Thursday, March 31, 2011

Jom Ke Masjid~




Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan pihak kami,AJK Kelab Patriotisme Kelantan untuk melaksanakan perancangan yang telah ditetapkan di pihak seorang manusia.Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan dan membantu dalam setiap kerja yang kami lakukan.



Sesungguhnya,kami ini juga insan yang masih lagi kena tautkan hati pada masjid.Apabila pulang dari program sebegini,kami mendoakan agar kami sentiasa dibugarkan Ilmu,Kefahaman dan menyegarkan semula segalak onsep dan praktikaliti yang telah kami lalui selama ini.Kami bermula tarbiyah di masjid Falahiah dan insyaAllah kami akan teruskan pentarbiyyah ini dalam hidup kami dan saya sendiri.



Jom Ke Masjid!!!






Program ini adalah inisiatif KPK yang bersama mengajak masyarakat untuk ke masjid.Seringkali orang akan bertanya kenapa Kelab Patriotisme? Kenapa bukan kelab-kelab yang lain? Pada kami, ini juga salah satu usaha untuk kita tingkatkan Patriotisme, namun dalam sudut kerohanian dan kemantapan hubungan dengan Allah yang esa. InsyaAllah, saya yakin kalau benar kita beriman pada Allah dan Rasul melalui salah satu usaha dengan ke Masjid, kita akan lebih berpatriotisme berbanding mereka yang tahu saja cakap tentang patriotisme. Sirah membuktikan bagaimana sahabat-sahabat baginda yang selalu ke masjid menjadi antara pejuang Islam dan tanah Air kerana Allah. Bukan kah lebih bagus kita berpatriotisme kerana Allah juga?


Alhamdulillah, dengan sedikit usaha ini program Jom Ke Masjid berjalan dengan baik dan mengikut tentatif yang dirancang.


Bermula dengan Forum Perdana yang merungkai isu " Masjid Makmur". Begitu banyak kupasan ilmiah dihidangkan kepada saya dan seluruh penduduk kampung. Alhamdulillah,perkongsian ilmu ini pasti tak akan disia-sia kan. Satu ungkapan menarik yang antara saya catit adalah mengenai cara membetulkan dan meramaikan orang datang ke masjid.


" Allah s.w.t sudah berfirman dalam kitabNya dalam surah At-Taubah, yang membawa maksud,


“Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk”..







Hanya mereka yang beriman pada Allah dan Hari akhirat berhak untuk memakmurkan masjid. Persoalannya, adakah kita tidak beriman dan tidak mahu mengimarahkan masjid? Siapa masih lupa lagu 'Bangau Oh Bangau'. Dalam keadaan kita tak sedar, bagaimana caranya untuk menggemukkan Bangau adalah hanya dengan pukul ular sampai mati. Maksudnya, cari akar masalahnya. Dalam hal ini, bagaimana untuk menjadikan masjid itu dimakmurkan? Jadilah orang yang sebenarnya beriman. dan persoalan pula, bagaimana pula mahu jadi orang yang sebenar beriman?



Satu ungkapan yang dibawa, mahu membangunkan negara, tiangnya adalah rakyat. Mahu membangunkan rakyat tiangnya adalah agama. Tiang agama pula adalah solat. Dan tiang solat adalah zikrullah yakni mengingati Allah. Tiang kepada zikrullah pula adalah ma'rifatullah yakni mengenal Allah. InsyaAllah, kalau kita sudah mengenal Allah, kita akan dapat mengikuti satu persatu langkahnya sehingga dapat membentuk negara dan khilafah Islam. Iman terjaga, Solat terpelihara dan masjid juga dimakmurkan. Begitu cantik susunannya kan?," santai peyampaiannya oleh Tok Kadi Kota Bharu ini.



Alhamdulillah..


Akhlaknya

Banyak lagi aktivitinya.Nanti akan dihuraikan pada posting seterusnya,hehee. Konklusinya, saya terus berusaha untuk jadi lebih baik sebelumnya. Kadang-kadang tertewas juga kerana diri dan kelemahan menewaskan nafsu jahat. InsyaAllah,diri ini akan terus berusaha. Mengenal Allah-mengingati Allah-solat-jaga Agama-dan insyaAllah membangunkan negara dengan mengikut perintah Allah dan Rasul.Jom!!

p/s-Jom ke Masjid!!!~

Monday, March 28, 2011

Mencari Bekal Untuk Ke Syurga~





Mencari bekal untuk ke Syurga
Katanya; Cakap dan tulis nampak macam senang
Namun ia harus dituntut dengan penuh usaha
Bimbang jadi seperti tin kosong yang kuat sangat cakap sembang



Mencari bekal untuk ke Syurga
Sibuk adalah alasan biasa dan penuh cliche
Namun kalau tak sibuk, lapangkanlah masa
Kerna mati itu amatlah singkat dan no short notice!!



