Tuesday, September 30, 2008

Selamat Aidil Fitri

Salam Aidil Fitri buat semua untuk sekian kalinya. Semoga Allah Ta’ala panjangkan rahmatNya pada kita semua agar dapat merasainya lagi pada tahun hadapan. Merasai keberkatan Ramadhan yang mulia dan sekaligus menyambut Aidil Fitri yang barakah ini.

Berkata Nabi kita, Muhammad s.a.w "rugi barangsiapa yang tidak mendapat keampunan dari Allah sehingga penamat Ramadhannya"

Terlalu besar ungkapan ini pada kita semua selaku umat Muhammad. Diungkapkan rugi bukannya istilah tidak apa. Rugi didefinasikan mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka sesuatu yang tidak mendapat keuntungan, bankrap, muflis, kurang, susut mahupun surut. Dengan jelas ia menunjukkan betapa rugi kalau kita tidak mendapatkannya.

Oleh demikian, kita berharap agar Ramadhan kali ini benar-benar memberikan kita sepenuh keampunan dariNya. Dan juga Aidil Fitri disambut pula dengan penuh keinsafan dan kemaafan.

Salam Aidil Fitri buat sahabat-sahabat di tidak kira di mana anda berada. Tak lupa pada sahabat-sahabat yang tidak dapat pulang beraya di Malaysia ; SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI. Semoga persahabatan kita terus kukuh hendaknya.

"Sesungguhnya taubat di sisi Allah itu adalah orang yang melakukan dosa kerana kebodohan dan kekhilafan mereka. Lalu mereka bertaubat dengan segera. Maka mereka itulah yang diterima taubatnya"

(Surah al-Nisa’, ayat 17)

Pada kesempatan yang ada saya ingin mohon ampun dan maaf atas kesilapan yang telah dan sedang dilakukan selama ini.

Salam Ikhlas Penuh Ukhwah, Salam Aidil Fitri Penuh Barakah.


Assalammualaikum..

Antara Baju Raya dan Duit Raya

Alhamdulillah, hanya menunggu masa sahaja untuk menyambut Aidil Fitri kali ini. Sememangnya ada yang akan gembira, ada yang akan sedikit berduka dan sebagainya. Pasti masing-masing boleh dikatakan bersedia untuk menyambutnya.


Kerja..

Cuti sudah habis, kali ini terpaksa kerja hingga ke hari-hari terakhir. Sungguh mencabar minda dan fizikal. Bukan kerana puasa tapi sedih keseorangan di tempat kerja. Tapi bila difikirkan alhamdulillah masih lagi dapat beraya nanti. Macam mana dengan perasaan mereka yang terpaksa bekerja pada hari raya. Pasti mereka yang berUNIFORM itulah pakaian rayanya. Baju rayanya.


Cerita pasal baju raya, tidak kisah apa rupa dan bentuk yang mahu kalian pakai. Berhiaslah dengan pakaian yang cantik dan indah asalkan menutupi aurat kalian. Kali ini, berebut adik beradik mukmin cari dan tempah baju raya kali ini. Terkadang fikir juga nak ke tak nak beli tahun ini sebab dah dua tahun pakai yang sama. Emm...baju,baju.

Raya tahun lepas..

Duit Raya Pula?

Dengan tanpa segan silu adik mukmin bertanya duit raya tiada ke tahun ni.


"Orang dah bekerja kena bagi rasanya," dengan senang adik berbicara pasal duit raya.

Ini sebenarnya paling kena fikirkan. Mungkin ini salah satu faktor kenapa dok pikir je nak ke tak nak beli baju raya. Namun itulah hakikatnya. Ada yang perlu diutamakan. Teringat kata-kata sahabat mukmin "Hulurkan sedekah, terutama kepada mereka yang lebih memerlukan, asalkan kita melakukannya dengan ikhlas dan dapat memelihara niat". Duit raya kan juga sedekah namanya..

