Monday, December 13, 2010

Bersediakah Untuk Titik Perubahan?~

Semenjak sebulan dua ini, krisis nilai berita di Malaysia selalu jatuh ke tahap lebih teruk. Kenapa saya berkata begitu? Bukan kerana saya suka mengkritik, akan tetapi kalau anda sendiri menonton berita media arus perdana atau mana-mana sekali pun kebanyakan berita dan rancangan yang tidak bernilai lebih banyak daripada yang bernilai. Kalau dalam pandangan berita; hampir semuanya akan dimuatkan berita yang menghasut, menuduh, dan juga sememangnya benar-benar menjadi agenda politik tidak bersih sesuatu pihak. Kadang-kadang, mahu menonton berita perdana sudah tidak menjadi agenda perdana dalam kehidupan masyarakat berfikiran sekarang.


Sama juga dengan rancangan dan cerita-cerita yang ditayangkan. Saya akui, ada cerita yang saya tengok pasti tidak semua tidak ada nilai yang bagus, tapi paling kurang kita masih lagi tahu untuk memilih mana yang patut untuk dilihat atau tidak. Akan tetapi bagaimana dengan remaja-remaja awal, anak-anak kecil, mereka yang belum lagi dapat membezakan mana yang patut dan tidak, rancangan sekarang hampir semuanya lebih keBARATan daripada barat. Iklan, cerita dan juga sekarang sudah menular kepada filem, sampai bila kita mahu membiarkan kita ditayangkan serta disajikan dengan paparan perdana dengan sesuatu yang tidak ada nilai?


Apa sebenarnya nilai yang kita mahukan? Saya mengambil posisi saya ketika kecil dahulu. Kalau dahulu, kebanyakan rancangan televisyen masih lagi ada nilainya. Mahu melihatkan iklan mahupun cerita yang menonjolkan susuk tubuh wanita atau yang seumpamanya memang tidak akan ada. Kalau ada, pasti akan dicemuh atau pun akan dihalang oleh ibu bapa untuk ditonton. Masyarakat ketika itu mungkin sensitif dan begitu mengambil berat tentang ini. Lagi-lagi dulu masa saya kanak-kanak, kami disantaikan dengan program-program yang kalau ketika besar nanti memang tidak boleh dilakukan seperti rancangan Ultraman, Power Rangers, Maskman, CyberCop dan pelbagai lagi yang memang tidak akan ada di dalam dunia realiti. Akan tetapi sekarang kita disajikan dengan rancangan yang sememangnya boleh dijadikan realiti, seperti Idola kecil, Tom Tom Bak, dan lagi yang pasti Akademi Fantasia dan rancangan-rancangan realiti yang langsung tidak membina minda kanak-kanak. Paling kurang, berjiwa dan bercita menjadi Ultraman dapat meningkat usaha menjadi super power menentang 'musuh', tapi menjadi artis realiti apa gunanya saya pun tak tahu. Inilah nilai yang pasti sama ada sekarang ini kita mengambil cakna atau memang kita tidak mahu tahu langsung.



Menjadi persoalan; Bilakah Titik Untuk Kita Berubah?


Dalam keadaan di Malaysia, tidak dapat tidak perubahan secara keseluruhan pasti berkesan boleh dibuat sekiranya kita menguatkuasakan undang-undang yang ada serta mewujudkan undang-undang Agama berkesan dan kita komited untuk menambah nilai-nilai yang baik kepada semua sektor. Timbul persoalan, tidak pernah dibuat ke selama ini? Atau memang kita tidak perasan? Anda sendiri yang jawab, selama mana Malaysia kita merdeka ini; apa yang telah kita disajikan dengan semua ini lebih banyak yang bernilai kebaikan atau bagaimana? Atau kita sekadar mahu menunggu lagi 50 tahun akan datang dengan membiarkan kesemua ini berlaku lagi?Jadi, mahu tidak mahu, perubahan itu mesti dilakukan dengan segera bersama dengan kuasa pemerintahan.


Kuasa pemerintahan bermaksud kuasa politik sesuatu negara. Kestabilannya memang amat penting, semestinya dalam hal itu memang kita tidak akan kompromi. Namun, dengan isu yang timbul sekarang adakah sudah tiba masanya kita mengambil titik perubahan ini untuk berubah ke arah lebih baik dan berkebajikan?


Politik negara sedang hangat bergerak. Kisahnya pelbagai ragam dan juga rasa. Tapi, kalau anda memikirkan titik perubahan ini, ambil lah perhatian sewajarnya dengan apa yang berlaku sekarang. Jangan sekadar mengambil jalan tengah untuk tidak mahu ambil tahu. Pastinya, perubahan yang kita cari kalau sudah kena cara dan masanya; Allah pasti akan tolong dan bantu. Cuma kembali kepada persoalan asal, bersediakah kita untuk titik perubahan ini?



Akhlaknya


Entri ini banyak persoalan untuk dijawab. Tepuk dada tanya iman. Dengan isu Wikileaks; dan pelbagai lagi pastinya isu ini akan lebih seronok untuk disoroti. Pandanglah dengan pandangan orang yang ada fikiran dan pastinya lagi baik dengan fikiran orang beragama. Saya dan orang yang sayang tidak sabar menunggu untuk titik perubahan ini..~



p/s-Hijrah..

No comments: