Wednesday, December 29, 2010

Bila Harimau Malaya..




Bila Harimau Malaya tidak lagi segan
Untuk berjuang dan mengecapi kejayaan
Dari yang muda hingga ke tua terus meroyan
Meroyan untuk mendoakan kita terus menang



Bila Harimau Malaya bersedia untuk turun ke medan
Mengangkat kejuaraan pertama kali yang sama diimpikan
Bukan lagi sekadar untuk menang tapi untuk menunjukkan kesungguhan
Kesungguhan dalam apa jua perkara serta tindakan



Bila Harimau Malaya menunjukkan belang
Garuda pun sekali kena libas sayap susah juga mahu terbang
Namun Gelora Bung Karna akan menjadi saksi atas siapa yang akan menang
Harimau Malaya dan Garuda; kita tetap akan bersaudara dan tiada perang-perang,hehee..



Bila Harimau Malaya dan konconya bersatu dalam menyokong
Menyokong bukan lagi impian kosong
Menang piala malam ini; pasti semangat kesukanan akan lebih terdorong
Dorongan ini pasti yang diharap bukan lagi omong-omong..



Bila Harimau Malaya..


nukilan: saffmukmin

Tuesday, December 21, 2010

Muhasabah Bukan Mencari Salah..~

Muhasabah bukan untuk mencari salah
Bukan juga mahu mencari apa yang paling benar
Namun ia perlu walaupun kita tidak pernah salah
Kerana sebagai panduan supaya tidak lagi buat onar


Muhasabah bukan mencari salah
Tapi muhasabah untuk supaya sentiasa tahan dan tabah
Tabah menghadapi ujian, cabaran dan resah
Dalam keadaan senang mahupun dalam susah


Muhasabah bukan untuk mencari salah
Muhasabah untuk menilai diri sendiri dan tindakan
Muhasabah dengan penuh kasih dan sayang kerana Allah
Muhasabah itu pasti di hatinya berkesan..


Muhasabah bukan mencari salah
Dari yang atas hinggalah kepada yang bawah
Berbincang, berdiskusi dan berhujah
Yang benar kita ambil, yang tidak kita tinggalkan;InsyaAllah..


Muhasabah bukan Mencari Salah..

nukilan: saffmukmin



Tuesday, December 14, 2010

Penyelidikan..~

Hidup kena ada penyelidikan dan penambahbaikan. Sebab itu pesanan Allah dalam surah al-Hujuraat mengenai berita yang disampaikan daripada mereka yang Fasiq, harus diselidik terlebih dahulu. Bimbang kalau ia tidak benar, kita silap membuat penghakiman ke atas sesuatu perkara. Apa yang dimaksudkan Fasiq? Untuk menilai mereka yang Fasiq, kita tidak dibenarkan menilai perkata yang tidak jelas dan tidak nampak secara zahir, tapi kita dibenarkan menilai secara zahir di atas perbuatannya. Fasiq dalam kitab "al-Mathla' 'ala abwabil muqni", karangan Syamsuddin Ba'ly, Fasiq didefinisikan sebagai orang yang banyak berbuat maksiat, meninggalkan perintah Allah, keluar dari jalan benar dan agama. Fasiq juga didefinisikan orang yang melakukan dosa besar atau sering melakukan dosa kecil. Jadi, anda sendiri lah yang akan menilai bagaimana orang yang jelas Fasiq dengan amalan zahirnya yang juga jelas sumbernya, bukan sekadar dengar cakap-cakap orang.



Berita yang sebeginilah yang selalu menular di dalam kalangan masyarakat kita sekarang. Dengar dan terus buat penghakiman. Tidak langsung dibuat penyelidikan. Pada siapa lagi yang harus kita persalahkan kalau bukan diri kita sendiri kalau berlaku apa-apa dalam kes sebegini. Oleh kerana kita akan sentiasa hidup bermasyarakat, sebab itu kita kena sentiasa membuat penyelidikan serta mencari sumber-sumber yang betul dalam membuat sesuatu pandangan serta keputusan. Orang Islam sememangnya diajar untuk berfikir menggunakan timbangan Al-Quran dan sunnah serta rasional diri yang sesuai dengan tempat dan keadaan.



Kenapa Ia Amat Perlu?



Kalau dulu, fitnah hanya mungkin boleh dilakukan dari berita mulut ke mulut. Sekarang sudah berpindah dari internet kepada internet. Lagi hebat lagi, dari Facebook kepada Facebook. Pada yang solo, mungkin tidak berapa kisah. Pada yang sudah berpasangan secara sah, itu sebenarnya cabaran. Saya bukan menentang kepada penggunaanya, tapi macam mana kita mengawalnya. Macam-macam kes berlaku dengan teknologi Facebook kini. Fitnah, tuduh menuduh tanpa bukti, tempat berkongsi rasa marah dan macam-macam lagi.



Ada yang terpaksa menyaman individu kerana saman malu di Facebook, ada yang putus cerai kerana kasih dan sayang siber orang ketiga di Facebook dan pelbagai lagi. Bagaimana sekali pun, ia kembali kepada cara kita mengawal penggunaan; bukan menidakkan terus teknologi yang boleh digunakan untuk menyampai dakwah. Tapi kalau anda sedar anda tidak mampu mengawalnya, lebih baik mengambil jalan senang; mencegah ia awal-awal lagi.


Selidik adalah salah satu cara kita mengawal andai kita sangsi dengan berita yang kita terima daripada internet sebegini. Dapatkan daripada sumber yang sah dan jelas. InsyaAllah, ramai yang akan mendapat kesan positif daripada semua ini. Kita dan semua; serta masyarakat amnya.




Akhlaknya



Apa-apa perkara, kalau benar kita tidak mahu ia berlanjutan panjang, cepat-cepatlah untuk seledikinya. Lebih-lebih lagi ia datang dari orang yang Fasiq. Selidik tidak perlu bising-bising, tapi sekadar beberapa yang tahu. Supaya ia benar-benar penyelidikan yang telus serta jujur. InsyaAllah kita doakan agar semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Ameeen..



p/s-Selidik-selidik juga, tapi jangan cemburu lebih-lebih pada yang dah berkahwin,hehehe..

Monday, December 13, 2010

Tika Berat Badan Berbicara..~

Tika berat badan berbicara; sama ada lantang atau terlalu perlahan
Kita haruslah mengambilnya ia serius dan jangan buat-buat tak tahan
Tak tahan kerana mungkin ia bagus atau kita memang kena jaga makan
Namun makan itu perlu tapi kena mengikut keadaan



Tika berat badan berbicara; ada yang buat-buat tak nak ambil tahu
Katanya mahu menjadi pejuang tapi makan waktu tengah malam tak boleh pun dia tak tahu
Nabi pesan kepada pejuang;harus makan apabila lapar dan berhenti sebelum habis makan tu..
Tapi kita dan saya ramainya yang makan tak tentu kalu (dialek Kelate lagi,hehee)



Tika berat badan berbicara; perut menggelebeh nak berjuang pun susah
Mahu berjuang dan berkorban yang mana pasti itu pun susah
Susah mana sekali pun, pejuang harus tekad dan tabah
Tabah untuk berjuang; ibarat peserta Biggest Loser lah!!hehe...



Tika berat badan berbicara; berat badan ideal dicari itu lah realiti
Namun kalau kita sedar ia genetik janganlah kita buat-buat lampi
Genetik itu saintifik, tapi sunnatullahnya siapa yang berusaha turun beratnya pasti
Pasti itu untuk menjamin kehidupan sihat serta berkualiti



Tika berat badan berbicara; yang bujang pasti kalut dan yang dah berkahwin buat-buat sempoi
Yang bujang bimbang tidak ada calon, yang dah kahwin tak fikir sebab sudah ada mek oiii...
Tapi ini pesanan buat semua tidak kira umur, pangkat dan juga siapa yang sudah boroi
Kalau mahu sihat, hari ini berusaha pasti ada hasilnya...oi oi oi!!!hehee...



Tika berat badan berbicara...



nukilan: saffmukmin


Bersediakah Untuk Titik Perubahan?~

Semenjak sebulan dua ini, krisis nilai berita di Malaysia selalu jatuh ke tahap lebih teruk. Kenapa saya berkata begitu? Bukan kerana saya suka mengkritik, akan tetapi kalau anda sendiri menonton berita media arus perdana atau mana-mana sekali pun kebanyakan berita dan rancangan yang tidak bernilai lebih banyak daripada yang bernilai. Kalau dalam pandangan berita; hampir semuanya akan dimuatkan berita yang menghasut, menuduh, dan juga sememangnya benar-benar menjadi agenda politik tidak bersih sesuatu pihak. Kadang-kadang, mahu menonton berita perdana sudah tidak menjadi agenda perdana dalam kehidupan masyarakat berfikiran sekarang.


Sama juga dengan rancangan dan cerita-cerita yang ditayangkan. Saya akui, ada cerita yang saya tengok pasti tidak semua tidak ada nilai yang bagus, tapi paling kurang kita masih lagi tahu untuk memilih mana yang patut untuk dilihat atau tidak. Akan tetapi bagaimana dengan remaja-remaja awal, anak-anak kecil, mereka yang belum lagi dapat membezakan mana yang patut dan tidak, rancangan sekarang hampir semuanya lebih keBARATan daripada barat. Iklan, cerita dan juga sekarang sudah menular kepada filem, sampai bila kita mahu membiarkan kita ditayangkan serta disajikan dengan paparan perdana dengan sesuatu yang tidak ada nilai?


Apa sebenarnya nilai yang kita mahukan? Saya mengambil posisi saya ketika kecil dahulu. Kalau dahulu, kebanyakan rancangan televisyen masih lagi ada nilainya. Mahu melihatkan iklan mahupun cerita yang menonjolkan susuk tubuh wanita atau yang seumpamanya memang tidak akan ada. Kalau ada, pasti akan dicemuh atau pun akan dihalang oleh ibu bapa untuk ditonton. Masyarakat ketika itu mungkin sensitif dan begitu mengambil berat tentang ini. Lagi-lagi dulu masa saya kanak-kanak, kami disantaikan dengan program-program yang kalau ketika besar nanti memang tidak boleh dilakukan seperti rancangan Ultraman, Power Rangers, Maskman, CyberCop dan pelbagai lagi yang memang tidak akan ada di dalam dunia realiti. Akan tetapi sekarang kita disajikan dengan rancangan yang sememangnya boleh dijadikan realiti, seperti Idola kecil, Tom Tom Bak, dan lagi yang pasti Akademi Fantasia dan rancangan-rancangan realiti yang langsung tidak membina minda kanak-kanak. Paling kurang, berjiwa dan bercita menjadi Ultraman dapat meningkat usaha menjadi super power menentang 'musuh', tapi menjadi artis realiti apa gunanya saya pun tak tahu. Inilah nilai yang pasti sama ada sekarang ini kita mengambil cakna atau memang kita tidak mahu tahu langsung.



Menjadi persoalan; Bilakah Titik Untuk Kita Berubah?


Dalam keadaan di Malaysia, tidak dapat tidak perubahan secara keseluruhan pasti berkesan boleh dibuat sekiranya kita menguatkuasakan undang-undang yang ada serta mewujudkan undang-undang Agama berkesan dan kita komited untuk menambah nilai-nilai yang baik kepada semua sektor. Timbul persoalan, tidak pernah dibuat ke selama ini? Atau memang kita tidak perasan? Anda sendiri yang jawab, selama mana Malaysia kita merdeka ini; apa yang telah kita disajikan dengan semua ini lebih banyak yang bernilai kebaikan atau bagaimana? Atau kita sekadar mahu menunggu lagi 50 tahun akan datang dengan membiarkan kesemua ini berlaku lagi?Jadi, mahu tidak mahu, perubahan itu mesti dilakukan dengan segera bersama dengan kuasa pemerintahan.


Kuasa pemerintahan bermaksud kuasa politik sesuatu negara. Kestabilannya memang amat penting, semestinya dalam hal itu memang kita tidak akan kompromi. Namun, dengan isu yang timbul sekarang adakah sudah tiba masanya kita mengambil titik perubahan ini untuk berubah ke arah lebih baik dan berkebajikan?


Politik negara sedang hangat bergerak. Kisahnya pelbagai ragam dan juga rasa. Tapi, kalau anda memikirkan titik perubahan ini, ambil lah perhatian sewajarnya dengan apa yang berlaku sekarang. Jangan sekadar mengambil jalan tengah untuk tidak mahu ambil tahu. Pastinya, perubahan yang kita cari kalau sudah kena cara dan masanya; Allah pasti akan tolong dan bantu. Cuma kembali kepada persoalan asal, bersediakah kita untuk titik perubahan ini?



Akhlaknya


Entri ini banyak persoalan untuk dijawab. Tepuk dada tanya iman. Dengan isu Wikileaks; dan pelbagai lagi pastinya isu ini akan lebih seronok untuk disoroti. Pandanglah dengan pandangan orang yang ada fikiran dan pastinya lagi baik dengan fikiran orang beragama. Saya dan orang yang sayang tidak sabar menunggu untuk titik perubahan ini..~



p/s-Hijrah..

Jodoh..

Jodoh..
Bukan mencari rupa orang kata; tapi konon-konon tak mahu yang hodoh
Memang terbukti; yang cantik-cantik rupa dicarinya dengan penuh gelojoh
Tapi biarlah tindakan kita nampak bukan macam orang bodoh
Yang tentu; masing-masing ada pilihan sendiri untuk jodoh



Jodoh..
Kalau belum bersedia; jangan tergopoh-gopoh
Tapi jangan lambat sangat macam panda Pooh
Jadilah seorang lelaki atau wanita yang bersedia agar perkahwinan yang dicari pasti redhai Alloh (dialek Kelate,hehe)



Jodoh..
Oh Jodoh
Temukan lah kami dan kita dengan jodoh
Baik pada pandanganMU dan baik juga pada pandangan seorang HambaMu ini yang pasti
penuh hino bedo'oh (dialek Kelate lagi,hehe)..

Oh Jodoh..

Ameeeen...


Nukilan: saffmukmin


Sunday, December 12, 2010

Berfikir Kreatif Untuk Lebih Sayang~


Saya pernah menghadiri Kursus Pemikiran Kreatif anjuran Pejabat Pendaftar UMT awal tahun baru-baru ini. Sebenarnya ia khas untuk berjawatan gred 44 ke atas, tapi saya tak tahu dan saya memohon kursus itu. alhamdulillah, permohonan saya untuk ke kursus itu diluluskan. Dan saya menyudahkan kursus tersebut di Hotel Felda Terengganu selama dua hari. Sememangnya memang two thumbs up untuk kursus dan penceramah.


Pemikir Kreatif?


Secara kesimpulannya, saya boleh katakan kita hidup harus sentiasa jiwa kreatif. Lebih-lebih lagi pada kita selaku khalifah Allah dalam usaha menyampaikan urusan-urusan Islam.Ada beberapa sebab. Yang utamanya adalah kita tidak mahu apa yang kita lakukan setiap hari adalah perkara yang sama. Kreatif tidak memerlukan kos yang banyak tapi cukup ia sekadar berbeza dengan sebelumnya tapi pada masa yang sama tetap mengekalkan tujuan asal sesuatu perkara dibuat dan insyaAllah impaknya gempak. Sebagai contoh, setiap hari dan setiap minggu kita mungkin akan melalui jalan yang sama untuk ke tempat kerja dengan harapan masa singkat dapat diambil. Ya, itu betul dan bagus untuk mengejar masa. Tapi cuba bayangkan kalau kita akan lakukan selama mana kita berkhidmat dan bekerja nanti? Oleh itu, kreatifkan sedikit perjalanan laluan anda untuk ke tempat kerja. Bagaimana kalau terpaksa ambil masa? Itu tidak ada masalah, kita cuba awalkan masa untuk ke tempat kerja. Bukan disuruh mengambil jalan yang jauh, tapi sedikit berbeza agar kita tak lakukan kerja yang sama tapi tetap sampai ke tempatnya.Apa hasil gempaknya? InsyaAllah, pasti hasil kerja anda berbeza dengan sebelumnya kerana kita mulakan dengan perkara yang berbeza pada hari itu. Tak percaya, boleh cuba,hehe...


Mungkin ada yang akan cakap itu tidak penting. Ya, mungkin tidak. Tapi pada saya sikap dan sifat kreatif kita berfikir bermula daripada sekecil perkara kepada sebesar perkara. Dalam kursus tersebut juga, saya simpulkan satu lagi sebab kenapa kita perlu mempunyai jiwa kreatif. Ini kerana hidup kita harus rentan dan sentiasa memerlukan survival. Sebagai contoh, ada orang hari-hari main Facebook. Dan Facebook adalah satu penjanaan kewangan bagi orang yang menciptanya. Apa kaitannya dengan kreatif? Ya, kalau anda perasan sudah berapa kali Facebook mengubah layout nya dari hari pertama dia muncul. Mungkin sudah berkali-kali. Ini amat berbeza dengan Laman sosial yang lain seperti Friendster atau sebagainya. Mereka sekadar mengekalkan apa yang ada, tapi apabila sudah ada saingan baru lah terkebil-kebil mahu berubah untuk turut sama bersaing.


Di Malaysia sendiri jelas di hadapan mata apa yang berlaku sebegitu rupa. Syarikat MAS sememangnya dicabar dengan AirAsia yakni sebelum adanya Airasia bagaimana rasanya perkhidmatan MAS? Harga tak pernah mahu utamakan pelanggan, namun munculnya AirAsia menawarkan slogan " Everyone Can Fly ", MAS memang benar-benar baru mahu berubah dan nasib baik mahu berubah. Pelbagai lagi yang ada dan yang terkini UNIFI akan mencabar Astro. Saya tidak sabar mahu menunggu bagaimana Astro akan memenuhi dan mengikut kehendak pelanggannya. Sekarang dengan suka hati je menaikkan kos!!(mode marah,heheee)



Apa kaitan dengan Sayang?