Mencari bekal untuk ke Syurga
Bagaimana caranya sudah termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah
Mahu atau tidak yang menjadi soalnya
Mahu tunggu apa lagi, hah!!~



Mencari bekal untuk ke Syurga
Cabaran, dugaan serta ujian yang pasti ditempuhi untuk menguji Iman
Allah tidak meletakkan harga yang rendah untuk mahar Syurga
Kerna RasulAllah, Sahabat-sahabat serta orang hebat di SANA,tahapnya sudah lulus Iman!!~



Mencari bekal untuk ke Syurga
Amal yang sikit, banyak bukan lagi persoalan
Sikit, kalau istiqamah pasti jumlahnya tak terkata
Banyak,kalau istiqamah lagi lah jayyid jiddan~



Mencari bekal untuk ke Syurga
Kerna kita sedar hidup bukan sekadar di fana
Namun, Akhirat yang dikejar juga adalah hasil dunia
Dan InsyaAllah,kita akan bertemu di Syurga Allah nanti semua..


Ditulis oleh: saffmukmin

Sunday, March 27, 2011

Sihat~



Hari ini, berfutsal lebih baik daripada bermain di luar. Bukan kerana koya ada duit lebih tapi sebab sudah hampir 2 minggu hujan yang tanpa henti di sebelah petang atau dengan kata lain hujan yang tidak dapat diduga. Ramai berkata, ia kesan daripada tsunami 11-3-11 baru ini. Namun,sebagai Muslim kita juga kena yakin dan percaya; bukan sekadar Tsunami barulah kesan sebegini muncul, namun bila Allah mahu buat bila sahaja masanya boleh dilakukan,melebihi kepandaian seorang manusia.Itulah kun fayakun!!!



Namun,sebagai usaha seorang manusia yang harus menjadikan agenda SIHAT itu agenda utama juga, hujan atau apa jua alasan yang melambatkan proses untuk lebih sihat seharusnya dikurangkan. Namun,setelah dua minggu ini saya sendiri merasakan tempiasnya. Waktu kredit jam untuk bersenam kebiasaan sebelum ini 5 jam seminggu sudah menjadi 3jam atau 2 jam sahaja dek kerana mencipta alasan hujan.


Alhamdulillah, Allah masih benarkan saya dan semua untuk berpeluh dengan cara indoor. Banyak aktiviti yang masih lagi boleh dibuat di rumah atau gelanggang yang berbayar. Namun,kalau rasa bayak sikit duit main lah hari-hari,hehehe..kalau tak,main di tempat percuma seperti di tempat saya,dewan UMT..



Sihat



Sihat bukan juga sekadar fizikal, rohani pun turut sama diberikan penekanan. Jangan kerana hujan juga ia dijadikan alasan untuk sama turun aktiviti ibadahnya. Macam biasa ayatnya, " Ahh, hujan lena juga sambung tidur ni,".Kadang-kadang, kita juga tertewas. Semoga saya dan kita semua terus menjadikannya cabaran dan ujian dalam membentuk sihat fizikal dan juga sihat Rohani sentiasa.



Akhlaknya



Apa-apa pun, saya sudah susun jadual indoor saya untuk minggu ini sehingga Khamis. Anda??Jom kita bersenam!!!heheheheee..


p/s-saya mahu sihat,dan kawan saya pun sama;lebih lagi yang saya sayang..

BerIman dan Berintegriti~




Bulan Mac 2011 kali ini adalah bulan kursus juga untuk saya. Ada dua kursus yang saya hadiri. Satunya yang dicalonkan dan satu lagi mencalonkan diri sendiri,hehee.Kursus yang dicalonkan adalah Kursus Integriti dan Kursus Membuat Keputusan Berkesan adalah saya sendiri yang memohonnya.Alhamdulillah,kedua kursus ini dapat saya sempurnakannya dengan penuh jaya.


