Wednesday, January 27, 2010

Mandi dan Solat




Kadang-kadang mahu menulis sudah kekeringan idea. Tapi, sekali bila dah mula menulis, datang lah idea yang macam-macam. Tapi mungkin datang idea tunggang langgang..atau yang lebih baik ideanya juga mungkin. Kali ini, tidak ada apa-apa yang lebih dan kurang, cuma mahu dibawakan satu hadis yang sangat dan selalu kita membacanya. Yang selalu kita faham dan buat. Tapi sering kali kita terlupa bahawa ini lah antara faktor terpenting dalam kehidupan kita.


Maksud Hadis 1

Mafhum Hadis dari Abu Hurairah r.a: " Bahawasanya aku mendengar Rasul Allah s.a.w. bertanya kepada para sahabatnya, ADAKAH KAMU PERCAYA BAHAWA KEKOTORAN MASIH MELEKAT PADA TUBUH SESEORANG YANG LIMA KALI SEHARI MEMBERSIHKAN DIRI DALAM SUNGAI YANG MENGALIR DI HADAPAN RUMAHNYA? Lalu Baginda bersabda: BEGITULAH UMPAMANYA KESAN SOLAT YANG DIKERJAKAN LIMA KALI SEHARI. DENGAN RAHMAT ALLAH IA DAPAT MENGHAPUSKAN SEGALA DOSA." (Muttafaq Alaih)


Nabi secara terus memberikan analogi ringkas kepada sahabat-sahabatnya mengenai bersuci. Kita pun tahu, bersuci adalah salah satu tuntutan besar dalam beragama. Sebelum solat, kita bersuci. Sebelum makan, minum, segala aktiviti pun kita di galakkan dalam Islam untuk bersuci terlebih dahulu. Jadi, apabila Rasul Allah s.w.t memberikan analogi apabila kita membersihkan diri lima kali sehari, adakah kekotoran itu akan masih ada? Pasti kalau kita fikir logik, kekotoran itu mesti akan hilang. Begitulah Nabi Muhammad s.a.w. begitu tepat dan mencapai sasaran maksud yang ingin disampaikan kepada kita ummatnya. Bahawasanya solat yang kita dok laksanakan lima kali sehari semalam ini, sebenarnya boleh mencuci dosa-dosa kita..


Tapi ramai juga yang masih bergelumang dosa?

Betul juga kan. Waima sudah lima kali solat (kalau yang solat la..) namun perangainya masih sama. Perangai untuk keburukan masih lagi dibawa. Maksiat terus dijunjungnya. Di mana kekotoran yang sepatutnya dibasuh dengan solat tapi masih ada?


Kalau analogi dibuat Nabi sebegitu, pasti ada kebenarannya . Kita juga perlu ingat, kalau mandi, sejauh mana keberkesanan kita mandi. Kalau sekadar mandi ala-ala P.Ramlee, gamaknya itu mandi omong-omong saje sih,hehe. Tapi kalau mandi itu gaya macam mandi dalam iklan Shokubutsu (yang penuh berbuih,hehe), saya yakin dan percaya pasti badan kita akan bersih dan bau wangi lagi..


Begitu juga solat kita, kalau solat sekadarnya sahaja, anda percaya ia boleh mencuci dan membersihkan dosa-dosa kita? Malah boleh mencegah perkara-perkara keji dan mungkar? Tapi kalau kita solat secara ikhlas, secara tartil, secara penuh khusyuk, saya yakin semuanya akan mengikut seperti yang dituturkan Nabi kita itu. Dan saya 100 peratus yakin pasti solat kita dapat membawa kita kepada mencegah keji dan mungkar seperti yang dijanjikan Allah dalam kitabNya.


Akhirnya

Ambillah akhlaknya dari Hadis Nabi ini. Kita tentu mahu jadi bersih dari dosa-dosa yang ada. Tapi tidak pula boleh cuci sepenuhnya kerana kita bukan Nabi mahupun Malaikat. Tapi kita boleh meminimumkan dosa-dosa yang ada. Jadi, sekian sahaja untuk hari ini, wallahu a'alam.

p/s-jom pergi mandi lagi!!~




Friday, January 22, 2010

Rindu Dari Jauh

Sejak dulu, kami adik beradik hidup dengan apa yang ada. Tidak ada kurang, dan insyaallah tidak ada yang lebih. Dari abang sulung hingga ke adik bongsu, alhamdulillah duit bekalan sekolah kami untuk ke sekolah masih mencukupi dengan kadar yang sepatutnya. Tidak pula pernah dibawa bekalan ke sekolah tapi dengan duit yang diberi, alhamdulillah dari pagi sampai ke petang untuk ke kelas Fardhu Ain, ia cukup.