Hehehe..ini sesuai untuk mereka yang sudah berkahwin. Sayang ini subjektif, kreatif juga subjektif. Ada orang dengan sekuntum bunga; sayang nya berpuluh-puluh tahun. Ada orang kena bagi rumah-kereta-apa-apa yang mahal lagi baru boleh jadi sayang. Di sini lah penting kreatif. Ada orang mungkin berduit, ada yang sederhana dan ada yang mungkin kurang. Tapi kalau anda kreatif, hari-hari anda yang berpasangan boleh buat pasangan yang anda sayang boleh jadi sayang walaupun kita kurang ada duit yang orang fikir kena ada banyak. Caranya bagaimana? Orang yang dah kahwin boleh jawab,hehee..


Akhlaknya


Kreatif dan terus kreatif. Islam memerlukan orang kreatif, bijak tapi mempunyai sikap dan akhlak yang baik. Kreatif+bijak=Islam akan ke hadapan, insyaAllah. Dan survival serta penyampaian Islam akan lebih senang disampaikan andai semua jiwa-jiwa dakwah terus berfikir secara kreatif.


p/s-kreatif untuk lebih sayang

Apabila Disember..

Apabila Disember setiap tahun pasti bujang senang atau bujang terlajak akan buat-buat sibuk
Sama ada sibuk untuk jadi lebih baik atau memang betul-betul mahu menyibuk
Gadis dicari, muslimah di sunting, wanita di cari di setiap sudut dan lubuk
Yang pasti yang berjawatan bujang memang tak mahu lagi menjadi pungguk


Apabila Disember setiap tahun tiba;pasti akan ada kenduri kendara
Kenduri yang dijemput tentu akan tiba dengan sedara mara
Ayuh, yang dijemput jangan jadikan alasan untuk tidak hadir kerana itu hak muslim bersaudara
Tapi yang bujang bersedialah dengan soalan " bila anda mahu tamatkan bujang dan dara",hehe..


Apabila Disember datang, musim hujan akan turun di negeri tadahan orang miskin dan papa
Miskin itu miskin harta pada pandangan orang; namun jiwa dan hati mereka tidak sebegitu rupa
Hujan besar sekali pun, mereka tempuh dengan hati redha
Insyaallah, Allah sayang pada hambaNya yang berjiwa kaya biarpun nampak miskin harta..


Apabila Disember datang segala operasi dari awal tahun hingga ke akhir akan dinilai
Awal tahun Islam sudah pasti akan tiba awal dan selalu kita lupai
Nilai lah seberapa mungkin yang boleh;baik dan buruk,jahat dan sangka baik,semuanya bernilai
Tapi jangan pula nilaikan duit yang ada dan berebut-rebut membeli kain di NILAI,hehee...


Apabila Disember setiap tahun datang dan munculnya Januari awal tahun depan
Selaku bernama manusia kita pasti tidak boleh lari dari merancang dan berhadapan
Berdepan dengan segala kemungkinan yang ada serta bersedia untuk sentiasa tahan dan rentan
Insyaallah, angkat tangan dan berdoalah meminta denganNya jangan malu dan jangan segan!!!


Apabila Disember...


nukilan: saffmukmin



Tuesday, November 30, 2010

Mana Yang Patut "Tuan"?






Kalau dalam istilah bekerja di pejabat atau mana-mana organisasi, panggilan Tuan sememangnya beliau adalah seorang yang dihormati dan juga disanjungi di tempatnya bekerja; sama ada secara rela mahupun paksa. Tapi lain maknanya kalau orang itu sudah bernama Tuan pada permulaan namanya ye,hehe..


Siapa Yang Layak Tuan?


Kalau dijadikan isu, siapa yang layak menjadi Tuan? adakah kerana jawatan atau kerana senioriti? Atau kerana sememangnya dia layak untuk dijadikan dan dipanggil Tuan?


Pada hemat saya, kenapa saya memanggil seseorang itu Tuan adalah kerana kredibiliti, kemampuan, keupayaan panggilan itu untuk dirinya. Dengan kata lain, sememangnya Tuan itu dipanggil kerana dia memang patut dan layak. Dan dalam ramai-ramai Tuan, pasti ada tuan yang pertama, kedua dan seterusnya kita hormati dan sanjungi.


Begitulah amalan di mana-mana tempat kita bekerja. Tapi amat berbeza kalau mereka yang memanggil Tuan itu seorang kaki kipas, siapapun mereka panggil Tuan!!!,hehee..


Ketuanan ISLAM dan Melayu


Begitu jua saya memandang isu yang dipalu sekali lagi. Saya melihat ia nanti akan diludahkan pada diri mereka sendiri yang memalu gendang ini. Kita selaku rakyat Malaysia mungkin bertuah kerana UMNO memenangi Pilihan Rakyat Malaysia yang pertama selepas Merdeka dan sehingga kini menang lagi. Ya, kita tetap akan TUAN kan Melayu, akan tetapi bagaimana lupakah kita bagaimana Melaka satu masa dahulu menjadi bualan dan siulan antarabangsa kerana bangsa atau pun agama yang di TUANkan?


Setakat yang saya belajar dengan sejarah masa di sekolah dulu-dulu, sememangnya Melaka terkenal dengan Sultannya yang teras dan bertuankan AGAMA yang pertama sehinggalah Melayu itu mungkin kemudian. Sehinggalah AGAMA tidak dituankan, barulah empayar Melaka jatuh dek kerana kecuaian dan kelayuan kita.


Sudah hampir 53 tahun kita Merdeka, dan kita tanya pada diri kita sendiri..sejauh mana benarkan kita berTUAN dengan Melayu? Memang benar kita ramai dengan Melayu, tapi kita sedih dengan AGAMA..


Bak kata seorang ahli YB di Parlimen hari ini," kita sudah 50 tahun lebih bertuan Melayu, namun kita terus lemah dan buat-buat nampak KUAT. Sepatutnya dengan bertuankan Islam yang utama, barulah Melayu itu jadi lebih bermaruah,"...


Sekali lagi saya kembalikan kepada diri kita, tepuk dada tanya iman dan ilmu kita. Apa yang kita pentingkan, AGAMA atau ketuanan Melayu yang utama?..


Akhlaknya


Saya Melayu. Mungkin ramai yang membaca posting saya ini pun ramai Melayu. Saya bangga juga jadi Melayu. Tapi kita beragama Islam. Saya lebih bangga menjadi Muslim; dan Muslim itu Melayu yang baru dan jitu.


p/s-berTUANkan ISLAM, berENCIKkan Melayu

Sunday, November 28, 2010

Saat Kita Menadah Tangan...

Saat kita menadah tangan memohon pada Allah azzawajalla
Apa sebenarnya yang kita mahu dan kita pinta
Dalam keadaan kita sedar mahupun lupa
Sebenarnya kita memang seorang hamba yang harus sentiasa dekat denganNya..


Saat kita menadah tangan memohon pada Allah yang Maha Besar
Kita lupa kita juga pasti ada salah silap dalam keadaan sedar
Kita pasti tidak lupa dan ambil kisah juga dengan dosa dalam keadaan tidak sedar
Kerana kita sememangnya seorang hamba yang dosanya kalau tidak bertaubat boleh jadi BESAR!!!


Saat kita menadah tangan memohon pada Allah yang Maha Adil
Kita harus tahu kita penuh dengan dosa, kekejaman pada Allah dan juga tidak adil
Tidak Adil kerana kita sebagai hamba kita leka,alpa dan dengan Allah kita tidak berasa kerdil
Namun ingatlah Allah itu benar-benar Maha Adil!!!


Saat kita menadah tangan memohon pada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Saya menyeru kepada saya dan semua yang saya sayang
Ingatlah bahawa Allah itu dekat dan bersama kita seperti bayang-bayang
Angkatlah tangan, angkatlah tangan, angkatlah tangang!!!(dialek Terengganu,huhu)


nukilan:saffmukmin

Monday, November 01, 2010

Tahniah~


sepupu sepapat, adik beradik dan abah!!hehee


Kalau benar kita yakin kita sebagai Muslim, segala apa yang berlaku sebenarnya sudah tercatat di dalam aturan Allah. Cuma mungkin masanya belum tiba, akan tiba atau tidak pasti tiba di sini. Namun,kita tidak digalakkan untuk bersahaja atau menerima dengan hati terbuka dengan alasan ," mungkin Allah tidak mahu beri kepada kita rezeki yang baik". Mana mungkin seorang muslim yang baik akan berkata begitu.


Kelantan Akhirnya.



pasukan juara PIALA MALAYSIA 2010


Selaku muslim yang menonton Piala Malaysia 2010 tempoh hari, tidak segan silu mahu mengatakan ini semuanya pasti sudah dicatatkannya dengan penyebabnya adalah kerjasama dan usaha semua dalam memberikan Piala pertama ke Stadium Muhammad ke-IV. Segala yang baik-baik kita kembalikan kepadaNya. Terima kasih Allah!!


Namun masih lagi kecewa dengan segelintir penyokong pasukan sendiri yang sanggup menconteng cat ke badan dan muka sendiri (saya cuma terfikir dengan solatnya). Tapi seringkali, kita di ajar untuk bersangka baik. Mungkin kesemua yang berbuat sedemikian mereka boleh jama' dan qasar barangkali. Apa-apa pun, sokong biarlah kita nampak bijak, bukan sekadar bijak dari segi moral dan etika seorang manusia, namun biarlah bijak dengan segala tindakan seorang bernama muslim.


Tahniah!!


Sekali lagi, tahniah kepada penyokong dan pasukan. Kami doakan agar Piala ini dapat menyemarakkan lagi suasana kesukanan yang lebih baik, dan lebih progerssif untuk menjadikan ia lebih menurut ajaran agama kita,insyallah. Itu harapan besar, namun tidak rugi kalau kita sentiasa mengimpikannya suatu hari nanti dan berusaha melaksanakanya sedikit demi sedikit dari sekarang.wallahu a'alam.


p/s- Gomo Kelate Gomo!!!

Sunday, October 10, 2010

Sanah Helwah Redhuan~



Assalammualaikum dan selamat sejahtera buat semua. Alhamdulillah, hari ini Allah masih kurniakan saya umur dan tubuh badan yang masih lagi sihat wal'afiat.


Terima kasih Allah di atas umur yang diberi. Sudah suku abad saya hidup di dunia, mana mungkin tiada apa yang saya boleh lakukan untuk sumbangan demi Islam tercinta. Saya doakan, kalau yang besar saya tidak dapat buat, berilah keizinan untuk saya lakukan yang sederhana tapi boleh menyumbang. Tapi jika yang sederhana pun tidak mampu saya buat, berikanlah saya kelapangan dan masa untuk berbakti dalam keadaan kecil-kecil tapi bermakna untuk perjuangan Islam. Namun, tersimpan di dalam sudut hati untuk terus berjuang selamanya, selagi nyawa diberikan Allah.


Alhamdulillah, sudah 25 tahun umurnya. Genap hari ini, 10-10-10. Triple ten?? Tiada makna juga tarikh cantik kalau hari-hari bertambah maksiat kepada Allah. Pesanan buatku terutamanya..


Semoga Allah ampunkan dosa saya selama ini. Dosa yang terang bersuluh, dan dosa yang sembunyi-sembunyi di baliknya..


P/s-Sanah Helwah Redhuan!!!

Tuesday, October 05, 2010

Dari Facebook terus ke Hati..~




Facebook benar menguji kita. Namun, dalam ujiannya kepada kita, tidak salah untuk kita gunakannya sebagai medium untuk sampaikan dakwah. Bak pesanan Allah dalam kitabNya yang bermaksud " Serulah kepada TuhanMu dengan berhikmah, nasihat yang berguna dan bertukar-tukar fikiran dengan yang baik ". Mungkin, menggunakan Facebook adalah cara paling berhikmah buat masa ini dalam menyampaikan mesej kebaikan dan berpesan supaya meninggalkan keburukan bagi semua lapisan masyarakat.



Namun, dalam menggunakan Facebook sebagai ruang dakwah ia tetap ada ujian yang pasti menimpa mereka yang sudi untuk berdakwah melalui Facebook. Kalau sebelum ini, blog menjadi luahan dan tempat untuk pendakwah siber melontarkan idea, namun dengan Facebook, isi-isi penting boleh dilontarkan terus. Dan isi-isi penting ini terus sampai kepada pembaca yang membaca.



Apa ujiannya? Ujiannya adalah sama bagaimana yang berlaku kepada pendakwah-pendakwah yang lain, lebih-lebih lagi yang sudi berdakwah dalam Facebook ini. Mereka harus selarikan apa yang dibawanya dalam Facebook melalui status, video, gambar atau apa sekalipun dengan dirinya yang sebenar dalam realiti sebenar. Sebagai contoh, anda adalah seorang bukan Pegawai Agama namun sering memberikan status yang menampakkan anda seorang yang tahu ilmu agama. Dan kemudian apabila anda bersama kawan-kawan yang bukan dari lapangan bukan orang beragama, anda menjadi begini. Dan apabila anda berada bersama orang beragama, anda seratus peratus berubah dan menjadi begitu. Tidak sama dengan diri yang sebelumnya. adakah anda hipokrit atau bagaimana?



Konsep fleksibel dan tetap bagus sekiranya kita telah cuba pelbagai cara untuk mendekatkan diri dengan sasaran mad'u kita. Ya,fleksibel itu penting dalam menyampaikan dakwah, tapi harus ingat percubaan untuk mencapai kefleksibelan itu haruslah sudah banyak kali dicuba dengan kaedah yang biasa kita lakukan seperti kaedah rohaniah dan sebagainya.



Islam di bawa dengan konsep fleksibel dan tetap, dan juga pendakwah harus begitu. Walaupun Facebook salah satu kefleksibelan dalam berdakwah, ketetapannya jangan kita lupakan. Ketetapannya adalah kita harus terus menerus menguatkan tarbiah kerohanian kita. Saya bimbang, semua (termasuk saya) sekadar berteori dalam Facebook namun dalam realiti sebenar kita sama sahaja dengan orang kebanyakan lain. Kita mungkin nampak hebat dengan status beragama kita dalam Facebook, tapi apabila dilihat realitinya sekadar tiada apa-apa.



Nasihat untuk saya dan semua, sekali kita menulis status dalam Facebook, tulislah ia agar benar sampai ke hati kita sendiri juga nanti. Insyaallah, dari Facebook turun ke hati, kita sendiri akan berubah untuk melaksanakannya jika kita masih lagi tidak berbuat apa yang kita sarankan dalam status tersebut.


Akhlaknya


Akhirnya, semoga medium Facebook boleh dimaksimumkan dalam menyampaikan mesej dakwah. Ia memang kefleksibelan dalam berdakwah, tetapi jangan lupa untuk menguatkan teras-teras dakwah yang lain seperti usrah dan sebagainya. Pesanan untuk diri saya yang hina dan dina ini juga.Wallahu a'alam.


p/s-Facebook ooo.. facebook..

Saturday, October 02, 2010

Fitrah Kepada Asal~

Masjid Utama KMPk..tempat tarbiyyah kami dulu..



Seketika kalau kita terfikir, kenapa setiap kali kita pulang ke kampung, sama ada untuk beraya atau apa aktiviti sekali pun, kita akan merasa begitu gembira dan amat teruja. Begitulah fitrahnya kita manusia, apabila kembali kepada asalnya, yakni kepada tempat bermulanya kehidupannya dan takuk perubahan kehidupannya.


Proses pembelajaran saya di Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng amat bermakna dalam takuk perubahan hidup saya. Hampir 7 tahun tidak ke sana; baru-baru ini Allah memberikan peluang kepada saya untuk ke sana dalam urusan rasmi. Alhamdulilah, kegembiraan itu tidak dapat saya gambarkan, namun jauh di dalam sudut hati saya, saya amat terkenangkan semuanya. Gembira, sedih, semuanya bercampur baur. Tapi masih dikedapkan dalam hati ini supaya kejantanan lelaki itu masih tetap ada,hehee..



bergambar di dewan kuliah zaman saya dulu..



Apa-apa pun ,Alhamdulillah kepada Allah kerana sudi memberikan saya peluang dan ruang ini. Semoga kelangsungan ini sentiasa dapat saya dan kami teruskan..di atas nama Alumni Jawatankuasa Pelajar 2003/2004..



Puan Roshidah-pegawai yang bertanggungjawab untuk JPP zaman kami dulu..



p/s-insyaallah, jumpa lagi KMPk!!

Tuesday, September 21, 2010

Adab dan Adat~




Adab Islam mengatasi segalanya. Kita diajar untuk terus beradab dengan adab-adab Islam. Namun seringkali kita terperangkap dengan idea-idea adat-adat ke'Melayu'an kita yang terus pertahankan biarpun kadang-kadang jelas nampak memang tidak relevan dengan agama. Namun, mengambil sisi-sisi Islam, biarlah adat yang ada masih berada dalam ruang lingkup adab-adab Islam yang tidak lari dari syariah Allah.


Tapi Sejauh Manakah Kita Praktikalkan?


Pernah terbaca satu sedutan blog daripada karangan sahabat mengenai jawapannya apabila ditanya " Kenapa Ustaz dulu masa kahwin pun ada duduk atas pelamin dan disaksikan oleh orang ramai-ramai? Bukan kah itu adat yang melanggari syariat?"


Beliau menjawab, dia jua mohon maaf; dan semoga tindakannya itu cukup sekadar masa itu sahaja. Meraikan kedua-dua keluarga yang mahu melihat anak-anak mereka bersanding sama macam orang kebanyakan. Dan pastikan anak-anak kita selepas ini tidak lagi dilakukan sebegitu rupa..


Melihatkan situasi ini, kalau kita mengira dengan janjang aritmetrik, sampai bila orang akan bersanding di khalayak ramai dan disaksikan oleh semua orang sekiranya ibu-bapa generasi baru tidak diberikan pemahaman agama. Juga bimbang, saat majlis diraikan untuk kedua-dua mempelai mungkin boleh menjadi sengketa yang besar untuk kedua belah pihak jika hal ini tidak dibincangkan dan diperhalusi dengan betul. Bagus kalau semua orang faham, dan cuba untuk memahamkan orang lain. Tidak salah untuk bersanding, dan ada cara yang boleh dibuat. Tapi berapa ramai yang mahu ikut? Tepuk dada, tanya iman..


Adab atau adat?


Saya bukan ustaz mahupun orang yang diberikan title berkopiah untuk membincangkan hal ini. Tapi apabila melihatkan kepada pemerhatian suasana sekarang, banyak yang berlaku pada sekitar kita (saya juga) yang kadang-kadang keliru dengan amalan kita sendiri. Sama ada ia adab Islam atau adat Melayu? Kalau adat Melayu yang tidak menyimpang tidak mengapa, namun kalau menyimpang, sejauh mana kita akan mengambil cakna..


Kalau dulu, kita menyokong usaha busana muslimah apabila ia dijadikan trend atau fesyen baru. Sehinggakan apabila timbul pelbagai fesyen baru busana muslimah, kita masih menyokongnya. Dan ketika timbul lagi fesyen bertudung ala-ala sanggul, kita masih lagi melihat ia bertudung. Namun setelah fesyen bertudung ini diberikan nafas baru oleh mereka yang niatnya mahu berhijrah bertudung, kadang-kadang menyakitkan mata memandang dengan tudung itu. Lihatlah betapa Dato' artis ini berjaya membuat style tudung artis baru, dan sudah ramai yang mengikutnya. Dan sehingga post ini ditulis, saya sendiri tidak pasti berapa banyak lagi fesyen busana muslimah akan direka mengikut kemahuan diri, bukan lagi kemahuan berAGAMA.


Sama juga trend baru sekarang seperti majlis pertunangan. Kalau dulu, sekadar rombongan cik kiah datang, namun sekarang ia sudah dibisingkan di merata tempat. Siap dengan pakej pertunangan yang disediakan oleh mereka yang menawarkan pakejnya. Ditambah dengan entri laman sosial dan pelbagai lagi. Mungkin kecelaruan kefahaman adab dan adat agama ini telah banyak memeningkan generasi akan datang dan sekarang betapa ia ditokok tambah dengan kemahuan manusia. Bimbang, kalau tidak dibendung dengan segera, ia boleh menjadi parah separah fesyen tudung muslimat tadi dan mungkin separah yang kita tidak jangkakan. Waima orang yang bertitle agama pun mahu adakan majlis bertunang siap dengan pelamin disaksikan oleh ramai kenalan dan orang ramai...kenapa??


Akhirnya..

Saya bukan orang ada title agama. Kalau salah, mohon betulkan. Kesemua tulisan ni berpandangan peribadi. Sedih dengan apa yang berlaku di sekeliling saya juga. Dengan fesyen, majlis pertunangan dan sebagainya. Upaya saya sekadar saya boleh buat..upaya anda? Anda yang tentukan..

Sama-sama doakan, agar saya, kita dan semua sentiasa diperbetulkan pandangan tentang kefahaman beragama yang lebih jelas dan nyata. Ameen.


p/s-Islam tidak menyusahkan, tapi kita yang selalu menjadikan Islam sebagai alasan untuk susah..

Sunday, September 19, 2010

Allahu Akbar!!

Daulat Tuanku!!!



Kami, rakyat Kelantan sama-sama mendoakan agar Tuanku Sultan dapat memerintah dengan penuh adil, hikmah dan penuh bijaksana dalam mengharungi segala ujian yang mendatang. Tiada harapan besar, cuma sama-sama mendoakan juga agar sesama ulama dan umara' dapat berganding bahu dalam meletakkan Islam pada kedudukannya yang sebenar di bumi Kelantan khususnya, dan Malaysia amnya.


Kami, rakyat Kelantan merafak sembah ke bawah duli, Tuanku Sultan Muhammad Faris Petra yang bakal bergelar Sultan Muhammad ke-5 setelah hampir 100 tahun Sultan Muhammad ke-4 dahulu. Tiada kegembiraan yang jelas dan nyata melainkan kami bersyukur ke hadrat Ilahi dengan pemasyhuran baginda Sultan.


Kami, rakyat Kelantan sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan ayahnda baginda Sultan, Tengku Ismail dalam meniti usia-usia hidup ini.



Daulat Tuanku!!!


Daulat Tuanku!!!


Daulat Tuanku!!!


ALLAHU AKBAR!!!

Tuesday, August 31, 2010

Selamat Meneruskan Perjuangan!!~

Artikel daripada Ustaz Hasrizal a.k.a kepada mereka yang berkelana jauh dalam mencari ilmu Allah yang luas. Semoga sentiasa kuat deh!!


“Ini bicara Allah kepada kamu. Rasakan yang Allah sedang bercakap secara khusus kepada kamu,” kata Ustaz Harun kepada kami.

Angin desa di Kubang Lembek tengah hari itu damai sekali. Tidak terasa terik mentari membakar siang.

Saya dan beberapa rakan tekun mendengar.

“Ayat ini adalah mahkota penuntut ilmu di jalan Allah. Ke mana sahaja kamu pergi, junjunglah ayat ini,” pesan Ustaz Harun lagi, melangsaikan pertemuan kami tengah hari itu.

Sudah menjadi suatu kemestian, saya dan rakan-rakan selalu mencari ruang dan peluang untuk bertemu dengan alim ulama’. Pada usia akhir belasan tahun, kami sedang mengorak langkah untuk jejak ilmuwan. Nasihat dan mutiara kata para ulama’ yang berjiwa mursyid itu menjadi dambaan kami, buat bekalan kembara diri… yang panjang itu nanti.


Ustaz Harun mensyarahkan kepada kami kalam Allah yang terungkap pada surah al-Taubah ayat 122:

9_122

“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat berjaga-jaga.” [al-Taubah 9: 122]


DI CELAH KEGENTINGAN TABUK

Musim panas dan pohon tamar berbuah ranum.

Tuaian harus disegerakan untuk manfaat bekalan keperluan hidup setahun mendatang.

Dalam suasana itulah Allah SWT menguji kaum mu’minin untuk turun berjuang. Jangan terkecuali walaupun seorang. Namun segalanya terhasil dengan hikmah yang besar. Sekumpulan sahabat tercicir dengan alasan dan situasi masing-masing. Mereka ditegur dan diperbetulkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan cara yang amat menusuk kalbu. Pengajaran kekal yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Peringatan itu menjadikan para sahabat begitu peka dan responsif terhadap perintah jihad. Hingga tiada langsung yang berlengah. Tatkala ada sub misi (sariyyah, bukan ghazwah) yang dilancarkan oleh Baginda allallaahu ‘alayhi wa sallam, kesemua sahabat menyertainya hingga baginda ditinggalkan sendirian di kota. Lalu turun ayat ini memberi peringatan, bahawa sebesar mana sekali pun suatu misi, adalah tidak wajar untuk kaum mu’minin itu keluar semua sekali memenuhi agenda yang satu.

Dalam kewajipan melaksanakan jihad, kewajipan menuntut ilmu beriringan sedarjat.

MENUNTUT ILMU ITU JUGA NAFAR

Falaulaa nafara…

Keluar menuntut ilmu, digelar Allah dengan kalimah nafara, iaitu kalimah yang lazimnya hanya terguna pada mengungkapkan soal keluar berjihad perang di jalan Allah. Pemilihan kalimah itu harus kita teladani, bahawa Allah SWT mahu kita melihat proses menuntut ilmu di jalan Allah sebagai suatu medan tempur. Justeru persiapan kaum yang keluar berperang, harus juga menjadi persiapan yang sama buat penuntut ilmu di jalan Allah.

Peperangan Itu Susah

Penuntut ilmu juga harus menyediakan fizikal, mental, emosional dan spiritual mereka terhadap hakikat ini, bahawa jalan yang dipilih adalah jalan yang penuh ujian dan kesusahan. Pertaruhannya adalah segala milikan diri, dari masa, tenaga dan harta, hinggalah kepada nyawa dan survival jiwa.

2_155

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan secebis perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar” [al-Baqarah 2: 155]


“Sudah diberi biasiswa takkanlah susah lagi?” terdetik di bibir rakan-rakan mengulas kehidupan yang bakal kami tempuh.

Hakikatnya, soal kewangan yang sering menjadi fokus kerisauan, bukanlah cabaran terbesar belayar di perantauan. Mungkin dalam sederetan ujian yang mendatang, musibah besar yang sering mengorbankan seorang penuntut ilmu ialah sebuah KEBEBASAN. Bebas terbang ke sana sini, tiada lagi leteren dan hambatan kawalan yang menghantui. Segalanya bebas.

Dan kebebasan itulah yang sering memutuskan tali pada sebuah layang-layang.

Terbang tinggi tidak ke mana, hingga nanti jatuh ke tanah berlumpur hina.


Peperangan Harus Terancang

Tidak wajar sekumpulan wira terjun ke medan perang sebagai bidan terjun.

Peperangan itu besar. Nilainya besar, harganya besar, pengorbanan untuknya juga besar. Jadi, langkah ke arahnya jangan mula bertapak hingga jelas di fikiran apa yang dimahukan. Begin with the End in Mind, adalah suatu tuntutan yang mesti diterokai oleh setiap penuntut ilmu di jalan Allah. Apa yang mahu dituntut, mengapa ia perlu dituntut, malah soalan semudah “kenapa mahu jadi ustaz“, mesti difikirkan masak-masak. Terikut-ikut sentiasa menjadi musibah bagi apa jua aspek kehidupan.

Apa yang saya cari?

Bakal terlepas peluang kenduri kendara kahwin adik beradik.

Bakal tercampak sunyi di negeri orang.

Bakal membiarkan bonda sunyi sendirian di desa nan sepi.

