Tuesday, October 28, 2008

Kurang Ajar atau Memang Tak Pernah Diajar

Terkejut bila membaca berita tentang seorang pelajar yang menendang guru mereka. Lagi-lagi guru yang mengajar mata pelajaran mereka pula adalah wanita. Fuh,subhanallah..apa hendak jadi dunia kita sekarang. Sudahlah kebejatan ekonomi yang telah memaksa Pak Lah kita selaku Menteri Pertahanan menangguhkan pembelian helikopter baru waima Nuri sudah lagi tidak menunjukkan kecemerlangannya, ditambah lagi dengan kebejatan akhlak dan adab masyarakat kita yang sekian lama kita rungsing dan bimbangkan, semakin menjadi-jadi.

Inilah bukti yang paling baru dan jelas betapa akhlak dan adab generasi muda sudah berada pada satu tahap membimbangkan dan sepatutnya kita sudah patut mengambil cara pencegahannya. Bukan lagi hanya menunggu masa untuk bertindak setelah berlaku sesuatu. tengoklah apa jadi pada pelajar yang menendang guru mereka. Akhirnya dibuang. Bagaimana kalau semua ini diubah dan dicegah dari awal?? Bak kata orang kita kena jadi proaktif bukan lagi reaktif. Cegah sebelum menjadi lagi parah.


Kurang ke atau macam mana..

Ajar yang diberi tidak disambut dengan baik atau macam mana sebenarnya. Ibu yang telah menatang kita bagai nak rak tapi kita pula yang menconteng arang ke mukanya. Pelbagai masalah yang timbul dari generasi muda sekarang bermula dengan masalah seperti yang mukmin sebutkan tadi, masalah bercumbuan tanpa segan silu di sekolah dan macam-macam lagi dan dengan pasti kita akan menyebut..

“mak ayah tak ajar ke ni”

“mak diorang takde nak pantau ke”

“memang takde didikan agama langsung”

Kalau kita sebagai mak ayah kepada yang melakukan masalah-masalah ini apa perasaan kita sekiranya kita mendengar cakapan orang seperti ini. Pasti rasa sedih dan hiba. Mereka bukan tidak ajar. Mereka bukan tidak beri didikan agama. Mereka bukan tidak mahu pantau. Malahan mungkin semua itu dan lebih lagi mereka sudah lakukan. Inilah yang kita kena telan. Inilah yang berlaku apabila suasana masyarakat kita sudah lagi tidak mengambil Islam sebagai paksinya.



Suasana masyarakat


Suasana

Suasana ini memang besar kesannya. Masakan tidak Hassan Al-Banna menggariskan untuk pembentukan khilafah Islam harus bermula dari pembentukan peribadi Muslim, Keluarga Muslim dan seterusnya Masyarakat Muslim. Masyarakat Muslim itu sendiri merujuk kepada suasana masyarakat yang perlu dihasilkan.

Ajaran sudah diberi. Bukan kerana cukup atau tidak tetapi kerana suasana kita di bumi Malaysia tercinta sudah banyak harus dinilai. Ayuh, kembali lah kita kepada ajaran Islam sebenar dan yang sepatutnya.Kalau kita tidak mengambil jalan dari sekarang, nampaknya haruslah bersedia menghadapinya nanti. Peringatan untuk diri ini sendiri..dan juga pada sesiapa yang mencintakan agama, bangsa dan negara tercinta..

wallahua'alam..

Friday, October 24, 2008

Hati dan Hati-Hati

"Bro, aku sendiri tak dapat nak tahan dah kadang-kadang. Sanggup aku turun sana nak jumpa tapi dia pula yang buat rileks je," tinta kawan mukmin yang seorang ini. Keluhnya adalah mengenai seorang yang bernama perempuan. Bila hati dah rasa rindu apa pun jalan kot..hehehe

Hati

Ini semua kerja hati. Hati yang dipandu dengan baik pasti akan memberikan hasil yang baik. Hati ini bukan HATI ataupun kita kenali sebagai liver dalam English tapi hati ini hati yang diungkapkan oleh Nabi kesayangan kita yang maksudnya jika hati yang baik maka baiklah seseorang itu tapi jika hati yang tidak baik maka kita boleh fikirkan sendiri.