Namun ada juga gembiranya. Kerajaan Malaysia dah pun memberikan duit raya pada semua kali ini dengan menurunkan harga minyak RM 0.10 minggu lepas. Kira bagusla kalau hendak dibandingkan tidak dapat apa-apa sebelum ini,hehe..

p/s-sedih sebab tak dapat duit raya kerja ni..

Monday, September 22, 2008

Ketika Cinta Bertasbih The Movie




Atas dari kiri: M.Cholidil Asanal Alam sebagai Azza dan Andi Arsyil Rahman Putra sebagai Furqon

Tiada dalam gambar: Alice Sofie Norin sebagai Eliana, Oki Setiana Dewi sebagai Anna dan Meyda Sefira sebagai Husna

Ketika dunia perfileman Malaysia masih di dalam mencari identiti, perfileman di negara seberang terus rancak mengeluarkan filem yang di adaptasi dari novel. Malahan lagi, novel ini adalah antara dikatakan 'best seller' di Indonesia mahupun barangkali di Malaysia sendiri. Pemilihan pelakon dibuat akhirnya baru-baru ini diumumkan pelakonnya. Disamping bajetnya dikatakan agak mahal dikeluarkan.


Ringkas kali ini. Adakah filem ini akan BETUL-BETUL membawa mesej ISLAM sebenar di dalam ikhtilat atau sekadar cerita untuk memenuhi kehendak pembaca yang ingin ia difilemkan? Bimbang berlaku sama macam filem sebelumnya dalam Ayat-Ayat Cinta The Movie di mana walaupun di dalam filem sebagai suami isteri namun di luar filem bukan pasangan yang sah dengan senang menyentuh dan berpegangan tangan antara satu sama lain. Cerita ISLAMIK tapi banyak yang perlu dinilai..


Semoga filem ini benar-benar membawa mesej ikhtilat dalam ISLAM seperti yang dituntut dan bukan sekadar cerita cinta sahaja..

p/s- tidak sabar juga menunggu watak Kang Azzam dan Furqon dilakonkan..

Jangan Undur Untuk Terus Berusaha

Teet...Teet...teet..

Bunyi mesej masuk. Bunyi pun macam sudah tidak berapa indah. Ringkas. Mesej masuk dari seorang pelajar mukmin untuk bertanya bahagian mana yang masuk peperiksaan esok.

Masuk kali ini, sudah lima mesej pesanan ringkas masuk ke dalam kantung inbox telefon mukmin. Kandungan yang sama. Meminta untuk beritahu soalan peperiksaan masuk yang mana dan bab mana. Bukan tidak mahu berkongsi tapi sudah diberitahu sebelum ini. Cuma kali ini mahu lebih rasanya..

Tolong..

"Tolongla encik..saya baca tak tahu apa..banyak sangat. Tolong la encik beritahu masuk yang mana. Encik beritahu esei pun cukup dah....," ayat di dalam mesej berbicara. Kadang-kadang terkedu bila baca mesej ini. Sekali fikir hendak je beritahu masuk yang mana tapi apa kan daya satu pun mukmin tidak tahu.


Mukmin terus sahaja balas mesej kalian.


"Salam untuk anak muridku...bukan tak mahu kongsi dan beritahu masuk bahagian mana cuma saya sendiri pun tidak tahu secara spesifiknya. Ikut sahaja apa yang saya beritahu sebelum ini. Baca bab-bab akhir dengan harapan dapat masuk struktur dan esei. Akhirnya saya harap tolong jangan undur untuk terus berusaha baik-baik, dengan sungguh-sungguh..ingat harapan mak ayah dan sasaran kita belajar kat sini.." cukup-cukup tiga pages mesej ku taip. Sambil hendak simpan kredit,hehe..