Dikurniakan abang-abang yang agak sempoi, dan adik-adik yang begitu dikasihi; sekeluarga boleh hidup dengan kehidupan yang amat senang hati.



Tapi, masih segar dalam ingatan. Ketika itu masih bersekolah rendah lagi. Darjah berapa tak pasti. Kami alhamdulillah, adik beradik lelaki mak abah sekolahkan di sekolah rendah yang sama. Dari tujuh batch, dari sulung hingga kepada lelaki bongsu. Tapi untuk sekolah menengah, memang la tak sama. Tapi masih lagi berdekatan dengan sekolah rendah saya.



Duit van sekolah


" Adik, beritahu mak ni dah 3 bulan dah tak bayar. Semua sekali 5 orang. Nanti beritahu tu ye!!," pesan abang driver van sekolah kami kepada abang sulung saya. Ingat lagi saya ketika itu masih darjah 3 rasanya. Rasa terfikir tiba-tiba datang ketika itu;



" Mak abah tak bayar lagi duit tambang van sekolah? Tak ke sekolah la macam ni kami semua..," keluh resah saya.



" Ok bang. Nanti saya beritahu. Tapi kalau boleh, lambat-lambat la sket bayarnya," abang sulung saya menjawab permintaan tadi.



....dan ketika itu, saya termenung memikirkan hal tambang tadi. Mak tak cukup duit ke? Atau duit yang mak berikan untuk ke sekolah kami setiap hari ni perlu dikurangkan atau macam mana..pemikiran bdak sekolah rendah ketika itu, banyak terbatas dan mengarut.



Tapi, saya sudah rasa sedihnya ketika itu, sebab apabila memikirkan mak abah kena fikir untuk cari duit dan bayarkan tambang van sekolah bagi 5 orang anaknya ini selama 3 bulan. Fikir-fikir..dan terus fikir....fuuhh...



Makanan paling best



Paling best dalam kalangan keluarga adalah ketika menyambut ulang tahun adik beradik. Orang lain nak buat, kami pun nak buat. Tapi cukup sekadarnya. Paling berharga apabila mak abah sanggup juga beli kek simple dan apa-apa yang lain dalam keadaan simple. Paling kurang pun mak abah beli daging ayam atau lembu untuk dijadikan daging burger. Campur salad, tomato dan sos cili..itu semua jadi seronok untuk dinikmati bersama adik beradik dan mak serta abah.



Paling best lagi, apabila ada adik beradik merajuk sebab tak dapat bahagiannya kerana tak cukup makanan yang dibeli. Maaf lah adik, kita kan ramai adik beradik. Tapi tidak apa, nanti abang-abang kamu yang besar ini akan ganti dengan yang baru nanti. Jangan nangis-nangis lagi deh..


Dan paling tak best, kadang-kadang makanan untuk mak dan abah sempena sambut ulang tahun ini tak dapat rasa sekali. Sebab kami adik beradik gembira sangat barangkali..sambil lupa mak dan abah...kenapa kita lupa ye?



Pengorbanan



Banyak yang mak abah korbankan demi membesarkan anaknya yang ramai ini. Dari generasi dulu sehingga sekarang, mak abah terus berkorban untuk kami. Saya sedar; kami tak datang dari keluarga agak berada, hari ini mahu esok dapat. Esok mahu, lusa dah boleh main. Kami terpaksa tunggu satu saat sehingga benar-benar perlu. Anda mungkin lain dari kami. Atau mungkin ada yang sama. Atau juga mungkin ada yang kurang lagi dari kami..



mak abah...


p/s-tiba-tiba rasa rindu..

Wednesday, January 06, 2010

Terengganu VS Kelantan...Persamaan dan Perbezaan




Selalunya, Terengganu dan Kelantan dikaitkan dengan perbezaan yang amat nipis. Dari segi bahasa, perangai, sudut politik, dan juga gaya pemakanan, mereka dan kita amat nipis perbezaannya. Tapi selalunya yang nipis ini la yang menyengat!!!(macam limau nipis,hehee)


Terengganu vs Kelantan



Abang saya berbesan dengan orang Terengganu. Kawan-kawan saya dari Kelantan pun ramai bekerja di Terengganu. Saya pun turut sama (hehe). Selalu orang cakap orang Terengganu tak ngam dengan orang Kelantan, sejauh mana faktanya saya tidak pasti. Tapi, beberapa fakta dari susuk politik, saya yakin KAMI selalu bersama dalam beberapa hal.


i) Minyak

Dato' Mat Said dengan sekerasnya mahu menuntut royalti minyak yang patut diperolehi oleh Kerajaan Negeri Terengganu sebanyak RM 2 bilion sejak tahun 2000 sehingga sekarang. Kerajaan Kelantan pun sama, KAMI menuntut hak milik royalti minyak KAMI, bukan wang ehsan. Seluruh kerajaan dan rakyat Kelantan yang bernombor IC -03- pasti tak akan meragui hal ini. Cuma mereka yang konon-kononnya mahu menjadi JUARA rakyat pula menafikan hak Kelantan ini. Tak mahu jadi rakyat Kelantan ke dia ni??



ii) Menanggung hutang?