Masalah hati dari dulu sampai sekarang kalau tidak dididik dengan baik dan elok akan senang sahaja dipandu oleh syaitan. Namun bila kita sentiasa di dalam hati yang lalai jangalan kita lupa untuk memohon padaNya. Peliharaan Allah adalah yang terbaik dalam mengatasi godaan-godaan musuh ketat umat Muhammmad dan selainnya. Ingatlah doa yang pernah diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada Umar.

“Hai Tuhanku! Peliharakanlah aku dengan Islam waktu aku berdiri, dan peliharakanlah aku dengan Islam waktu aku duduk, dan peliharalah aku dengan Islam waktu aku tidur dan janganlah engkau menuruti musuh dan orang dengki terhadapku”

Kenapa doa ini Nabi kita mengajar untuk dipeliharakan dengan Islam? Kerana dengan Islam semata-semata lah kita akan selamat dari syaitan mahupun yang kita nampak mahupun tidak. Lebih-lebih lagi pada hati kita yang sentiasa leka dan alpa padaNya..

Hati-hati

Maka untuk kesekian kalinya marilah mukmin mengajak diri ini sendiri dan kawan-kawan lain untuk kita sentiasa berhati-hati dengan masalah hati ini. Mukmin akui diri ini sendiri tidak hebat dan kuat untuk melawan dan mengatasi masalah hati yang sering dibuai dan dilekakan oleh syaitan laknatullah.

Untuk akhirnya, jangan lupa untuk terus memohon hanya padaNya dalam masalah-masalah ini walaupun mungkin semuanya telah tertulis dalam catatanNya.

“Dan jika Allah kenakan bahaya kepada engkau maka tidaklah ada yang dapat melepaskannya melainkan Dia. Dan jika Ia mahukan kebaikan kepada engkau, maka tidaklah ada yang dapat tolak bagi kurniaanNya.”

Yunus:107

p/s-selamat menjaga HATI. Teringat lagu JAGALAH HATI oleh SNADA..

Sunday, October 19, 2008

Bersediakah Kita Untuk Hadapinya

Bila sebut pasal bersedia, tentu banyak kena buat. Kerana itulah yang akan menentukan berjaya atau tidak persediaan kita. Perubahan yang berlaku sekarang menuntut untuk kita semua terus bersedia.


Pemilihan yang gah

Bila ditunda kepada Mac tahun depan, sememangnya ramai ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu akan bersedia untuk pemilihan tersebut. Sehinggakan Tan Sri Muhyiddin sendiri berkata tempoh empat bulan sesuatu yang lama bagi kempen kali ini.Mungkin dia berkata untuk menyokong atau tidak pemilihan kali ini kita sama-sama fikir kerana hingga ke saat ini beliau sendiri sudah ada sehingga 24 pencalonan dan hanya perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 14 pencalonan lagi bagi jawatan Timbalan Presiden...




Bermulalah pemilihan yang dikatakan gah dan akan memberi kesan kepada perjalanan Malaysia nanti katanya...



Pakatan Rakyat?


Dalam pelbagai cerita pemilihan pertubuhan ini, Pakatan Rakyat seolah-olah senyap membisu. Hanya kalau kedengaran cerita dan berita yang tidak sedap didengar. Bermula dengan patung Anwar di simpang empat di satu tempat di Gombak, kisah Raja Petra dan macam lagi.Emm..macam-macam sekarang.


PRK pula

Malah, pilihan raya kampus(PRK) menjengah kali ini dengan format baru.Ahh...tak kisah la buat sekali ke dua kali dalam satu sesi, kalau mahasiswa sekarang tak nak ambil tahu memang tak nak ambil tahu. Alih-alih akan ada la suara-suara sumbing; politik je lebih, belajar pula tak mahu. Macam ini ke kita hendak merebut Universiti dunia kalau pelajar sendiri sudah berfikir sedemikian..sama-sama fikirkan.


Apa sebenarnya?