Sasaran kena betul

Harapan Tinggi

Insyaallah mukmin doakan dapat buat yang paling baik dan mencapai apa yang disasarkan dalam peperiksaan nanti. Sudah hampir dua minggu peperiksaan bermula. Esok kertas yang mukmin ajar akan mula bersidang.

p/s- kalau ramai yang lulus, hajat hendak je belanja anak-anak murid ni..

Thursday, September 18, 2008

Silap Itu Mudah

Teringat masa kecil-kecil dulu, selalu kena marah dengan mak. Marah kerana kesilapan yang sentiasa dilakukan. Marah kerana suruh yang lain buat yang lain. Marah kerana selalu ikut abang-abang buat kerja yang tidak sepatutnya. Tiga orang abang yang sememangnya nakal sejak kecil lagi. Siapa yang tak mahu ikut abang kalau abang ajak. Pernah sekali balik lambat waktu petang hinggakan semua kena 'kurung' di luar rumah sampai keesokkannya. Kesilapannya mudah sebab mak sudah pesan balik sebelum jam 7 malam. Tapi kami balik selepas dari waktu itu. Nasib aku terlepas sebab masa itu kecil lagi,hehe..


Belakang dari kanan ke kiri:

Abang sulung(berbaju kuning) hingga Aku yang keempat


Sekolah

Tiga kali peperiksaan besar yang dihadapi dalam hidup aku bermula dari UPSR, PMR dan SPM semuanya aku rasa kesilapan mudah aku menyebabkan tidak mencapai apa yang ditarget. Selalu sahaja kesilapan dilakukan. Bila kesilapan senang dilakukan masih lagi tidak ambil pengajarannya. Perumpamaan yang biasa kita dengar bila satu titik hitam dititik pada satu kertas putih maka satu titik hitam itulah sepatutnya senang dilihat. Titik inilah yang senang dinilai. Tetapi kenapa aku masih lagi kurang ambil pengajarannya...


Sekarang

Bila sudah kerja, memang kesilapan mudah akan berlaku sekiranya itu kerja pertama seseorang. Memang tidak dapat dielak kecil atau besar kesilapan itu. Waima kita sudah buat banyak kerja yang disuruh tetapi sekiranya ada satu atau dua kesilapan maka kesilapan inilah yang akan jadi buah mulut orang. Kesilapan yang mudah ini mungkin akan bagi kesan kepada kerja seseorang. Gajah di depan mata tiada pula nampak tetapi nyamuk yang terbang sekelilingnya pula dirakus.


Satu sudut di tempat kerja


Insyaallah mungkin ini sedikit rintihan dari hati yang dalam. Betapa tidak mahu diri ini sentiasa diselubungi kesilapan yang mudah. Kesilapan mungkin boleh jadi kelebihan sekiranya ditangani dengan baik. Mungkin ini adalah satu tanda untuk sentiasa muhasabah diri.


"dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya"

(Al-Baqarah:216)

p/s-maaf juga atas kesilapan mudah dalam mencoret nukilan di dalam saffmukmin ini.

Tuesday, September 16, 2008

Konvo..

Baru minggu lepas mukmin dapat gambar konvo dan softcopynya. Hendak kata marah pun ada juga sebab lama sangat sampai. Tapi tidak boleh marahkan sesiapa sebab mukmin suruh kawan yang hantarkan. Cuma terlalu lama menunggu..

3 keping gambar + 3 gambar softcopy?

Memang satu harga yang amat mengejutkan diri mukmin dengan 3 keping gambar dan 3 gambar softcopy. Bayangkan RM lima puluh ringgit setiap graduan kena bayar...


Aku Terima Ijazahnya..


Terima sekali lagi...

Cuba kita kira jumlah yang akan kedai gambar yang dapat tender dari USM untuk ambil gambar majlis konvokesyen ini.


(Ijazah Sarjana Muda) 6693 gradua
n x RM 50.00 = RM 334, 650.00

(Ijazah Sarjana) 773 graduan x RM 50.00 = RM 38, 650.00

Jumlah( subhanallah boleh kaya ni) = RM 372,300.00



Fuhh...lega rasanya..


