Friday, May 31, 2013

Kembara, Aku Datang!!

Alhamdulillah, tanggal 14 Jun 2013 nanti saya akan memulakan musafir pertama saya ke bumi Eropah atau secara spesifiknya di bumi United Kingdom. Hanya 12 hari sehingga 26 Jun 2013 namun ia semestinya satu pengalaman mendebarkan serta mengujakan.Jika anda pernah baca entri saya yang dahulu , betapa saya sentiasa merancang untuk kembara di bumi Allah yang begitu luas ini. Pada masa yang sama mencari erti makna kebesaran dan kekuatan Allah,insyaAllah.


Bumi Chelmsford, Essex, UK

InsyaAllah,jika tiada apa apa aral melintang saya akan sampai di bumi ini pada 16 Jun 2013, sehari selepas ketibaan di Heathrow pada 15 Jun 2013. Jika ada masa, akan menziarahi anak sepupu yang sudah lama tak ketemu dan hampir 5 tahun sudah menetap di sini. Semoga Allah mudahkan saya setiap masa demi pertemuan ini. Bermula program saya di Writtle College adalah di atas peluang dan ruang yang diberikan oleh majikan saya, Universiti Malaysia Terengganu untuk mempelajari sesuatu yang baru dan menerokai peluang peluang yang ada dalam memajukan lapangan kerja saya dalam lapangan Teknologi Lepas Tuai atau dikenali Post Harvest Technologies Unit di Writtle College.

Peluang ini semestinya saya tidak sesekali akan siakan. Ia datang dengan izin Allah, semoga saya juga mengharapkan agar apa yang dirancang di sana berlaku dengan baik bersama dengan izin Allah juga. Doakan saya juga teman teman saya sekalian.

Hampir 12 hari di sana nanti, antara yang saya ada perasaan mendebarkan adalah bagaimana seorang musafir itu harus senantiasa rapat dengan Allah,bukan semakin jauh dengan Allah. Di bumi Chelmsford nanti, cabaran cabaran yang boleh saya kira sebagai mencabar adalah bagaimana saya mampu untuk sesuaikan diri dengan perubahan waktu, cuaca,suhu,pemakanan,cara berfikir mereka serta bagaimana saya mampu menyesuaikan diri dengan mereka dalam tempoh yang singkat. Semoga Allah juga berikan kekuatan ini, Ya Allah..



Akhlaknya

Saya ada rasa sedih juga kerana tidak dapat menunaikan janji saya untuk ke bumi Mekah dan Madinah terlebih dahulu,namun seperti yang saya sebutkan saya tetap akan terus berusaha untuk sampai ke sana. InsyaAllah saya akan jadi perjalanan musafir ini ke bumi United Kingdom ini sebagai ibadah berpanjangan,biarpun tidak sehebat perjalanan ke bumi Anbiya' itu. 

Selamat bermusafir semua!!

Thursday, May 30, 2013

Anak Muda Harapan Islam

Tamat sudah pengejaran umat Nabi Muhammad SAW ke atas maksud hadis Nabi Muhammad SAW 800 tahun sebelumnya di atas hadisnya, " Konstantinapole akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik baik raja dan tenteranya adalah sebaik baik tentera." Tahun awal 857 Hijrah, kota ini ditawan oleh Sultan Muhammad, pewaris keturunan Sultan dari Empayar Uthmaniah, empayar terakhir Islam sebelum kejatuhan pada awal tahun 1920an.

Sesudah hampir 560 tahun kota ini dibuka oleh sebaik baik raja dan tentera, betapa sejarawan Barat menutup kisah yang agung dan terhebat ini pada mata masyarakat Islam dengan membuatkan Turki menjadi negara sekular dan teruk pada pandangan orang Islam yang lain. Orientalis Barat berjaya menjadikan masyarakat Islam tidak sedikit pun sedar akan kehebatan Sultan Muhammad membuka kota ini dengan penuh kesungguhan dan perancangan di samping betapa jujur dan ikhlasnya pada Allah dalam pembukaan kota ini.