Tak tahu kenapa mahu menulis juga kali ini. Kadang-kadang isi sama je orang lain. Mungkin sebab melihat betapa perubahan-perubahan yang sedang berlaku di Malaysia sekarang menuntut untuk kita lebih peka dan lebih ambil cakna. Bukan kerana kita ini taksub berpolitik. Bukan kerana kita ini mahu menyalahkan sesiapa. Tapi kita ambil tahu kerana segala perubahan yang sedang berlaku sekarang menuntut untuk kita lebih bersedia menghadapinya kerana macam-macam akan ada hasilnya nanti. Kalau kita tidak bersedia, emm..tunggu je lah hasilnya nanti. Samada baik atau buruk hasilnya, kita lihatlah nanti..

Tak sabar melihat Malaysia dalam 2020..

Thursday, October 16, 2008

Misi Bertemu Amir!!!

Hari ini satu pelaksanaan dilakukan atas satu misi yang telah lama ditetapkan. Satu tujuan yang dilabuhkan di atas satu perjalanan. Misi dan tujuan tiadalah besar sangat cuma mahu ditemukan dengan Amir. Siapa Amir?


Muhammad Amir Safwan


Muhammad Amir Safwan

Kalau tak salah, Amir dilahirkan ke bumi Tuhan ini hanya beberapa hari sebelum kita semua menyambut Hari Aidil Fitri baru-baru ini. Muhammad Amir Safwan nama diberi kepada anak saudara mukmin yang baru. Kenapa sampai dijadikan satu misi untuk bertemunya. Kenapa tidak jumpa sahaja nanti lain masa?

Amir dilahirkan dengan cukup sifat luarannya namun dalamnya hanya Allah sahaja yang Maha Tahu betapa kesakitan seorang bayi kecil menanggungnya. Amir mempunyai sedikit masalah pada jantungnya. Dikhabarkan dari abang mukmin sendiri kedudukan jantung; kedudukan ventrikel kanan dan kiri bertukar dan tiada saluran dari jantung ke peparu.Subhanaallah!!! Maha suci Allah diungkapkan..Betapa ujian yang diberikan kepada abang mukmin setelah pelbagai ujian lain diberi.

Dari HUKM ke Institut Jantung Negara(IJN). Dari wad biasa IJN ke wad NICU IJN. Dari RM25,000 kos pembedahan kepada RM 8,000. Dari kesungguhan seorang ibu kepada kepenatan seorang ayah. Dari Arau ke IJN. Dari Kota Bharu ke IJN. Semuanya perlukan kepada kesabaran kerana semua ini adalah ujian Allah kepada hambanya yang biasa ini. Kalau lulus yang ini, insyaallah iman kita Allah akan beri yang terbaik...

Sabar dan Ikhlas

Dua ungkapan yang sukar untuk dilaksanakan. Pembedahan sudah selesai hampir seminggu. Namun Amir masih lagi berada IJN. Misi kali ini untuk bertemu dengan Amir semoga dipermudahkan. Agar Muhammad Amir Safwan sentiasa dalam keadaan sihat sepenuhnya bila bertemu nanti. Tunggu bapak sedara ini datang ya Amir!!!

semoga Allah permudahkan....Amin.

Misi Bertemu Amir...

Wednesday, October 15, 2008

Jiwa Syahid Terus Mekar


Imam Hassan Al- Banna

(1906-1949)


Semuanya telah disiapkan. Segala persiapan untuk memastikan Hassan Al-Banna tamat nyawanya hari ini sudah disiapkan.Pada malam tanggal 12 Februari 1949, beliau telah berkelana ke alam abadi selepas konspirasi lengkap yang dirancang untuk membunuhnya berjaya. Sesungguhnya regim Mesir yang merancang telah menyuburkan lagi jiwa-jiwa jihad di kalangan pemuda-pemuda Islam.