Demi memenuhi tuntutan latihan seorang staf kerajaan (walaupun tidak lagi dipandang dalam sudut kenaikan pangkat,hehee), jadi saya menghadiri kursus ini untuk ilmu dan aplikasinya dalam keadaan kita sedar mahupun tidak.


Kursus Integriti


Kursus ini dimulakan dengan penuh bergaya. Seorang penceramah wanita,berpengalaman dan juga seorang yang boleh saya katakan agak penuh dengan ilmu integiri.Penceramah menekankan maksud dan juga konsepnya. Kadang-kadang,saya pun tahu apa itu integriti tapi apabila ditanya rasa macam susah nak jelaskan apa itu integriti, cuma kalau tahu pun nak eja je apa itu I.N.T.E.G.R.I.T.I..



Kalau saya tanya anda,bolehkah anda jawab apakah itu INTEGRITI??




.....






.....



10 saat tamat.Ping Pong.....hehehehe...




Saya pun tak tahu apa jawapan skemanya. Tapi,saya amat tersentuh konklusi yang dibuatnya ketika dalam satu pernyataannya.



" Saya pun muslim. Integriti ini sebenarnya senang ceritanya, iman yang ada dalam diri kita.Orang tanya saya kenapa tak cakap Iman je? Saya jawab,kita kan satu Malaysia, kalau bagitahu Iman,ada pula yang marah. Sebab ini dijaja ke satu Malaysia. Jadi,senang kita sebut Integriti. Tapi,kalau saya berhadapan dengan semuanya Melayu Muslim,saya lebih suka kita kenalnya juga sebagai Iman," tegas penyampai itu.



Ya benar. Apabila saya habiskan kursus selama tiga hari ini, saya boleh simpulkan semuanya kena kembali kepada Islam dan menjadi seorang muslim yang lebih beriman.Namun,ia diolah seolah-olah tidak menampakkan begitu. Mungkin kerajaan kita masih lagi takut dengan bayang-bayang kaum lain dan agama lain, sedangkan tiada salah kita mahu guna pendekatan agama Islam sendiri sedangkan ia agama Rasmi dan yang Utama di sini. Begitulah kita kadang-kadang, takut dengan kata-kata orang berbanding buat dulu sesuatu yang lebih baik.



Integriti Itu Mencegah Rasuah, Iman itu Mencegah Segalanya



Saya yakin, iman boleh mencegah segalanya.Iman itu yakni iman yang benar-benar kita didik dan kita mengikut apa yang telah digaris pandukan olehNya dalam Al-Quran dan dalam sunnah rasulNya. Iman yang sebenar-benar dituntut dan ditagih dalam konteks kita berintegriti dalam kehidupan kerja. Benar, kadang-kadang kalau kita nampak beriman sikit,orang akan panggil Ustaz atau Ustazah,tapi paling kurang kita jadi Ustaz dan Ustazah untuk diri sendiri dan orang lain jika keadaan memerlukan kita bertindak sedemikan. Paling penting,ia dapat mencegah dan mengawal supaya ia jadi lebih teruk dalam masa akan datang.



Integriti selalunya dikaitkan dengan rasuah. Diceritakan,rasuah di Malaysia semakin meruncing.Apa sebabnya telah digariskan oleh pemerhati luar adalah kita ada undang-undang tapi tiada penguatkuasaan. Kita ada kerajaan tapi tidak komited untuk menghapuskan rasuah.Tapi,kita semua kena yakin kalau benar Integiriti boleh menyelamatkan Rasuah, Iman harus juga digegerkan juga agar ia dapat menyelamatkan kesemuanya..



Iman; Sempadan dan Teladan Diri Muslim



Saya begitu optimis,supaya setiap kita seorang Muslim harus setiap masa tingkatkan keimanannya dalam apa jua keadaan mereka. Kita seorang manusia,ada kala Iman naik dan juga Iman turun.Tapi,kalau turun sekalipun,kita mohon dariNya agar janganlah terus dihilangkan hidayah dan Nur Ilahi Nya..