Alhamdulillah..

Tapi tidak apa lah dengan harga gambar ini. Yang penting dengan harapan gambar ini dapat menjadikan kenangan dalam mendapatkan segulung ijazah 'yang amat' susah ini..

p/s-sekali fikir hendak pula berniaga bila rasa penat kerja di bawah orang ni..

Antara Dulu Dan Sekarang

Sedih hati bila baca kawan-kawan sekolah dulu masih lagi ada statement ini. Puak-puak BADAR, kiranya biar la dengan geng-geng dia. Betapa hati ini sedih dan remuk bila dengar cakapan itu.


4 Feb 1998

Masih ingat di kantung minda ini. Tarikh ini sememangnya memberikan aku kegembiraan kerana telah diterima masuk sebagai seorang pelajar di sebuah sekolah agama. Dan paling penting aku dapat menduduki asrama. Kiranya dalam keluarga aku inilah yang pertama tinggal di asrama sejak dari tingkatan satu. Rumah tiadalah jauh namun alhmadulillah rezeki dapat juga asrama.

Bangunan kelas tingkatan satu sekolah



Seminggu pertama bagaikan berada di 'neraka'. Bukan kerana panasnya sekolah dan asrama ini namun yang dikatakan sebagai 'neraka' ini adalah kerana sangat tidak percaya inilah asrama. Inilah kehidupan asrama. Seminggu ini kami pelajar tingkatan satu wajib untuk menjalani TAARUF WEEK. Mandi tiada pernah cukup, tidur sementelah lagi. Tazkirah kena salin dalam buku.


Selepas seminggu, aku dapat tawaran ke sekolah berasrama penuh. Tapi alhamdulillah satu sebab yang menahan aku untuk tinggal di asrama dan sekolah agama ini. Satu sebab yang menyebabkan aku bersyukur sampai sekarang. Paling kurang dapat la aku jadi macam sekarang. Sebabnya aku rasa seronok dengan kawan-kawan di sekolah ini. Kawan-kawan yang sememangnya baik untuk aku. Senang nak bergurau. Senang nak buat lawak. Aku masih ingat kawan-kawan A05, dorm asramaku masa tingkatan satu. Kelas tingkatan 1 Ibnu Taimiyyah. Kawan-kawan ini lah yang telah beri semangat pada aku.


2002

Tahun ni aku dapat jadi salah seorang ahli dalam Badan Dakwah dan Rohani (BADAR). Mudah je prinsip aku terima jadi ahli ini. Sama macam kenapa pengawas menerima tugasan sebagai pengawas. Pada aku bukan kerana baik dan tegasnya pengawas itu tapi kerana dia ada kelayakan PADA masa itu. Dia dapat melaksanakan tugas pengawas dengan baik sekiranya diberikan jawatan pengawas itu. Jadi aku terima sebagai AJK Kebajikan BADAR bukan kerana aku baik dan dapat berDAKWAH pada semua pelajar di sekolah aku tapi PADA masa itu mungkin aku ada sedikit kelayakan untuk jadi ahlinya. Tapi sama macam pengawas jadi pengawas, adakah dengan jadi pengawas kita akan hilang kawan-kawan baik kita masa kita kenal dari tingkatan satu disebabkan title pengawas itu? Adakah kita akan lupa kawan kita yang kita jumpa dan baik sejak dari minggu TAARUF lagi? Inilah yang menjadi pada diri aku. Dengan menjadi ahli BADAR, ramai kawan-kawan yang aku kenal sejak tingkatan satu mula untuk men'jauhi' aku. Aku sedar mungkin silap aku yang terlalu inferior berubah jadi terlalu 'baik' selepas menjadi ahli BADAR. Bukan untuk menyalahkan kerana aku menjadi AJK BADAR tetapi kerana kesannya yang amat dirasa sampai sekarang.

Perkarangan asrama sekolah


Sekarang

"Mung oyak la ko puak-puak mung pasal nak wat majlis buko posa ni", beritahu kawan sekelas aku masa tingkatan lima dulu. Sedih dalam hati. Istilah digunakan ’puak-puak mung' merujuk kepada kami AJK-AJK BADAR dulu. Masih ada lagi perasaan macam itu.

Di sini ikhlas aku ingin memberitahu untuk kawan-kawan sekolah dulu, tidak pernah untuk dibeza-bezakan kawan. Dengan harapan jadikanlah persahabatan kita semacam kita kenal masa kita masuk tingkatan satu dulu-dulu. Masa sama-sama kena denda dengan 'senior-senior', masa kena denda dengan ustaz 'ji-fat' dan semacamnya. Ikhlas aku untuk berkawan dengan kalian sampai bila-bila.


Mohon maaf

Mana-mana yang telah aku lakukan dahulu yang tidak senang dengan kalian aku mohon maaf. Salah silap aku mohon ampun di bulan baik ini sekiranya dulu kami terlalu inferior untuk berubah jadi BAIK sangat sampai terlupa kawan-kawan kami yang amat kami kasihi. Yang penting untuk kita renungkan biarlah KITA berubah jadi baik untuk waktu sekarang kerana dulu mungkin kita banyak mengikut orang. Ini kerana siapa lagi yang mahu amalkan ISLAM kalau bukan kita sebagai yang MUSLIM.


Assalammualaikum kawan-kawan..

Wednesday, September 10, 2008

Balik Awal???

Sejak sepuluh hari berpuasa ni, hampir lima hari terpaksa berbuka puasa di luar. Bukan di rumah seperti biasa. Duit pun dah semakin kering. Bukan kerana tak mahu berbuka di rumah tapi kadang-kadang ada ‘kerja’ yang terpaksa di buat.


Pulang Awal

Teringat satu buku yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat cetakan pada 1991 bertajuk "Pulang Kerja Awal Di Bulan Puasa RUGIKAH RAKYAT KELANTAN?". Buku ini ditulis bagi menangkis tohmahan kerajaan Pusat pada masa itu. Tohmahan bahawa pulang awal akan membantutkan produktiviti kerja.

Bayangkan hari Sabtu hingga Khamis boleh bekerja dari jam 8 pagi hingga jam 2.45 petang dan Khamis dari jam 8 pagi hingga jam 12.45 tengah hari pada masa itu. Siapa yang tidak mahu untuk bekerja dengan kerajaan Negeri Kelantan kalau semacam ni. Namun bila waktu kerja ini di'endorse'kan ramai pihak yang berbunyi, berkokok untuk menidakkannya.

Sebulan sebelum diumumkan pekeliling ini, Timbalan Menteri Besar waktu itu Ustaz Haji Abdul Halim Abdul Rahman telah memaklumkan perkara ini sebagai khabaran gembira untuk seluruh umat Islam di Kelantan khususnya golongan terbabit di bawah pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Sekali kita fikirkan, apa rasionalnya kerajaan Kelantan buat macam ini? Bukankah bulan ini lagi baik untuk difokuskan kepada kuantiti kerja disebabkan waktu rehat makan minum pun sudah tidak?

Kerja versi RAMADHAN sememangnya akan menjadikan lagi berKUALITI sekiranya faham akan tuntutan kerja. Dilaksanakan pulang awal ini adalah untuk memastikan masa yang diberikan memang benar-benar berkualiti dan digunakan agar tidak ada masa yang terbuang. Perhatikan perbandingan di bawah.





Mula

Rehat

Tamat

Jumlah

Jadual Lama

8.00 pagi

1 jam 15 minit

(Makan dan solat)

4.00 petang

6 jam 45 minit

Jadual Baru

8.00 pagi

15 minit

2.45 petang

6 jam 30 minit

Perbandingan waktu kerja lama dan baru untuk hari Sabtu hingga Rabu di bulan puasa bagi kakitangan kerajaan negeri Kelantan.