Hayat yang Singkat, Namun Jasanya Besar


Pada 14 Oktober 1906, Imam Hassan Al- Banna telah dilahirkan ke muka bumi Tuhan. Semalam, cukup seratus dua tahun seorang yang dikatakan Mujaddid abad 20 dilahirkan. Namun begitulah onak duri dan ujian yang perlu diterima untuk membawa panji-panji Islam. Dalam usia yang muda, beliau telah dipanggil bertemu Ilahi dalam suasana yang sungguh menyayat hati. Namun, syahidnya beliau telah menyemarakkan lagi jiwa-jiwa jihad yang telah menggerakkan Gerakan Islam di seluruh dunia.


Politik, ekonomi, dinamika tarbiah dan dakwah, isu-isu Palestin, ikatan ilmiyyah, fikrah kemasyarakatan dan banyak lagi yang telah dirungkai oleh beliau dalam usaha untuk mengembalikan tanggapan Islam yang sebenar yang dicanang salah oleh kaum kafir laknatullah setelah kejatuhan Khalifah Islam yang terakhir.


Pelbagai risalah dan artikel yang dikeluarkan di samping pidatonya yang bermakna membangkitkan semangat juang pemuda-pemuda Islam pada masa itu sehinggalah sekarang. Malah, beliau yang mengasaskan Jemaah Ikhwan Muslimin sebenarnya telah banyak mencorakkan landskap jatuh bangun Gerakan Islam dahulu, kini dan insyaallah sampai satu masa yang kita yakin apabila Khalifah Islam itu sendiri dapat dibangunkan semula. Maka sesuailah dengan nama yang diberikan pada beliau Hassan Al-Banna yang membawa maksud Hassan yang membina.Mungkin ia kebetulan namun itulah sesungguhnya banyak yang telah dibina oleh beliau dalam menyediakan asas-asas kepada seorang pejuang Islam.


Hassan Al-Banna-Mujahid Yang Akan Terus Disematkan


Seorang jiwa pejuang sejati yang boleh terus dijadikan suri dan teladan. Jiwa syahid yang terus mekar sehingga sekarang. Semoga diri ini akan sentiasa memperingatinya dalam usaha untuk terus mengingati tokoh-tokoh pejuang Islam yang terdahulu yang sentiasa menjadi rantai-rantai perjuangan dalam Islam. Semoga diri ini juga akan terus menjadi penyambung kepada rantai-rantai perjuangan, insyaallah.


"...Kita bukan yang memulakan, dan kita bukan yang mengakhiri namun kita adalah yang menyambung rantai-rantai perjuangannya..."

Saturday, October 11, 2008

Selamat Hari Tua..

Selalu mak menceritakan ayat ini setiap kali tarikh double ten tiba.

"Weng ni sama tarikhnya dengan abang tu walaupun beza tahunnya. Kalau boleh lepas ni janganlah ada yang tak puas hati antara satu sama lain. Kita adik beradik kena lapangkan dada, jangan dengki, mudahkan satu sama lain, ada apa-apa yang boleh tolong, silakan," pinta mak mukmin.

Satu peringatan yang selalu diberi pada mukmin dan juga abang. Malah mungkin diberikan pada semua adik beradik yang lain. Jiran-jiran, saudara mara, sahabat handai mak selalu cakap-cakap macam mana mak dapat besarkan anak lelaki yang ramainya 7 orang. Biasanya anak lelaki ini ada yang ganas-ganas dan susah nak dengar kata orang. Namun pada Mukmin, paling kurang setiap daripada kami ada kejayaan masing-masing.

Tiada apa rahsia dari mak sebab mak pun belajar dari maknya. Satu rahsia yang sempat tahu dari mak adalah mak memang akan pastikan anak-anak ini kena balik sebelum Maghrib. Maghrib mesti ada dah kat rumah. Senang nak pantau nanti.Mungkin sebab itu dulu pernah kena kurung kat luar dengan mak sebab mukmin dan abang-abang lain pulang lewat selepas Maghrib. Takpe la. Paling kurang jadilah kami seperti sekarang.