Disaat kita lemah Imannya,mohonlah bersama agar cepat-cepat kita ditingkatkan Imannya.Kita juga harus berusaha untuk meningkatkan iman kita,insyaAllah~



Akhlaknya



Kursus ini begitu memberikan saya input berguna. Paling kurang,kalau orang tanya saya apa itu INTEGRITI, itulah jawapan yang akan saya berikan nanti. Seperti serampang dua mata,menyampaikan misi kerajaan yang saya bekerja sekarang dan dalam masa yang sama menyampaikan juga misi kerajaan Allah, menyebut tentang Islam dan Iman.



p/s-Ayuh,jaga Iman dan juga Integriti!!~


Saturday, March 26, 2011

Ibarat Dibunuh Iman~




Seminggu dua ini, kita semua dilanda kebimbangan yang amat jelas. Bimbang bukan kerana saya tidak cukup duit ke atau kerja berlambak-lambak. Cuma yang menjadikan kebimbangan saya itu jelas adalah mengenai situasi sosial di Malaysia kita sekarang yang merangkumi pelabagi isu.


Ibarat Dibunuh Iman


Orang Islam bernama Melayu paling sensitif kalau kita memberitahu mereka secara realitinya mereka ini sudah lagi tidak beriman, mereka tidak ada agama, mereka kalau dengan kata lain boleh jadi kufur atau boleh jatuh syahadahnya dengan segala tindakan mereka. Memang sensitif. Semua. Saya pun sama sebab saya pun Melayu.


Namun tindakan yang dilakukan hari ini sebenarnya sudah menonjolkan siapa kita sebenarnya. Waima Islam itu hanya dijadikan pakaian, pada petangnya mungkin ditukarkan kepada pakaian lain. Paling bimbang kalau pakaiannya itu ditukarkan kepada pakaian yang kita semua tidak mahu tapi dibuat dalam keadaan tidak sedar. Pakaian iblis, syaitan..pasti itu yang kita tidak mahu.


Siapa yang tak sedar tentang 47 anak zina yang dilahirkan setiap hari (baca= ini secara rasmi yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Malaysia sahaja) sememangnya perlu disedarkan. Kalau orang yang mengajak kepada kebaikan yakni membawa pesanan Allah supaya menjauhi zina diabaikan, dimarahi, diherdik, betapa Allah mendatangkan bala, teguran ataupun semacam satu kehinaan yang besar kepada umat Islam Malaysia; semua akan turut sama merasa..


Manusia sekarang(saya pun turut sama) digolongkan dalam golongan yang sentiasa terdedah kepada zina yang boleh didapati secara jelas dan juga secara sembunyi. Kedua-duanya dengan kata lain senang didapati kalau mahu. Tiada halangan. Kalau tidak masakan ada kedai yang secara terang-terangan menjual gajet seks yang diperlukan oleh orang ramai yang mahu menggunakannya. Yang secara sembunyi, pernah diberitahu oleh kawan saya di internet sahaja pelbagai laman web porno yang di dalam web itu kesemuanya orang Melayu sebagai 'aktor' dan aktress' nya. Apa sudah jadi. Dengan mudah di dapati, ia tiada halangan. Cuma dalam keadaan tersembunyi..


Sekecil-Kecil Iman


Nabi s.a.w. pernah bersabda dari maksud hadisnya, sekecil-kecil dan selemah iman adalah apabila maksiat yang dilakukan di depan mata kita yang tidak dicegah dengan tangan dan juga lisan;tapi cuba juga dicegah dengan HATI..Tapi itu selepas kita tahu kita tidak dan benar-benar tidak mampu untuk mencegah dengan TANGAN dan juga LISAN.


Kalau saya dan anda semua, masih ada ke selemah-lemah IMAN itu kalau situasinya berlaku di atas kepada kita? Adakah kita juga mahu membunuh IMAN dalam diri kita? Iman umat Islam yang ada sekarang pun sudah ibarat buih-buih di laut jika dibandingkan dengan iman seorang Umar r.a.,apatah lagi kalau dalam keadaan sebegitu rupa.


Harap Saya Tidak Pandai Berkata-kata Sahaja..


Bercakap, orang kata kena realistik, bukan idealistik. Kalau tak, ia akan jadi ibarat tin yang kosong. Bunyinya kuat menegur sana sini, tapi bila ditanya apa yang dah dibuat, tiada apa-apa, kosong. Jadi, untuk nasihat dan peringatan untuk diri ini dan semua ayuh sama-sama kita suburkan kembali iman kita dan rakan sekeliling kita. Cuba dan terus berusaha untuk ke arah menjaga iman. Lebih-lebih lagi dalam kalangan keluarga kita kalau kita tak sanggup mahu lakukan untuk kalangan orang yang lagi luas dan besar.