Boleh ke pulang Awal..

Satu persoalan pada yang bekerja di tempat yang bukan bersama kerajaan negeri kelantan. Boleh ke kita pulang awal? Ini semua pada polisi tempat kerja masing-masing.


Teringat kata-kata Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat..

"Di dalam bulan puasa antara banyak-banyak UBAT yang disediakan Allah SWT ialah ubat untuk mengubati pemikiran kita supaya kita mengerti bahawa KERJA kita di dunia ini ada tempat yang dituju iaitu AKHIRAT. Ubat-ubat sebegini adalah yang kita namakan tafakkur. Sebab itu bulan puasa ini disebut syahrulfikri atau bulan berfikir"


Sama-sama kita fikirkan. Balik awal ke lambat ke tidak apa. Yang penting gunakan kesempatan kelebihan bulan ramadhan ini sebagai orang beKERJA insyaallah..

Selamat pulang kerja dan selamat berbuka puasa!!!









Thursday, September 04, 2008

USM-Satu Taruhan

Sangat terkejut bila mendengar berita ini menjelang petang hari semalam. Universiti Sains Malaysia dipilih sebagai Universiti Apex sebagai salah satu perancangan jangka panjang Kementerian Pengajian Tinggi. Kadang-kadang apabila dengar berita ini, semacam tidak percaya. Tapi ini semua sudah tertulis. Pasti warga dan marga USM bersyukur di atas berita ini.

Universiti Apex??

Bila disebut Universiti Apex, Mukmin pun macam tak berapa tahu sangat. Cuma pernah Professor di tempat Mukmin belajar menjelaskan sekiranya USM terpilih sebagai Universiti Apex, banyak kelebihan dan keupayaan akan dimiliki oleh USM bagi menjadi sebuah Universiti yang terunggul di dunia seperti Universiti Oxford atau selainnya. Ditegaskan, bukan untuk terus menjadi Universiti seperti Universiti Oxford namun dalam usaha menuju ke arahnya. Katanya ringkas,APEX membawa maksud kepada ‘accelerated programme for excellence’. Mukmin masih lagi pening kepala masa tu,hehehe...


Maka berkata lah Pak Menterinya.." Pemilihan untuk program APEX bukan hanya dinilai pada kejayaan dan kecemerlangan sesebuah universiti, namun lebih kepada perancangan jangka panjangnya dan sama ada universiti ini dapat mencapai status universiti kelas dunia dalam jangka masa lima tahun ini," .Tambahan lagi, dalam masa lima tahun ini, USM mesti berada di dalam lingkungan 100 top universiti di dunia.




Malah, Universiti APEX bukan sekadar namanya sahaja namun akan diberikan kelebihan dari segi kewangan, perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, bayaran pengajian dalam mendapatkan status ini. Maknanya Universiti APEX akan dibantu seratus peratus,subhanallah….



Kemudian pasti ada yang akan berkata, boleh ke kita mencapainya….


Man Jadda Wa Jadda
"Siapa yang berusaha Pasti Dia akan Mendapatnya"



Teringat pepatah Arab ini. Tiada siapa yang akan berani jamin USM akan berada dalam 100 universiti terbaik dunia dalam masa lima tahun ini. Perancangan sudah ada namun setakat mana kesungguhan dalam merealisasikannya itu menjadi persoalannya. Sekali kita kembali kepada asalnya iaitu mana-mana yang berusaha sungguh-sungguh pasti ia nya akan tercapai.



Akhirnya..


Walau macam mana sekalipun, Mukmin tetap rasa bersyukur dan ada sedikit rasa gembira dan bangga kerana dapat menjadi keluaran Universiti ini. Semoga Allah merahmati dan memberkati apa yang dipelajari selama ini. Siiru ala barakatillah!!!!

