

Dua tiga hari ini, isu yang timbul juga panas. Isu dengan kata lain ia polemik yang datang untuk menunjukkan siapa yang boleh mengata dia yang hebat kepada mereka yang nampak lemah. Ya, saya bukan orang yang layak untuk membincangkan isu, tetapi dengan isu yang ada agak 'panas' juga, kita selaku muslim harus melihatnya dengan banyak sudut dan ruang pandangan yang luas selagi tidak tersasar dengan boundry agama kita, ISLAM.


Masih lagi sentiasa teringat dengan ayat hafazan saya dulu, salah satunya yang dipesan Allah dalam surah Al-Hujuraat, yang membawa maksud " Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa satu berita, maka selidikilah(untuk menentukannya) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kamu dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu(mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan"




Bukan mahu membicarakan setiap yang isu datang dari orang fasik(mungkin), tapi dengan isu yang sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan lagi perkara yang sememangnya sudah nampak keruh ibarat bom jangka (isu perkauman, diulaskan oleh Professor Emeritus Khoo Khay Kim), membuatkan kita sudah nampak perangai orang yang dimaksudkan Allah dalam kejadian di sebalik isu-isu ini. Jangan lupa, orang Muslim yang mengucap syahadah boleh juga jadi fasik, jangan lupa tu deh!!!(pesanan untuk saya juga.huhu..)


Tidak mahu menulis panjang, namun secara konklusinya isu demi isu yang datang menuntut untuk kita memikirnya dengan penyelidikan yakni dengan ilmu. Penyelidikan dalam erti kata saintifiknya perlukan fakta yang jelas, masa yang betul dan tempat yang tepat!! Bukan sekadar mendapat berita dari mulut-mulut orang yang tidak kenal orangnya atau dari berita-berita kertas khabar angin di tepi jalan semata. Selidikilah dengan ilmu. Banyak ruang yang ada zaman sekarang. Lebih-lebih lagi, kalau dibincangkan dengan penuh emosi.


Dalam isu yang timbul mengenai agama, 100 peratus harus dibuat penyelidikan. Bimbang seseorang itu akan nampak BODOH (maaf!!!) apabila mengulas isu agama. Wallahualam.

p/s-agama itu INDAH, cuma beberapa orang yang menganutnya sahaja menampakkan ia TIDAK INDAH..~

Monday, August 23, 2010

Monolog Petang~

" Aku rasa, macam best je tengok orang sudah berkahwin. Paling kurang, ada juga orang yang sayang pada dia," kawan saya keluarkan pernyataan ini dalam keadaan sambil membonceng motorsikal.

" Memang la best, dah pasangannya halal. Nak bercinta dengan siapa lagi kalau bukan suami atau isteri masing-masing. Jangan bimbang, kita ada lagi ibu dan bapa kita. Adik-beradik, ada lagi yang akan sayang pada kita," saya menjawab pernyataannya itu.

Kawan saya mendiamkan diri...


Orang Yang Baik untuk Orang Yang Baik


" Kenapa pula kau cakap macam itu?," saya menanyakan soalan.


" Bukan apa, aku bimbang aku pula yang tak dapat kahwin. Tengoklah diri aku, warna kulit pun mendung dan macam gelap je, besar tu satu hal. Rupa biasa-biasa saje..Kesian nanti kalau pasangan aku mahu memilih aku. Bimbang nanti memilih kerana terpaksa. Lebih-lebih lagi jika nak dibandingkan dengan orang lain. Senang kata, tak hensem dan macho lah!!," seolah-olah tegas dia berkata.


" Kawan, jangan la fikir sampai ke situ. Kamu pun hensem juga," saya memberikan jawapan.