Ibarat sudah membunuh iman, tiada apa lagi yang boleh diselitkan Nur Allah. Bagaimana kalau betul-betul sudah tiada iman, bersedialah kita untuk kemurkaan Allah yang lebih besar, nauzubillah..


p/s-jangan tunggu-tunggu lagi!!


Mencintai Jodoh KeranaNya..~




" Aku suka tengok orang yang disayangi. Malah, dia juga yang memberikan sepenuh kesayangannya pada orang yang dia sayang," saya memulakan perbualan.


"Kenapa cakap macam tu?Dah nak kahwin dah ke?hehehe..," kawan rapatku memperli.


"Bukan nak kahwin lagi,tapi nak cari calon dah la,hehehe," gurau saya ketika itu.


Masa di USM dulu, masing-masing sibuk dengan belajar,aktiviti-aktiviti serta buat-buat sibuk pun ada. Namun,apabila memasuki tahun akhir masing berani untuk bercakap tentang soal jodoh. Ada yang bermadah, ada yang berfalsafah, ada yang berani meluah,ada yang awal lagi menyerah kalah,heheee..bak katanya, macam-macam perangai kawan-kawan ketika itu apabila bercakap soal jodoh.


Soal Jodoh


" Aku nak yang bibir macam ni, badan macam ni, tinggi macam ni,kulit macam ni,.." galak kawan berkata pilihannya sambil bergurau kot.


" Ala, kalau macam ni,hang kena jadi macam tu juga la. Tapi aku tengok hang pun dah hensem senang je nak cari nanti. Petik je, sepuluh yang datang.Jangan yang datang sepuluh yang tua tau,hehehehe," saya bergurau.


" Tapi kan, soal jodoh, jangan terlalu memilih. Nanti tersalah pilih. Kalau memilih,harus niatnya bersih. Kenapa mahu memilih. Memilih kerana rupa atau kerana memang betul mahu memilih kerana agama atau apa? Walau kita belum kahwin,rasanya kita berhak untuk cari yang baik untuk keturunan dan kesemuanya;tapi jangan terlalu memilih deh," pesan saya ketika itu.


Jodoh


Tiada mustahil dengan jodoh.Ada yang lama-lama berkawan,namun bercerai juga akhirnya sebelum kahwin.Tak tahu apa janji yang dimeterai sebelum ini sempat atau tidak ditunaikan.Ada yang jumpa sekejap, jodohnya kuat. Ada yang sesama kaya dan berpangkat serta ada rupa, jodohnya tiada juga.Yang tiada rupa lebih daripada itu,tiada jaminan sebelum berkahwin.Tapi itulah jodoh..


Begitulah jodoh. Sesiapa yang sudah bertemu jodoh secara sah,hargainya.Semoga ikatan sesama kalian yang sah dirahmati dan diberkatiNya setiap masa.Tahun ini,ramai juga sahabat dan sahabiah saya yang tak sempat saya hadiri majlisnya.Alasannya mungkin macam biasa(mohon maaf),namun saya sentiasa doakan kalian...


Akhlaknya

Berkasihlah dengan baik. Semoga nanti saya dapat tiru cara mereka yang sudah berkahwin ye,hehehehe..

p/s-suka tengok mereka yang berkasih sayang yang sah keranaNya..




5 Pesanan Buat Aktivis Dakwah..



Perjuangan kepada Islam itu jauh dan tak nampak hujungnya, bukan dekat atau selesa jalannya malah menuntut untuk mereka yang mahu mendokongnya harus sentiasa diberikan pesanan dan ingatan untuk terus istiqamah dijalanNya.


Pesanan ini dititip untuk saya dan mereka yang membacanya. Harus diingat,ia adalah fundamental namun kadang-kadang kita lupa dan selalu terlebih dikala kita tidak diingatkan.Dan juga kerna kita ini manusia,di saat lupa harus sama-sama kita mengingatkan,insyaAllah.

Pesanan Pertama?