Bakal berpisah yang mungkin bertanda mati!

Besar sekali harga sebuah perjalanan kembara ilmu yang bakal dilakar ini.

Apakah yang saya cari?

Soalan tentang hal ini saya fikirkan sehadam-hadamnya. Pengajian Islam bukan tiada di negeri sendiri. Mengapa saya mengambil keputusan untuk mengembara jauh? Apa yang saya cari? Salji? Glamor? Naik kapal terbang? Siar gambar raya di surat khabar Ramadhan demi Ramadhan? Apa yang saya cari?

Sesungguhnya saya tidak pernah mengizinkan diri untuk menjadi biasa-biasa. Saya ciptaan Allah. Dia yang Maha Bijaksana lagi Sempurna. Mustahil Allah menciptakan saya biasa-biasa untuk saja-saja bagi tujuan yang ala kadar semata. Saya yakin saya makhluq Allah yang istimewa, dan kembara ke bumi Anbiya’ ini adalah untuk mencari keistimewaan itu.

Menjadi pewaris Anbiya’ bukan retorik. Visi dan misinya saya genggam dalam pesanan Allah di dalam ayat ini.


Peperangan Harus Ada Kemahiran

Mustahil pergi berperang hanya dengan tawakkal yang kosong. Itu bohong. Mendustakan Sunnatullah yang diwajibkan Allah ke atas alam ini.

Kata bijak pandai:

batilmunazzam

“Kucar-kacir dalam kebenaran, mustahil ada upaya mengalahkan kebatilan yang sistematik”

Niat yang baik adalah tuntutan Syariatullah, perancangan yang direalisasikan oleh kemahiran secara sistematik pula adalah Sunnatullah yang melengkapkannya. Justeru, keinginan untuk mewarisi perjuangan para Anbiya’, harus menyeluruh mencakupi seluruh kelebihan para Anbiya’. Siddiq pada hati, akal fikiran, perkataan dan perbuatan. Amanah menjadi integriti diri yang mengikat segalanya agar sentiasa berhubung dengan Dia. Tabligh dalam erti kata hidup untuk menyampaikan, memberi dan berkongsi kebaikan seluas alam. Fathanah, kebijaksanaan dan nilai kompetensi yang luas untuk digarap oleh insan yang optimum dalam perjuangan mereka.

Cerdik tapi tak baik, jadi penipu.

Baik tapi tak cerdik, jadi mangsa penipu.

Pendakwah mesti cerdik. Kemahiran mesti tinggi. Di atas kesedaran itu, saya letakkan azam yang tinggi, bahawa agenda di bumi Anbiya’ nanti bukan hanya pada melangsaikan silibus di bilik kuliah. Kemahiran bahasa, kemahiran ICT, kemahiran berfikir, kemahiran berkomunikasi, dan segala ilmu kendiri, mesti digarap tanpa berlengah-lengah dan bersantai diri. Pewaris Anbiya’ mesti outstanding!


Peperangan Harus Kenal Kawan dan Lawan

Peperangan itu licik.

Lawan disangka kawan.

Kawan dijadikan lawan.

Tipu daya di dalam sebuah pertempuran sering mengelirukan. Dalam tempoh masa yang terhad dan penuh kegentingan, seorang penuntut ilmu di jalan Allah harus peka sepeka mujahid fi sabilillah. Matanya harus cepat membaca suasana. Setiap manusia dan kehidupan yang melintas di depan mata harus cepat dikenal pasti, apakah itu kawan yang menawarkan kebaikan, atau lawan yang menjanjikan kebinasaan.

Penuntut ilmu di jalan Allah mesti berhati-hati.

Melihat segalanya dengan mata hati.


Peperangan Menjanjikan Ghanimah

“Anak cikgu sambung belajor di manaaa?” tanya jiran saya.

Emak yang sedang menyapu daun kering di bawah pohon rambutan menoleh.

“Dia sambung belajo ke Jordan. Bidang agama,” kata emak. Senyum seribu makna dilemparkannya.

“Oh ye ke.. elok bebenor le tu, cikgu. Orang belajor agama ni, Allah Taala sumpah depa takkan mati lapor!” balas makcik tersebut. Bahasa orang kampung, tapi maknanya mendalam sekali.

Saya tersenyum sendirian, tatkala mendengar Ustaz Harun menghuraikan ayat ini. Teringat kembali kepada dialog antara emak dengan jiran petang itu. Saya yang melangut di tangga rumah teruja mendengar sumpah Allah yang disebut makcik tersebut. Janjinya begitu, namun jalannya harus disuluh secara realistik. Segalanya tidak mudah, namun mati kelaparan tidak sekali-kali.

Kemurahan Allah SWT mengurniakan bekalan hidup buat manusia yang mewakafkan dirinya di medan perjuangan ini. Dunia tidak menghukum lapar dan mati ke atas penuntut ilmu di jalan Allah. Rezekinya ada, di mana-mana. Tetapi rezeki itu halus garis pemisah di antara buruk dan baiknya. Rezeki yang datang melapangkan jalan untuk terus berjuang. Tetapi ada juga rezeki yang membutakan jiwa penuntut ilmu di jalan Allah, hingga tenggelam dalam KEPERLUAN mengatasi TUJUAN.

Apa yang diperjuangkan bukan lagi sebuah TUJUAN, sebaliknya tenggelam dalam mengejar KEPERLUAN (yang tidak pernah cukup dan memuaskan).

Saya akur dengan nasihat Ustaz Harun. Jiwa gementar memikirkan liku-liku perjalanan ini.

AGENDA BESAR

Sesungguhnya besar sekali makna yang terungkap di sebalik kalimah NAFARA yang difirmankan Allah SWT di dalam ayat ini. Menuntut ilmu di jalan Allah SWT benar-benar sebuah peperangan. Pengorbanan yang diperlukan besar, kerana harganya mahal. Harganya mahal kerana nilainya tinggi. Nilainya tinggi kerana ia AGENDA melahirkan ilmuwan pewaris Nabi.

9_122-i

“… dan supaya mereka dapat memberikan inzar peringatan buat kaum mereka…”

Tugas yang dipikulkan ke atas penuntut ilmu di jalan Allah bukan sekadar memberi Taalim, memberi tahu.

Allah SWT memberitahu bahawa tugas penuntut ilmu di jalan Allah sama seperti tugas seorang Rasul iaitu menyampaikan sebuah INZAR (al-Muddatsir 74: 2). Inzar bukan sekadar memberitahu. Ia lebih dari itu. Inzar memberi pelajaran tentang kebaikan, juga memberi amaran terhadap keburukan. Inzar mengajak kepada yang maaruf, disertakan juga seruan mencegah dan meninggalkan mungkar. Inzar adalah sebuah mesej yang hidup, agar ummah sentiasa berjaga-jaga.


BERMULANYA LANGKAH

Pertemuan itu sungguh bermakna.

Saya bagai dikurniakan ijazah oleh seorang sifu, untuk mengatur langkah menuju ke medan tempur yang penuh kebarangkalian.

Segalanya terungkap dalam sebuah firman. Surah al-Taubah ayat 122 mahkota kurniaan.

Dengan lafaz seeru ‘ala barakatillah, saya memeluk tanpa perpisahan bonda, keluarga dan taulan. Bersama air mata harapan dan azimat at-Taubah 122, saya terbang membelah awan biru, ke bumi Anbiya’ yang sedang menunggu.


“…Di celah pohon zaitun yang rendang
Bersemadi syuhada’ pahlawan Islam
Menanti dan terus menanti hadirnya
Barisan waris perjuangan…”



ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur


p/s-selamat meneruskan perjuangan!!

Monday, August 30, 2010

Misi Membawa Dinsman dan Al-Farabi ke UMT!!~

teater Dinsman




Insyaallah, kertas kerja sudah diangkat. Kelab FINAS Universiti Malaysia Terengganu akan menganjurkan Malam Seni UMT pada 2 Oktober 2010 nanti bertempat di Dewan Sultan Mizan. saya cuma bertindak sebagai membantu, tetapi amat besar hajat saya untuk melihat ia boleh direalisasikan dengan penuh jayanya. Teater Dinsman sudah beberapa kali memberikan kesan kepada mereka yang menonton, dan kumpulan Nasyeed Al-Farabi pula masih segar dengan idea musiknya. Gabungan kedua ini diharap dapat membawa kelainan kepada musik yang boleh memberikan halwa telinga kita bergema dengan baik dan penuh santun.



Teater Dinsman: Menunggu Kata Dari Tuhan!!!



pelakon tunggal dan utama; Sabri Yunus



Sedikit respon dari mereka yang sudah berkongsi melihatnya..



Ketika teater MENUNGGU KATA DARI TUHAN (MKDT) pertama kali di pentaskan di dalam masjid, saya sebagai moderatornya malam itu tanpa segan silu dan takut telah mendakwa bahawa inilah teater yang pertama kali di pentas di dalam masjid (Masjid Batu, Permatang Pauh Pulau Pinang-kira-kira bulan Jun 2009)


Saya tidak menamakan MKDT sebagai teater Islam tetapi bersetuju dengan penulis dan pengarahnya sebagai teater yang dinukilkan dari hadis Nabi. Hanya dua buah lampu, satu bangku panjang sekadar boleh tidur, di sisi satu bangku untuk Sani Sudin menepuk gendang sebagai muzik latar. Backdropnya hanya ruang imam ketika solat, dinding masjid. Di depan para jemaah duduk bersila. Di ruang sebelah kanan, ruang Muslimah yang turut sama menonton.Mereka duduk berasingan, tidak bercampur.


Maka selepas persembahan, diperkukuhkan lagi dengan ceramah pendek tentang hadis Kaab bin Malik, di mana tercetusnya hadis tersebut oleh Ustaz Halim Nasir. Malam itu seperti bersepakat, inilah teater Islami, teater yang berjiwa Islam apabila mendapat pengkuham huraian hadis Kaab bin Malik. Pada hal malam itu tidak ada sarjana teater, pengulas dan pengkritik yang berautoriti tentang teater atau mana-mana pensyarah universiti untuk melebalkan ia sebuah teater bersifat Islam. (azizi abdullah,2010).


Saya juga pernah menontonnya awal tahun baru ini di kampus USM Kubang Kerian. Sungguh memberi kesan pada seorang Muslim. Jadi, apa tunggu lagi orang-orang Terengganu, jangan lepaskan peluang!!!!!!!


Al-Farabi Band.


Sebuah band nasyeed baru, yang segar musiknya. Dianggotai oleh mereka yang amat berpengalaman dengan dunia musik nasyeed, insyaallah mereka akan datang memberikan hiburan yang lebih segar dan sesuai dengan jiwa muda mudi sekarang. Penghargaan nama diberikan kepada tokoh Islam, Al-Farabi yang begitu mendalami musik sehinggakan boleh mengubati jiwa-jiwa orang 'sakit'. Semoga usahanya ini juga boleh mencapai ke tahap itu,insyaAllah.


Mahu digelar rockers Islam atau Indie Islam, insyaallah tidak ada apa yang mahu dipertikaikan lagi. Nantikan kemunculannya!!!

Antara lagu-lagunya:

-Evolusi
-Apa sebenarnya
-Sunnah Orang Berjuang
-Amanat
-Selawat
-dan macam-macam lagi.




majalah Karangkraf



rakaman Segmen Kreatif di TV3




persembahan di Kuala Lumpur




dalam Bintang Popular Berita Harian





persembahan sempena Album Pertama


Jadi, apa lagi. Misi ini tidak senang, tapi tidak pula susah. Ayuh, sama-sama realisasikan!!!

p/s-orang selalu bercakap kena santunkan SENI, tapi tidak berbuat apa-apa. Mahasiswa, tunggu apa lagi~

Sunday, August 29, 2010

Fikir Bijak Dengan Isu~

Fuuh, panas sekarang di Terengganu. Sama macam di Kelantan. Di negeri lain mungkin sama juga. Dugaan puasa, bukan sekadar mahu menahan lapar dan dahaga, malah setelah rafas(membangkitkan nafsu berahi??) juga harus dilemparkan jauh-jauh, panas juga menjadi faktor juga dalam mencabar puasa kali ini. Kata pakcik saya yang pulang ke Kota Bharu hujung minggu baru-baru ini,


" Panas sengoti, tekak raso kering," pinta pakcik saya.

" Biasa doh, musim-musim gini la nak minum air cendol banyak-banyak," jawab saya sambil berbuka puasa semalam.(dan sambil sedap minum air cendol,hehehe)


Isu

Dua tiga hari ini, isu yang timbul juga panas. Isu dengan kata lain ia polemik yang datang untuk menunjukkan siapa yang boleh mengata dia yang hebat kepada mereka yang nampak lemah. Ya, saya bukan orang yang layak untuk membincangkan isu, tetapi dengan isu yang ada agak 'panas' juga, kita selaku muslim harus melihatnya dengan banyak sudut dan ruang pandangan yang luas selagi tidak tersasar dengan boundry agama kita, ISLAM.


Masih lagi sentiasa teringat dengan ayat hafazan saya dulu, salah satunya yang dipesan Allah dalam surah Al-Hujuraat, yang membawa maksud " Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa satu berita, maka selidikilah(untuk menentukannya) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kamu dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu(mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan"




Bukan mahu membicarakan setiap yang isu datang dari orang fasik(mungkin), tapi dengan isu yang sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan lagi perkara yang sememangnya sudah nampak keruh ibarat bom jangka (isu perkauman, diulaskan oleh Professor Emeritus Khoo Khay Kim), membuatkan kita sudah nampak perangai orang yang dimaksudkan Allah dalam kejadian di sebalik isu-isu ini. Jangan lupa, orang Muslim yang mengucap syahadah boleh juga jadi fasik, jangan lupa tu deh!!!(pesanan untuk saya juga.huhu..)


Tidak mahu menulis panjang, namun secara konklusinya isu demi isu yang datang menuntut untuk kita memikirnya dengan penyelidikan yakni dengan ilmu. Penyelidikan dalam erti kata saintifiknya perlukan fakta yang jelas, masa yang betul dan tempat yang tepat!! Bukan sekadar mendapat berita dari mulut-mulut orang yang tidak kenal orangnya atau dari berita-berita kertas khabar angin di tepi jalan semata. Selidikilah dengan ilmu. Banyak ruang yang ada zaman sekarang. Lebih-lebih lagi, kalau dibincangkan dengan penuh emosi.


Dalam isu yang timbul mengenai agama, 100 peratus harus dibuat penyelidikan. Bimbang seseorang itu akan nampak BODOH (maaf!!!) apabila mengulas isu agama. Wallahualam.

p/s-agama itu INDAH, cuma beberapa orang yang menganutnya sahaja menampakkan ia TIDAK INDAH..~

Monday, August 23, 2010

Monolog Petang~

" Aku rasa, macam best je tengok orang sudah berkahwin. Paling kurang, ada juga orang yang sayang pada dia," kawan saya keluarkan pernyataan ini dalam keadaan sambil membonceng motorsikal.

" Memang la best, dah pasangannya halal. Nak bercinta dengan siapa lagi kalau bukan suami atau isteri masing-masing. Jangan bimbang, kita ada lagi ibu dan bapa kita. Adik-beradik, ada lagi yang akan sayang pada kita," saya menjawab pernyataannya itu.

Kawan saya mendiamkan diri...


Orang Yang Baik untuk Orang Yang Baik


" Kenapa pula kau cakap macam itu?," saya menanyakan soalan.


" Bukan apa, aku bimbang aku pula yang tak dapat kahwin. Tengoklah diri aku, warna kulit pun mendung dan macam gelap je, besar tu satu hal. Rupa biasa-biasa saje..Kesian nanti kalau pasangan aku mahu memilih aku. Bimbang nanti memilih kerana terpaksa. Lebih-lebih lagi jika nak dibandingkan dengan orang lain. Senang kata, tak hensem dan macho lah!!," seolah-olah tegas dia berkata.


" Kawan, jangan la fikir sampai ke situ. Kamu pun hensem juga," saya memberikan jawapan.


Saya letakkan tangan kanan saya ke bahagian dada kanannya. Lebih kurang di kedudukan tengah. Dan saya lembutkan tangan supaya tidak sakitkan badannya. Dan seraya saya berkata,


" Kamu punyai hati yang hensem. Kamu punyai jiwa yang hensem. Kamu punyai diri yang macho. Kerana apa? Kerana hati kamu, jiwa kamu, diri kamu, kamu berupaya untuk hindarkan dari maksiat-maksiat biasa orang buat. Kamu juga ada keperibadian. Solat dijaga, Qur'an dibaca, kamu juga ramah dengan orang. Macho lagi bila kamu boleh tahan marah bila ada apa-apa yang berlaku.


" Kita selalu dengar pesan Allah pada hambaNya dalam surah An-Nur yang membawa maksud " ..sedangkan perempuan-perempuan yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.." .Tidak ada pula Allah pesan orang-orang yang rupa baik untuk rupa yang baik. Insyaallah, hati ini yang mahal. Kamu soleh. Insyaallah pasti ada solehah yang menanti. Jangan fikir lebih-lebih deh. Yakin dengan janji Allah pada hambaNya," saya menamatkan tajuk perbualan dengan tidak mahu memanjangkan lagi soal ini.


" Beres. Insyaallah, Alhamdulillah Allah masih berikan rupa daripada orang tidak ada rupa kan? Alhamdulillah Allah masih berikan warna kulit daripada tak berikan warna apa-apa kan?


"..sesiapa yang bersyukur, Allah akan tambahkan nikmatNya, sesiapa yang kufur (tidak bersyukur) maka azabKU amatlah pedih.." itu pesan Allah juga kan?," kawan saya mahu menamatkan juga persoalan ini. Saya menjawab dalam hati. Ya kawanku.


Akhirnya kami bergerak semula bersama topik ini dihabiskan dengan kesimpulan begitu. Kasih-sayang itu fitrah. Bercintalah dulu dengan ibu-bapa kita,adik-beradik kita kalau benar mahu ada orang sayang. Kawan-kawan sementelah lagi. Insyaallah, ada jodoh di dunia pasti ada orang yang akan sayangi kamu nanti.


P/s-Jumpa lagi kawan!!

Wednesday, August 18, 2010

Oh Terengganu..