Hutang yang saya maksudkan di sini adalah hutang dari segi maksud duit atau pun hutang dalam bentuk pembangunan. Seperti Di Kelantan, mereka (baca=kerajaan) terpaksa menanggung hutang lama yang ditinggalkan sejak tahun 1990 lagi. Ketika itu, ditinggalkan hutang-hutang yang amat tinggi nilainya sehingga sekarang hasil daripada keborosan berbelanja tahap melampau dari pihak sebelum ini. Sama juga di Terengganu, Dato' Mat Said terpaksa menanggung hutang-hutang lama oleh kerajaan sebelum ini, termasuk hutang 'malu' keruntuhan Stadium terbesar di Pantai Timur, dan beberapa lagi projek yang menanggung jumlah yang amat besar. Malahan, kompleks Taman Ilmu di Tembila dikhabarkan akan menjadi projek Gajah Putih juga..macam-macam!!!~



iii) Kebangkitan rakyat


Satu artikel pernah ditulis, tentang kenapa Kelantan, Kedah dan Terengganu senang dikuasai oleh pembangkang bernama PAS, sedangkan negeri lain agak sukar? Kesimpulan yang dibuatnya adalah kerana sikap FANATIK orang-orang ini selalu melebihi dari sekalian orang. Dalam apa-apa sudut sekali pun. Sebab itu, kalau kalian terperasan, pasti isu-isu perusuh bola sepak negara kita biasanya bermula dengan orang dari tiga negeri ini (bukan Kelantan sahaja ye!!~). Jadi, oleh sebab itu, keFANATIKan ini disalurkan kepada keFANATIKan dalam menyokong AGAMA dan gerakan atau parti yang mereka sokong, dan dalam masa yang sama, memenangkan parti pembangkang bernama PAS ini. Jadi, sama ada Terengganu atau Kelantan, kebangkitan rakyat ini akan selalu ada dan terus berjalan dalam menuju kegemilangan ISLAM nanti di bumi Malaysia,insyaallah. Jadi persamaannya terletak di situ. Tidak boleh kita nafikan.



Kenapa Diutarakan?


Kalau dilihat,itu semua melibatkan keterlibatan dalam politik antara Kelantan dan Terengganu. Saya suka berbicara apabila ia melibatkan suasana politik. Hari ini, kebetulan saya mengetahui Pilihanraya Kampus terutama di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sudah bermula dengan penjualan borang pencalonannya. Pasti ia akan menarik ramai pelajar di sana nanti. Yang pasti, ketika saya di USM Kampus Kesihatan, Kelantan dulu suasana Pilihan Raya kampus ketika itu agak sedikit suram. Mungkin sebab ia berada di Kelantan kot, banyak perkara yang dibuat di dalam kampus akan diSAMAkan dengan aktiviti kerajaan negeri di luar,barangkali. Tapi di Terengganu saya merasakan ia tidak perlu sampai tahap begitu (sebab kerajaannya tidak sama dengan di Kelantan,huhu). Meriahkan suasana Pilihan Raya kampus, sebab ini lah tempat untuk anda menunjukkan kematangan anda sebagai seorang intelektual mahasiswa,insyaAllah!!!







09/01/2010



Satu lagi tarikh bersejarah untuk tahun ini bagi kedua negeri ini. Pertembungan derby cost ini pasti akan menggamitkan rakyat mereka. Perlawanan bola sepak antara Terengganu dan Kelantan berlangsung di Stadium Terengganu; Liga Super musim 2010 ini akan menarik ramai orang dari dua negeri ini bercerita.


Apa-apapun, kita mengharapkan pertembungan ini adalah satu persembahan terbaik daripada kedua pasukan di samping displin yang tinggi daripada kedua belah pihak yang menyokong. Dan yang pasti,terimalah apa jua keputusan akan diterima nanti dengan penuh keterbukaan dan rela hati. Jangan gaduh-gaduh lagi yeah!!!


p/s-menantikan Kelantan vs Terengganu di Kota Bharu pula!!!~