Saya letakkan tangan kanan saya ke bahagian dada kanannya. Lebih kurang di kedudukan tengah. Dan saya lembutkan tangan supaya tidak sakitkan badannya. Dan seraya saya berkata,


" Kamu punyai hati yang hensem. Kamu punyai jiwa yang hensem. Kamu punyai diri yang macho. Kerana apa? Kerana hati kamu, jiwa kamu, diri kamu, kamu berupaya untuk hindarkan dari maksiat-maksiat biasa orang buat. Kamu juga ada keperibadian. Solat dijaga, Qur'an dibaca, kamu juga ramah dengan orang. Macho lagi bila kamu boleh tahan marah bila ada apa-apa yang berlaku.


" Kita selalu dengar pesan Allah pada hambaNya dalam surah An-Nur yang membawa maksud " ..sedangkan perempuan-perempuan yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.." .Tidak ada pula Allah pesan orang-orang yang rupa baik untuk rupa yang baik. Insyaallah, hati ini yang mahal. Kamu soleh. Insyaallah pasti ada solehah yang menanti. Jangan fikir lebih-lebih deh. Yakin dengan janji Allah pada hambaNya," saya menamatkan tajuk perbualan dengan tidak mahu memanjangkan lagi soal ini.


" Beres. Insyaallah, Alhamdulillah Allah masih berikan rupa daripada orang tidak ada rupa kan? Alhamdulillah Allah masih berikan warna kulit daripada tak berikan warna apa-apa kan?


"..sesiapa yang bersyukur, Allah akan tambahkan nikmatNya, sesiapa yang kufur (tidak bersyukur) maka azabKU amatlah pedih.." itu pesan Allah juga kan?," kawan saya mahu menamatkan juga persoalan ini. Saya menjawab dalam hati. Ya kawanku.


Akhirnya kami bergerak semula bersama topik ini dihabiskan dengan kesimpulan begitu. Kasih-sayang itu fitrah. Bercintalah dulu dengan ibu-bapa kita,adik-beradik kita kalau benar mahu ada orang sayang. Kawan-kawan sementelah lagi. Insyaallah, ada jodoh di dunia pasti ada orang yang akan sayangi kamu nanti.


P/s-Jumpa lagi kawan!!

Wednesday, August 18, 2010

Oh Terengganu..

Kontijen Nasyeed Falahiah-mewakili Kelantan sedang menjamu selera makan tengahari di Putrajaya



Sebelum saya ditakdirkan Allah untuk bekerja di Terengganu, memang tidak banyak maklumat mengenai Terengganu yang saya ada kecuali hanya mengenai politik di Terengganu sahaja. Mengenai tempat, cara bercakap waima makanan sekalipun tidak banyak yang saya tahu. Biarpun negerinya bersebelahan sahaja dengan negeri saya.


Tapi ada satu cerita Terengganu yang tetap menjadi ingatan saya..


2002


Alhamdulillah, Allah memberikan peluang kepada kami sekali untuk ke pertandingan Nasyid Anti-Dadah peringkat Kebangsaan setelah kami pasukan nasyeed Madani menjuarai pertandingan nasyeed Belia MAYC kebangsaan 2001 sebelumnya.


Kali ini, tuan rumah adalah ke Selangor Darul Ehsan. Berbekalkan lagu yang boleh dikatakan 'killer', kami berhasrat untuk menjuarainya. Pada hari pertandingan. Kesemua acara dilakukan di satu Tasik berdekatan dengan Shah Alam (lupa nama daa..hehe) dari nasyeed, Dikir Barat, sajak dan pelbagai lagi.


Hari berikutnya semua peserta dari semua negeri di bawa melawat ke bumi Putrajaya yang ketika itu masih lagi dalam proses pembinaan mengikut fasa-fasanya. Amatlah kagum kami hendaknya ketika itu kalau nak tahu dengan kami semua yang datang dari Kelantan ni,hehe..


Semasa di Putrajaya, kami kontinjen Kelantan biasanya ditempatkan bersama dengan kontinjen Terengganu. Ada satu ketika ketika taklimat di adakan di satu dewan besar di Putrajaya, kami duduk berdekatan dan hampir sebelah menyebelah dengan orang Terengganu dicampur bersama kontinjen yang lain juga. Oleh kerana saya ini amat teruja untuk bercakap dengan orang Terengganu, terus saya bercakap dengan orang Terengganu di sebelah saya.