Keimanan aktivis dakwah. Iman itu sendiri ditakrifkan membenarkan dengan HATI,berikrar dengan LISAN serta beramal dengan PERBUATAN itulah IMAN. Namun yang menjadi pesanannya adalah bagaimana untuk kita menguatkannya lagi. 3 isi penting yang dikupas adalah setiap aktivis dakwah harus

i) perlu yakin AJAL itu adalah mutlak dari Allah.
Ulasannya adalah kerana sekuat mana pun perancangan seorang manusia untuk menamatkan riwayat seseorang pejuang Allah, jikalau Allah tidak membenarkan, ia masih lagi tidak dapat dibuat.Sesungguhnya, Allah yang menentukan saat ajal kita. Untuk itu, jangan segan dan malu untuk terus berjuang pada jalanNya.

ii)perlu yakin REZEKI itu datang juga dari Allah.
Ulasannya,saya sendiri kadangnya berkira dengan rezeki. Kadang-kadang, seolah-olah ia segala-galanya. Namun,pesanan ini buat semua juga agar dalam usaha kita untuk meletakkan Islam ditempatnya, jangan lokek untuk berkongsi rezeki. Kongsi itu tidak semestinya semua yang kita ada kalau kita tidak sekuat Umar dan sahabat-sahabat RasulAllah yang lain.Kalau ada yang sudi,dipersilakan.Namun,kita kena ingat,rezeki itu tetap di tangan Allah. Teruskan berjuang saya dan sahabat!!!

iii)perlu yakin Allah s.w.t Maha Mendengar dan Melihat.
Ulasannya, inilah kuncinya keimanan sesorang. CCTV yang telah pasangkan pada bahu kanan dan kiri serta dengan keyakinan Allah sentiasa melihat dan mendengar,akan mendorong kita mengurangkan berbuat maksiat berbanding menambahkan masa dan aktiviti beribadah khusus mahupun umum padaNya. InsyaAllah,kalau benar kita meyakini kesemuanya, ia akan jadi asas kepada perjuangan Muslim dan Mukmin untuk mendokong dan membawa Islam pada tempatnya.

Pesanan Kedua.

Keikhlasan aktivis dakwah. Ikhlas ini juga yang akan menjadi penanda aras dalam setiap amal kita. Ia dapat dilihat dalam maksud hadis Baginda yang diceritakan bagaimana setiap amal itu bermula dengan niat.Mana-mana yang berhijrah kerana dunia,ia akan dapat dunia.Namun yang berhijrah kerana Allah dan Rasul,ia akan dapat kesemnuanya.Ikhlaslah kita. Semoga Allah terima amalan kita selama ini.Ikhlas ibarat sesuatu yang boleh bersempadan dengan riak.Dalam ikhlas, kadang-kadang riak boleh datang kalau tidak kena gayanya. Ikhlaskan diri sentiasa;saya dan semua..InsyaAllah.


Pesanan Ketiga


Keberanian aktivis dakwah.Saya menyimpulkan haruslah kita mengambil sisi baik yang ada pada Umar Al-Khattab.Berani macam Umar!!! Saidina Umar r.a, beraninya bak singa di siang hari,dan abid pada malam harinya. Ramai antara kita mungkin mengambil salah satu.Mungkin hanya singa di siang hari tapi malamnya tewas dengan keenakan tidur.Malah mungkin ada yang sekadar abid di malam hari tapi tidak berusaha dan seperti 'singa' disiang hari untuk bekerja demi agama dan diri sendiri. Ayuh,kita ambil sikap yang bagus ini untuk kita hayati. Berani macam Umar!!!


Pesanan Keempat


Kesabaran aktivis dakwah. Sabar itu perkara yang tak boleh dinilai hanya dengan ucapan,tetapi kena lihat dengan perbuatan. Sabar di mulut lain dengan sabar atas perbuatan. Saat diuji, sabar itu akan dinilai. Benarlah kata Allah, dengan ujian dariNya dapat menilai keimanan seseorang. Kerana tahap keimanan seseorang itu berkadar terus dengan tahap kesabaran seseorang yang berjaya dikawal dan mengawal. Sabar juga akan menjadikan separuh keimanan kita dinilai.Apa lagi, sabar ye!!!Terutama dalam usaha kita membawa dan merancang Islam ke jalan yang lebih baik.

Pesanan Kelima

Aktivis dakwah harus optimis dengan gerak kerja Islam yang terancang,tersusun dan juga mengikut kaedah-kaedah fiqh dan semasa. Bukan sekadar optimis dengan kerja Islam yang selekeh serta menampakkan Islam itu sekadar itu sahaja. Optimis ini juga harus digerakkan dengan perancangan serta penyusunan orang mengikut lapangan dan bidang masing-masing.Optimis ini seperti berserah serta redha padaNya setelah kita sentiasa berusaha pada kapasiti seorang manusia.Anda optimis? Saya mahu terus optimis bahawasanya Islam akan terus berada pada tempatnya nanti di Malasyia atau disetiap pelusuk dunia,insyaAllah.