Tidak Pernah

Dulu-dulu masa kecil selalu dibuat sedikit sambutan hari lahir tapi berpadanan dengan kemampuan keluarga. Padan dengan masakan mak yang best dan boleh tahan sangat pada pandangan mukmin. Cuma tidak pernah mukmin mahupun abang-abang lain mahu menghargai apa yang dibuat oleh mak dulu-dulu. Cuma tahu makan dan tamat di situ sahaja. Bila masanya sudah besar sekarang, barulah sedar akan semua itu. Kadang-kadang disebabkan mak yang lebih menghargai anak-anak, anak-anak kadang-kadang lupa untuk menghargai mak dan hari lahirnya. Selalu sahaja terlepas pandang. Mungkin ini perangai anak-anak lelaki...maafkan kami.


Selamat Hari Tua..

Ku ucapkan untuk diri sendiri dan juga pada abangku, Mohd Hilmi Bin Mohd Noor. Selamat hari tua dan semoga kita sentiasa di dalam rahmat dan perlindunganNya. Tua kita semakin menuju kepada dekat kita padaNya. Semoga amalan kita sentiasa ada pertambahannya,insyaallah..



Cikgu Hilmi



Juga pada mak, tak lupa mukmin mahu ucapkan dan rakamkan jutaan terima kasih kerana sanggup menjaga dan membesarkan kami sehingga tua macam sekarang. Sehingga dapat mengenal erti kehidupan. Terima kasih mak..

p/s-SELAMAT HARI TUA untuk siapa yang menyambutnya!!!

Sunday, October 05, 2008

Mari Kita Dapatkan..

Salam Ramadhan dan Syawal untuk semua. Semoga hendaknya Syawal dan berbaki bulan yang ada memberikan kita hasil tanaman yang baik setelah menanam dan menyemai benihnya pada Ramadhan yang lalu. Sekilas pandang bila tiba Aidil Fitri mesti akan ada antara kita sudah mula untuk memulakan aktiviti-aktiviti lama kita yang tidak berapa elok. Yang jelas dan ketara tentang penunaian solat. Sekiranya waktu Ramadhan kita diberikan ujian untuk solat ketika berpuasa, waima ketika selepas berpuasa kita senang-senang sahaja tidak menunaikannya.


Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’

Al-Baqarah:45

Khusyu’


Tertarik dengan ulasan UZAR mengulas takrifan yang kurang tepat tentang bulan Ramadhan sebagai bulan latihan untuk menjadi baik. Dicadangkan dengan takrifan lebih jelas iaitu Ramadhan sebagai bulan ujian sebenar dan bulan didikan bagi umat Islam. Benar. Bulan Ramadhan sememangnya sebagai bulan ujian dan bukannya bulan latihan. Bulan ujian yang keputusannya dapat dilihat selepas Ramadhan.

Begitu jua hendaknya tentang solat. Solat yang ditunaikan pada bulan ini haruslah solat yang benar-benar kita masukkan sebagai UJIAN untuk kita mendapatkan rasa khusyu’ dan seterusnya dapat membantu kita dalam mencegah fahsya’ dan mungkar.




Jika khusyu’ dalam solat pun kita tidak dapatkan, macam mana untuk kita berdepan dengan segala masalah yang lain. Masalah yang sememangnya akan sentiasa ada. Memang benar sukar untuk mendapatkan khusyu’ tetapi kita sepatutnya sudah cuba untuk mendapatkannya. Yakinlah dengan janji Allah solat dan sabar akan menjadi penolong kita namun hanya pada mereka yang solatnya khusyu’. Bukannya solat yang caca merba dan malas untuk menunaikannya.

Ayuh!!!

Oleh itu, peringatan untuk diri sendiri dan sahabat untuk kita kembali pada sebenarnya kenapa perlu untuk kita solat. Apa gunanya Ramadhan kita bangun-duduk solat sedangkan selepas Ramadhan kita dengan senang hati tidak menunaikannya malah mungkin melambat-lambatkannya? Sama-sama kita fikirkan...


Allah Maha Besar Dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi Dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit Dan bumi, Dengan suasana lurus Dan berserah diri. Dan aku bukan dari golongan orang musyrik.

Sesungguhnya Solatku, Ibadatku, Hidupku, Matiku Adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak Ada sekutu bagiNya Dan kepadaku diperintahkan untuk tidak Menyekutukan bagiNya Dan aku dari golongan orang Islam.