Tuesday, September 02, 2008

Ramadhan versi Kerja

“Fuhh..memang betul-betul mencabar puasa kali ni,”keluh mukmin sendirian.Tiada yang dapat digambarkan betapa puasa kali ini memang betul-betul banyak dugaan. Ramadhan kali ini benar-benar menuntut untuk pandai menggunakan tenaga dan masa sebaiknya agar tidak lebih dan tidak kurang.

Ramadhan versi kerja

Sudah hampir 22 tahun mukmin berpuasa Ramadhan dalam peringkat atau proses pembelajaran. Seronok dan kurang letih berpuasa ketika belajar. Namun kali ini ramadhan begitu bererti kerana ramadhan ini sudah memasuki versi atau peringkat kerja pada diri mukmin.Patutlah dulu selalu lihat emak ayah pulang kerja letih semacam je..

Semua orang pun begitu. Ramadhan sama ada ketika kerja atau pun belajar masing-masing menuntut kesabaran dan keikhlasan dalam melaksanakannya.Sangat bersyukur kerana Ramadhan kali ini diberi peluang untuk berlatih dan bertatih dalam suasana kerja.Tidak akan berpaling dan mudah menyerah kalah sedangkan nabi dan para sahabat pernah berperang dalam bulan mulia ini menentang musuh-musuh Allah.Perang yang sememangnya mencatat sejarah yang begitu agung.


Kerja versi Ramadhan

Insyaallah, ayuh muslim sekalian kita bulatkan tenaga untuk sama-sama memberikan kerja sebaiknya waima kita berada di dalam Ramadhan mulia ini.Kerja versi Ramadhan sememangnya perlu untuk lagi baik berbanding kerja pada bulan-bulan yang lain.Makan pun dah tidak,minum pun takkan sama sekali, cakap-cakap mengarut pun dah dapat dikurangkan.Kerja akan lebih fokus dan lebih terarah,insyaallah.

Ramadhan sememangnya dinanti-nanti,

Insyaallah jumpa lagi..

Monday, September 01, 2008

Ramadhan Dan Merdeka..

Dua hari yang penuh bermakna buat orang Islam di Malaysia. Satunya disambut dengan penuh rasa syukur di atas segala yang telah dilakukan oleh pejuang-pejuang terdahulu. Satu lagi pula disambut kerana sudah menjadi kewajiban sebagai orang Islam.

Sayyid Qutb pernah menyebut, ”Kezaliman itu mungkin akan mengambil masa yang panjang tetapi dia tidak kekal. Dan kebenaran itu kadang-kadang lemah tetapi dialah yang akan menang akhirnya.” Sambutan kemerdekaan ke lima puluh satu dirai setelah banyak kezaliman sudah dilakukan oleh penjajah yang tidak sepatutnya.Akhirnya kebenaran digapai.Kebenaran juga diraih.

Ahlan Ramadhan!!!

Ramadhan datang lagi. Segala kebenaran akan dibuka kepada Muslim yang mahukannya. Kebenaran yang memberikan kemenangan kepada umat Islam seluruh apabila tiba saatnya. Jadikan Ramadhan sekolah terbaik untuk melatih dan menguatkan jiwa kebenaran kerana jiwa kebenaran itu tidak ramai kita sebagai dai’e memilikinya. Tidak ramai antara kita sebagai muslim menghayatinya. Memang kebenaran itu kadang-kadang lemah tetapi itulah yang akan menang akhirnya.

Sempena kedua-dua sambutan ini, ayuhlah kita sebagai mukmin teruskan perjuangan dan tetapkan diri dengan Islam. Kuatkan jiwa kebenaran dalam menentang kezaliman musuh-musuh Allah. Semoga segala yang dilakukan mendapat berkat dan rahmat dariNya.


Ramadhan tiba lagi,

Betapa gembiranya rasa dihati,

Ramadhan tiba lagi,

Ku tujukan pada muslim yang dikasihi,

Ramadhan tiba lagi,

Insyaallah kuatkan jiwa ini..