Kontijen Nasyeed Falahiah-mewakili Kelantan sedang menjamu selera makan tengahari di Putrajaya



Sebelum saya ditakdirkan Allah untuk bekerja di Terengganu, memang tidak banyak maklumat mengenai Terengganu yang saya ada kecuali hanya mengenai politik di Terengganu sahaja. Mengenai tempat, cara bercakap waima makanan sekalipun tidak banyak yang saya tahu. Biarpun negerinya bersebelahan sahaja dengan negeri saya.


Tapi ada satu cerita Terengganu yang tetap menjadi ingatan saya..


2002


Alhamdulillah, Allah memberikan peluang kepada kami sekali untuk ke pertandingan Nasyid Anti-Dadah peringkat Kebangsaan setelah kami pasukan nasyeed Madani menjuarai pertandingan nasyeed Belia MAYC kebangsaan 2001 sebelumnya.


Kali ini, tuan rumah adalah ke Selangor Darul Ehsan. Berbekalkan lagu yang boleh dikatakan 'killer', kami berhasrat untuk menjuarainya. Pada hari pertandingan. Kesemua acara dilakukan di satu Tasik berdekatan dengan Shah Alam (lupa nama daa..hehe) dari nasyeed, Dikir Barat, sajak dan pelbagai lagi.


Hari berikutnya semua peserta dari semua negeri di bawa melawat ke bumi Putrajaya yang ketika itu masih lagi dalam proses pembinaan mengikut fasa-fasanya. Amatlah kagum kami hendaknya ketika itu kalau nak tahu dengan kami semua yang datang dari Kelantan ni,hehe..


Semasa di Putrajaya, kami kontinjen Kelantan biasanya ditempatkan bersama dengan kontinjen Terengganu. Ada satu ketika ketika taklimat di adakan di satu dewan besar di Putrajaya, kami duduk berdekatan dan hampir sebelah menyebelah dengan orang Terengganu dicampur bersama kontinjen yang lain juga. Oleh kerana saya ini amat teruja untuk bercakap dengan orang Terengganu, terus saya bercakap dengan orang Terengganu di sebelah saya.


" Mung tok penat ko kito berjale satu hari ni?," tanya saya dengan sedikit dialek Terengganu.


Orang yang sebelah itu pun nak jawab dalam keadaan acuh tak acuh..


"Emm..bang, saya tak faham apa yang abang cakap..maaf bang," jawab budak itu.


Wah, takkan baru dua tiga hari datang sini dah tak kenal cakap loghat sendiri. Saya bilang begitu dalam hati. Marah pun ada,hehee. Tapi tidak mengapa, ada orang sebelah kanan saya kontinjen dari Selangor. Saya pun nak mulakan perbualan lagi.


" Adik, tak penat ke kita berjalan-jalan ni?," tanya saya yang agak bunyi baku.


" Bae, kito penat kakloh. Dok ghok doh ning. Orang cakap gape dok pahang doh," jawab adik sebelah saya.


Dan saya tergamam....


Bahasa dan bahasa..

Rupa-rupanya, orang dari kontinjen Terengganu yang saya tanya pada mulanya adalah adik dari Kemaman. Mungkin dia sudah terbiasa cakap baku. Jadi tak faham bahasa dialek Terengganu. Tapi yang kontinjen Selangor tadi rupa-rupanya adik yang sekolah di Selangor tapi asal di Terengganu. Mak abah orang Terengganu tetapi menetap di Selangor.


Bahasa tetap dibawa ke mana-mana. Waima kalau selagi tak menyusahkan. Dan sekarang saya sudah bercampur bahasanya..Kelate campur Terengganu!hehe..

Yang penting juga, kami kalah pertandingan ini,hehe..wassalam!!!!~


p/s-Oh Terengganu..

Ramadhan versi Kerja-3

geng-geng MTLT


Alhamdulillah, Allah ta'ala masih memberikan kesempatan pada saya dan semua yang masih lagi dapat bertemu dengan Ramadhan kali ini. Bagi saya, ini sudah tahun ketiga saya berpuasa sebagai pekerja yang mencari rezekiNya. Tidak ada alasan untuk malas bekerja sedangkan tuntutan mencari rezeki dengan usaha diri sendiri itu harus bagi setiap muslim.


Ramadhan kali ini tetap bermakna juga kerana Allah ta'ala masih memberikan kesihatan tubuh badan yang sihat biarpun selalu saya ini ada juga melakukan maksiat kepada Allah, waima dalam keadaan sedar mahupun tidak. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa saya dan kita semua selama ini.


Ramadhan versi kerja


Ketika kali pertama bekerja dalam versi Ramadhan dua tahun yang lalu, bekerja waktu itu sungguh penat. Namun, bersama sahabat dan kawan ketika itu yang meraikan kita dalam setiap perkara, memberikan kepuasan dan meng'hilang'kan penat..



geng-geng PTPL




geng-geng PTPL


Masih diingati ketika berbuka bersama rakan sekerja di kolej PTPL. Semuanya masih segar dan bugar dalam ingatan biarpun semua sudah bertaburan ke sana sini dalam meneruskan usaha mencari rezeki. Ada yang sudah berbini dan berlaki serta macam-macam lagi.


Kali ini juga, alhamdulillah Allah ta'ala masih memberikan rakan sekerja yang sekepala yang sama seperti di tempat kerja dahulu. Alhamdulillah, ia menjadikan Ramadhan kali ini tetap tidak penat walaupun kerja bertimbun dengan karenah pelajar; juga pensyarah..


Kerja itu Ibadat


Ingat, selagi niat kita betul kerana Allah, tidak langgar pagar syariat, insyaAllah kerja kita boleh dikira Allah sebagai ibadat. Dan kita juga sentiasa berdoa agar ia sentiasa dicatit oleh Malaikat kanan kita untuk segala kebaikan ini.


p/s-Selamat Ramadhan dan bekerja!!

Wednesday, July 28, 2010

Coretan Ringkas~

Betul juga orang cakap, kelebihan berFACEBOOK kadang-kadang mengatasi potensi blog yang ada. Dicampur dengan bahasa ringkas di Facebook membolehkan kita menyampaikan apa yang ter'buku' di minda kepala kita untuk dikongsi bersama. Namun, saya masih tetap berpegang kepada apa yang saya niatkan pada mula-mula saya menulis blog saffmukmin ini. Terus menulis!!


Tapi dengan idea penat dan kerja yang agak ada, kejap tiada,kemudian ada semula bertimbun-timbun, membuatkan saffmukmin tidak terisi.


Mahu menulis idea sendiri, tidak sehebat orang yang hebat lagi, mahu mengisi dengan isu-isu kerohanian diri ini biasa-biasa saja. Namun, saya akan terus mengharapkan dan berusaha untuk terus menulis dengan lagi baik untuk saffmukmin. Memasuki Ramadhan hampir dua minggu lagi, insyaallah ayuh kita garapkan sepenuh tenaga yang ada untuk persiapan ke arah itu.


Bulan Julai

Tamat sudah Piala Dunia 2010. Sepanyol juaranya. Bermula pula saingan pembelajaran di UMT yang penuh mencabar. Majlis konvokesyen ke-8, berlangsung dengan cemerlangnya. Dan penting juga, ada orang yang sudah berubah statusnya bulan Julai ini. Sama-sama kita tunggu berita baiknya nanti,hehee..Paling penting lagi, Ramadhan hampir tiba..


Akhirnya, saya mendoakan agar kita terus menerus jangan lupa untuk mendoakan kesejahteraan muslimin di seluruh dunia, terutamanya kepada umat Islam yang berada di kawasan yang terus ditekan oleh musuhnya; Palestin, selatan Thailand dan sebagainya.. ameeen.

p/s-selamat datang Ramadhan!!!~

Monday, July 05, 2010

Liga Super Menggantikan Piala Dunia 2010~

pasukan Kelantan


Dalam kehangatan Piala Dunia 2010 yang sudah menghampiri ke akhirnya, pihak bola sepak Malaysia yang sudah beberapa kali 'tertipu' dengan perlawanan bola sepak persahabatan yang konon-kononnya bersifat antarabangsa, telah menyebabkan jadual Liga Super Malaysia diawalkan kepada 6 julai 2010. Masih ingat lagi, dikhabarkan liga tidak akan diganggu sehingga tamat Piala Dunia, namun cakap selalu tak serupa bikin. Ini lah akibat mengagungkan sangat pasukan orang lain, sehinggakan profesional kita dalam menguruskan organisasi hancur entah ke mana.


Namun, apa nak di kata. Nasi dah jadi bubur. Liga Super akan terus dimeriahkan. Disebabkan ramai penyokong kipas-susah-mati Kelantan di sini, yang saya pun sama (sokong je,hehe) dengan perlawanan pertama menentang Negeri Sembilan di Kota Bharu; 6 Julai 2010. Tiada persoalan lagi, pasukan Kelantan harus memenangi perlawanan ini, untuk terus memberikan tentangan sengit kepada Selangor FC pada 10 Julai 2010 nanti di Shah Alam. Mereka memang pasti bersifat juara, tapi kita juga tak kurang hebatnya, juara yang sedang menuju sifatnya. Insyaallah, pasti lawan nanti!!!



p/s- orang Selangor, don't cry for Selangor deh,hehehe..(kalau Kelate menang la,hehee)