Sultan Muhammad Al Fatih

Al Fatih itu hanya gelaran diberikan kepadanya. Sejujurnya nama Sultan Muhammad itu begitu sinonim dengan nama kebanggan umat Islam yakni Baginda Nabi kita sendiri. Oleh kerana itu, adalah digalakkan kita memberikan nama yang baik baik kepada anak kita di samping kita berdoa agar anak kita dapat menurut menjadi sebaik namanya. Sultan Muhammad Al Fatih bersama gelarannya adalah salah seorang ikon anak muda bagi setiap anak muda Islam yang perlu diangkat di samping idola kita setiap masa Baginda Nabi Muhammad SAW. Pada umur 21 tahun beliau berjaya menjadi sebaik baik Raja dan menjadi sebaik baik ketua mentarbiyah sebaik baik tentera dalam menawan kota Konstantinapole. Kita umur dah nak masuk 30 tahun pun belum ada gelaran yang baik baik diberikan oleh orang lain, paling kurang biarlah sebelum 30 tahun kita ada gelaran yang baik seperti Sultan Muhammad Al Fatih ini. Tak dapat gelaran dalam bahasa Arab, dalam Bahasa Melayu pun jadi la..

Sebagaimana kita ada ikon anak muda di Malaysia sejak zaman berzaman. Kalau dulunya, Ustaz Nik Aziz Nik Mat, Ustaz Abd Hadi, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Fadzil Noor, Anwar Ibrahim dan menyusuri zaman lain sehingga generasi kini,semestinya juga pada zaman ini. Semalam, seorang lagi anak muda ditangkap, Saudara Safwan Anang, aktivis UM dan Malaysia di atas kelacuran politik Malaysia yang semakin merunsingkan. Sebelumnya pula Adam Adli, kali ini mereka yang ada kuasa sudah menyalah gunakan kuasa yang ada. Mereka anak anak muda semestinya tahu akan perkara ini menyusahkan mereka, tapi kerana mahu menjadi contoh yang baik untuk generasi yang tidak sanggup melihat undang undang dilacurkan dan penipuan menjadi raja, Mereka bangun melawan. Kita setuju mereka mungkin akan menyusahkan banyak pihak akan tetapi kita juga bersetuju sampai bila kita harus diam melihat semua ini berlaku. Jika bukan sekarang, bila lagi? Ketahuilah, dunia mungkin memerlukan pelbagai akta untuk menangkap kita, tapi untuk masuk syurga dan neraka Allah kita cuma perlukan pahala dan dosa. Anak muda harus sedar, bukan sekadar bersemangat menjadi ikon namun paling penting adalah gerak kerja kita adalah sama ada mahu menambah pahala atau menambah dosa. Anak muda hari ini adalah penentu corak kepimpinan masa depan negara. Sebagaimana Sultan Muhammad Al Fatih berjaya membuka kota Konstantinapole pada 560 tahun yang lalu, sebenarnya telah membuka peluang dan ruang dakwah yang lebih luas untuk menerokai dakwah hampir 3 per 4 dunia. Jika tidak Sultan Muhammad Al Fatih mencuba pada usianya 21 tahun, mana mungkin selama 28 tahun yang berbaki sebelum Allah menjemputnya pada umur 49 tahun, beliau benar benar bersungguh mahu membuka 'kota konstantinapole' yang lain demi menyebarkan usaha dakwah. Begitulah juga atas usaha murni Safwan Anang dan Adam Adli agar usaha dan peluang dakwah terus terbuka untuk kita dan generasi muda selepas kita menerokainya,demi menambah pahala bukan lagi sekadar menambah dosa.



Sultan Muhammad Al Fatih


Anak Muda Harapan Islam

Ya, anak muda pada mana mana generasi sebelum dan selepas ini pasti akan sentiasa menjadi harapan Islam. Bukan tidak menyanjungi yang sudah lama, namun yang muda dengan kuasa dan kemampuan yang ada mereka mampu menjadikan dan menjanjikan perubahan yang lebih baik di samping nasihat nasihat berguna dari orang yang lama. Anak Muda sentiasa menjadi harapan Islam.Itu pasti, InsyaAllah.