Akhlaknya

Pesanan ini cuma sedikit dari banyak lagi pesanan yang ada untuk semua aktivis dakwah.Apa pesanan yang baik sekalipun,teruskan bekerja untuk kita semua.Berjuanglah pada SaffNya..

p/s-pesan memesan itu kerja Islam juga..

Thursday, March 10, 2011

Selamat Hari Lahir Abah!!~

Masih ingat masa matrikulasi dulu.Pagi 10 Mac 2003, sebelum saya menghadiri ujian semester kedua. Saya mengangkat telefon awam dan menelefon abah. Walaupun ketika itu saya sudah ada telefon bimbit Nokia 3310 (hebat dah masa tu ,hehehehehe) tapi sebab masa itu juga kalau nak beli top up bukan macam sekarang. Mesti dalam jumlah yang banyak macam RM50 dan RM 100. Memang agak mahal kalau sekali beli. Dan saya ini macam biasa,bukan tiada duit,kurang duit,hehee..

10 Mac

Setiap tahun, walaupun saya kurang duit. Saya tetap mahu sambut hari lahir abah tersayang. Biarpun saya orang lelaki,heheee. Pagi 2003, saya menelefon abah dengan kadar 30 sen yang saya ada dalam poket. Peperiksaan jam 8.30 pagi, sempat saya menelefon abah.


" assalammualaikum abah. Ini weng. Apa khabar abah? Selamat hari lahir abah," pinta saya.


" Waalaikummussalam wen. Abah sihat jah. Abah duduk di tempat kerja. Terima kasih wen. Hari ini perikso kan.Buat baik-baik deh. Abah solat hajat doh ke wen semalam.Buat sungguh-sungguh deh," jawab abah.


Dengan berbekalkan 30 sen sahaja dan menelefon terus kepada nombor telefon bimbit abah, semuanya menjadi sekejap masanya.Tapi saya amat teransang jiwanya dengan pesanan abah. Abah memang selalu begitu. Tak banyak benda fizikal yang diberi, tapi doa kekuatan setiap masa dihulurkan..Kalau ada anak-anak nak exam,abah solat hajat di pagi harinya. Kalau anak menantu nak bersalin,abah buat solat hajat tak henti-henti. Kalau adik Amir Safwan nak dilakukan pembedahan, abah solat hajat minta doakan. Kalau anak-anak sakit, abah buat solat hajat buatkan air untuknya..

Kadang-kadang,saya sendiri rasakan kekuatan saya sehingga sekarang kerana salah satunya doa dari abah setiap hari dan juga doa dari mak tersayang....

dan Alhamdulillah,soalan peperiksaan pada hari tu dapat dijawab dengan baik.Tapi tak dapat 4.0 flat la,hehheheee...

10 Mac 2011

Selamat ulang tahun kelahiran abah.Weng doakan juga pada abah panjang umur,murah rezeki dan segala-galanya yang baik baik. Sayang abah!!!~

p/s-Sayang semuanya juga!!~

Tuesday, March 01, 2011

Akhlak, Rasional dan Tanggungjawab~

Menjadi seorang pemuda pemudi sekarang dengan zaman yang semakin menghakis nilai-nilai yang baik semestinya menuntut untuk seorang yang bergelar muslim itu harus lebih memahami beberapa nilai yang sepatutnya ada. Apa yang bernilainya seorang pemuda Islam di masa sekarang kalau mahu dibandingkan lagi dengan pemuda-pemuda Islam terdahulu? Adakah kita hanya mahu sekadar melihat kita yang membesar dengan umur-umur muda ini lalai dengan arus kemodenan dan hiburan melalaikan semata sehingga melupakan proses untuk memberikan nilai-nilai yang baik pada diri kita; selaku pemuda Islam.

Oleh itu, saya menulis di sini untuk sama tegaskan tentang TIGA perkara fundamental yang perlu dikukuhkan oleh setiap pemuda Islam sekarang. Senang sahaja namun kita boleh lakukannya sekarang untuk mengelakkan ia menjadi lebih teruk nanti.