" Mung tok penat ko kito berjale satu hari ni?," tanya saya dengan sedikit dialek Terengganu.


Orang yang sebelah itu pun nak jawab dalam keadaan acuh tak acuh..


"Emm..bang, saya tak faham apa yang abang cakap..maaf bang," jawab budak itu.


Wah, takkan baru dua tiga hari datang sini dah tak kenal cakap loghat sendiri. Saya bilang begitu dalam hati. Marah pun ada,hehee. Tapi tidak mengapa, ada orang sebelah kanan saya kontinjen dari Selangor. Saya pun nak mulakan perbualan lagi.


" Adik, tak penat ke kita berjalan-jalan ni?," tanya saya yang agak bunyi baku.


" Bae, kito penat kakloh. Dok ghok doh ning. Orang cakap gape dok pahang doh," jawab adik sebelah saya.


Dan saya tergamam....


Bahasa dan bahasa..

Rupa-rupanya, orang dari kontinjen Terengganu yang saya tanya pada mulanya adalah adik dari Kemaman. Mungkin dia sudah terbiasa cakap baku. Jadi tak faham bahasa dialek Terengganu. Tapi yang kontinjen Selangor tadi rupa-rupanya adik yang sekolah di Selangor tapi asal di Terengganu. Mak abah orang Terengganu tetapi menetap di Selangor.


Bahasa tetap dibawa ke mana-mana. Waima kalau selagi tak menyusahkan. Dan sekarang saya sudah bercampur bahasanya..Kelate campur Terengganu!hehe..

Yang penting juga, kami kalah pertandingan ini,hehe..wassalam!!!!~


p/s-Oh Terengganu..

Ramadhan versi Kerja-3

geng-geng MTLT


Alhamdulillah, Allah ta'ala masih memberikan kesempatan pada saya dan semua yang masih lagi dapat bertemu dengan Ramadhan kali ini. Bagi saya, ini sudah tahun ketiga saya berpuasa sebagai pekerja yang mencari rezekiNya. Tidak ada alasan untuk malas bekerja sedangkan tuntutan mencari rezeki dengan usaha diri sendiri itu harus bagi setiap muslim.


Ramadhan kali ini tetap bermakna juga kerana Allah ta'ala masih memberikan kesihatan tubuh badan yang sihat biarpun selalu saya ini ada juga melakukan maksiat kepada Allah, waima dalam keadaan sedar mahupun tidak. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa saya dan kita semua selama ini.


Ramadhan versi kerja


Ketika kali pertama bekerja dalam versi Ramadhan dua tahun yang lalu, bekerja waktu itu sungguh penat. Namun, bersama sahabat dan kawan ketika itu yang meraikan kita dalam setiap perkara, memberikan kepuasan dan meng'hilang'kan penat..



geng-geng PTPL




geng-geng PTPL


Masih diingati ketika berbuka bersama rakan sekerja di kolej PTPL. Semuanya masih segar dan bugar dalam ingatan biarpun semua sudah bertaburan ke sana sini dalam meneruskan usaha mencari rezeki. Ada yang sudah berbini dan berlaki serta macam-macam lagi.


Kali ini juga, alhamdulillah Allah ta'ala masih memberikan rakan sekerja yang sekepala yang sama seperti di tempat kerja dahulu. Alhamdulillah, ia menjadikan Ramadhan kali ini tetap tidak penat walaupun kerja bertimbun dengan karenah pelajar; juga pensyarah..


Kerja itu Ibadat


Ingat, selagi niat kita betul kerana Allah, tidak langgar pagar syariat, insyaAllah kerja kita boleh dikira Allah sebagai ibadat. Dan kita juga sentiasa berdoa agar ia sentiasa dicatit oleh Malaikat kanan kita untuk segala kebaikan ini.


p/s-Selamat Ramadhan dan bekerja!!