Penutupnya, sama sama kita doakan dengan mengambil iktibar juga bagaimana semenjak awal perancangan Sultan Muhammad Al Fatih mahu membuka kota Konstantinapole ini. Usaha dibuat bukan sehari dua namun bertahun tahun. Bersama pengaruhnya, kebijaksanaan kepimpinan,penuh strategi melawan musuh dan menambah kawan, bersedia dengan pelbagai kemungkinan, menguatkan segala keperluan fizikal dan rohani, dan paling penting kebergantungan begitu kuat dan kukuh dengan Allah setiap masa menajdi tunjang yang hebat.

Jika kita sudah cukup ini, bersedialah kita. Mungkin kita anak muda boleh menjadi agen kepada " sebaik baik Raja dan sebaik baik Tentera" dalam konteks PRU 14.

Seeru Barakatillah!!

Wednesday, May 29, 2013

Bergabung Biar Bersetuju, Berpecah Biar Bukan Tak Sebulu

" Bergabung biar bersetuju, berpecah biar bukan tak sebulu "

Inilah ungkapan terbaik yang saya rasakan dalam mengisi kelompongan pasca PRU 13. Ada sebabnya kemenangan Allah tangguhkan kepada pihak pembangkang sekarang.Sama ada pihak pembangkang tidak berjaya menarik minat pengundi atau sememangnya benar wujud faktor faktor menipu yang lain, hanya Allah yang tahu dan boleh dedahkan memandangkan kesemua pihak berani bermain tipu.Kita hanya ada Allah jika kesemua pertolongan manusia tidak dapat membantu. Namun dalam aspek organisasi, saya yakin pihak pembangkang masih mencari formula terbaik yang dapat menjadikan pembangkang yang hebat dan pada satu masa nanti dapat menjadi pihak kerajaan memerintah pula,dengan izin Allah.


Isunya timbul apabila Tuan Guru Presiden PAS membidas calon calon PKR yang masuk juga bertanding di kawasan yang dipersetujui untuk PAS dan memberikan sebab kenapa PAS terpaksa menghantar juga calon yang di dalam kawasan PKR bertanding. Kesemuanya adaalh kerana peringatan yang ditunjukkan pada PRU 12 yang lalu di mana akibat semberono PKR Perak menyebabkan kerajaaan Perak bersilih kerajaan dari PR kepada UMNO hanya kerana kewujudan katak katak PKR yang semberono ini. Kerana kelantangan ini, Ketua AMK membidas juga di satu majlis rasmi PKR. Kebiadapan Presiden PAS membidas mengakibatkan masalah kepada PKR dan mereka juga membidas PAS dalam isu Kota Damansara. Apa jua sekalipun, kita tetap nampak DAP tetap dengan cara mereka yakni tidak menunjukkan masalah dalam berkawan antara PAS dan PKR.Namun mungkin atas dasar orang Melayu mendominasi kedua dua parti ini, isu ini nampak semacam ada tidak kena.



PRU 14: Penentu PR


Bergabung Biar Setuju, Berpecah Bukan Tak Sebulu

Saya setuju ketika Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menegaskan tidak akan ada penggabungan antara PAS dan UMNO selagi hayatnya masih ada. Tuan Guru sedar akan penggabungan dulu masih terasa sakitnya.PAS ada ahli ahli nya. Mereka semua perlu bersetuju jika mahu bergabung, bukan kerana dua tiga orang sahaja. Inilah penegasan paling kuat dan kukuh dalam bergabung. Semua kena bersetuju. Mahu berpecah dalam PR hanya kerana pandangan ketua AMK? Mahu keluar PR hanya kerana tidak sebulu dengan Anwar? Ketahuilah, PAS akan keluar juga dari PR bukan dengan sebab sebab ini. Bukan kerana tidak sebulu dengan siapa siapa. Tapi PAS akan tetap keluar jika PKR dan DAP melanggar prinsip dan objektif kenapa PAS bekerjasama dengan mereka. Ingatlah PAS ditubuhkan bukan semata untuk menang membentuk kerajaan namun lebih penting daripada itu ialah untuk mendapat berkat dari Allah dalam mengurus organisasi, dalam membentuk masyarakat,dalam mengurus ahli ahli serta pelbagai lagi.


Hujungnya, agar kita yang boleh berfikir dengan baik jangan cuba meletakkan akal kita sama dengan orang yang tak boleh berfikir dengan baik. Ketahuilah jangan bangunkan fitnah. Jika tidak, susah kita untuk masa mendatang. Fitnah ini buruk padahnya serta kesannya ramai yang akan 'mati' hati dan emosi.


Salam perjuangan!!

Tuesday, May 28, 2013

Selamat Kembali~

Alhamdulillah, setelah lama tidak menulis Allah benarkan lagi saya untuk menulis di sini. Memang berhabuk laman ini,tanpa diusik sedikit pun oleh tuannya sebelum ini. Begitu lama dan begitu tidak terjaga. Namun, ketika ada masa sebegini sepatutnya harus diisi dengan baik.

Kerancakan setahun bagaikan banyak yang berlaku. Pada individu, keluarga, kumpulan, organisasi dan juga negara khususnya berlaku pelbagai ragam dan kisah. Paling menjadi tumpuan adalah berakhirnya Pilihan raya Umum ke 13 pada 5 Mei yang lalu. Kisah dan coretan sudah ditulis dalam sejarah Malaysia betapa banyak perkara yang meragukan dan terus diragui sepanjang pemilihan ini. Namun Allah lebih mengetahui siapa yang menipu. Mereka yang tertipu akan terus mendesak sehingga mereka sedar mereka adalah penipu.Tapi jika Sang Penipu mahu terus hidup dengan menipu, kita akan terus berusaha menghukum mereka lagi pada PRU 14. Semestinya ada sebab kemenangan ini masih tertangguh.

Alhamdulillah, pada individu sendiri saya tidaklah banyak cuma dapat membantu keluarga mencari rezeki halal dan jelas adalah paling utama. Anak sulung pun sudah besar dan isteri pun makin cantik. Mami Abah sentiasa ceria dan semua pun sama. Di tempat kerja juga saya merasakan harus ada lompatan kebaikan yang lebih sempurna. Misalnya datang kerja awal dan pulang lambat serta mempastikan hasil kerja lebih effisen dan kemas.Apapun jua hasilnya biarlah Allah menilai bukannya manusia sangat. Kadang kadang sedih juga saya cuma dinilai penilaian 2012 sekadar BAIK namun mungkin Allah menegur saya di situ. InsyaAllah tahun ini saya sasarkan hasil kerja saya adalah pada tahap optimum dengan kuasa yang maksimum akan saya lakukan.





Tuan Guru Mursyidul Am PAS



Apa Lagi Yang Kita Mahu?

Tiada apa lagi yng kita mahu cuma kebahagian dan ketenangan dari Allah. Tiada guna duit banyak tapi tidak tenang. Tiada guna duit pun tiada tapi terusan tidak tenang. Memang rugi jika anak ramai tapi masih tidak merasa tenang dan bahagia. Kita cuma mahukan ketenangan yang diberikan Allah ke dalam hati dan jiwa yang sentiasa kusut masai dengan maksiat yang kecil dan juga besar kepada Allah ini. Hati ini dan jiwa ini perlukan ketenangan bukannya dengan masalah dan terus bertambah masalah. Kita setuju, cuma dengan mengingati Allah hati akan terus tenang dan bahagia.

Akhirnya, saya doakan dan mengharap teman teman juga sama agar saya dapat menulis setiap hari satu artikel yang bermanfaat kepada saya dan semua pembaca Saffmukmin. Kalau tidak bermanfaat hari ini mungkin pada masa yang mendatang. Seeru Barakatillah!!~