ART

Akhlak, Rasional dan Tanggungjawab. Tiga unsur ini sememangnya sudah biasa kita dengar namun berapa ramai sedar dan mengasahnya dalam diri dengan nilai-nilai ini. Semestinya mempunyai akhlak yang baik, pemikiran yang berasional selari dengan kehendak agama serta mempunyai tanggungjawab yang bersesuaian dengan tugas-tugas sampingan yang lain suatu perkara fundamental untuk pemuda Islam sekarang.


Akhlak Islam semestinya menjadi sandaran. Tidak boleh untuk hipokrit dengan akhlak yang baik. Lebih baik seseorang individu itu mahu berUBAH menjadi baik dengan akhlak yang baik daripada mereka yang nampak seolah-olah mahu berUBAH menjadi baik dengan akhlak yang baik yakni hipokrit. Oleh itu, jadilah seorang yang benar-benar mahu berubah untuk mempunyai akhlak yang baik,insyaAllah. Apa aktivitinya? Tepuk dada, tanya iman. Berguru degan mereka yang soleh, serta mencari dan menuntut ilmu dengan mereka yang arif pada bidangnya.Boleh buat kan??


Rasional pemikiran yang selari dengan kehendak agama. Inilah satu cabaran besar kepada remaja dan pemuda Islam sekarang. Selalu berfikir dengan emosi di hadapan, tidak meletakkan ilmu dan bacaan realiti keadaan semasa dalam menilai keputusan. Lebih-lebih lagi lupa untuk meletakkan sandaran agama dalam membuat penilaian dan keputusan. Kedengaran seperti susah, tapi belajarlah pemuda Islam daripada sekarang. Sebagai contoh kecil; kalau anda seorang yang setiap hari membaca surat khabar satu pihak semata, cuba lah belajar untuk membaca surat khabar satu pihak lagi. Buat perbandingan. Cari maklumat yang betul dan jika sudah buat pelbagai pertimbangan seperti yang dinyatakan di atas, jadikan keputusan itu sesuatu yang rasional dan bagus untuk diri,agama dan semua. InsyaAllah,dengan latihan sekecil ini nanti anda akan berlatih dan sentiasa dapat buat pada keadaan yang lebih besar.


Tanggungjawab? Apa lagi yang tidak ada dengan tanggungjawab. Sesungguhnya, amanah serta tanggungjawab ini kadang-kadang lebih senang ditulis dan cakap berbanding buat. Jadi, isi penting di bawah sub tajuk tanggungjawab adalah BUAT. Setelah menerima arahan dan kerja, BUAT. Paling signifikan kalau kerja itu adalah kerja untuk membantu perkembangan diri kita ke arah lebih baik dalam beragama dan dalam kehidupan bermasyarakat beragama.


ART itu SENI


Inilah juga satu perkara dan titik pentingnya. ART yakni Akhlak, Rasional dan Tanggungjawab itu juga satu seni. Seni kerana ia pasti akan menuntut kita dalam menggunakannya sebaik mungkin menghadapi seni kehidupan yang mencabar. Cabarannya nanti bagaimana seorang pemuda Islam yang mempunyai Akhlak yang baik berhadapan dengan anak-anak muda yang dikatakan rosak akhlak, bagaimana seorang pemuda Islam yang mempunyai pemikiran rasional Islam yang baik akan berhadapan dengan mereka yang sudah lama terdidik dengan amalan pemikiran sempit dan keBARATan, dan bagaimana pula seorang pemuda Islam yang bertanggungjawab mahu berhadapan dengan mereka yang sudah terlatih dengan rasuah, makan suap dan juga mahu dapatkan jalan bodek dalam menjayakan sesuatu kerja? Ini semua cabaran dan seni dalam berhadapannya.


Namun, ia boleh ditangkis dengan mulai sekarang pemuda Islam terus memberi latihan yang baik pada diri sendiri dan displin dengan mempunyai akhlak yang baik, pemikiran rasional Islam yang baik serta bertanggungjawab amanah dengan sepenuhnya. Jadi, bak kata saya; Jangan tunggu-tunggu lagi!!!


Akhlaknya


InsyaAllah, Islam sedang dipacu dengan baik sekarang. Namun, orang yang diperlukan untuk memacu itu juga sering kali sudah hilang kualiti dan kuantitinya. Semoga dengan hasil didikan dan ajaran kita selama ini dengan akhlak yang baik, rasional dan bertanggungjawab dapat memberikan kita peluang untuk bersama dalam memacu Islam dijulang ke tempatnya. InsyaAllah!!!


p/s-ART itu boleh!!