Tuesday, March 01, 2011

Akhlak, Rasional dan Tanggungjawab~

Menjadi seorang pemuda pemudi sekarang dengan zaman yang semakin menghakis nilai-nilai yang baik semestinya menuntut untuk seorang yang bergelar muslim itu harus lebih memahami beberapa nilai yang sepatutnya ada. Apa yang bernilainya seorang pemuda Islam di masa sekarang kalau mahu dibandingkan lagi dengan pemuda-pemuda Islam terdahulu? Adakah kita hanya mahu sekadar melihat kita yang membesar dengan umur-umur muda ini lalai dengan arus kemodenan dan hiburan melalaikan semata sehingga melupakan proses untuk memberikan nilai-nilai yang baik pada diri kita; selaku pemuda Islam.

Oleh itu, saya menulis di sini untuk sama tegaskan tentang TIGA perkara fundamental yang perlu dikukuhkan oleh setiap pemuda Islam sekarang. Senang sahaja namun kita boleh lakukannya sekarang untuk mengelakkan ia menjadi lebih teruk nanti.

ART

Akhlak, Rasional dan Tanggungjawab. Tiga unsur ini sememangnya sudah biasa kita dengar namun berapa ramai sedar dan mengasahnya dalam diri dengan nilai-nilai ini. Semestinya mempunyai akhlak yang baik, pemikiran yang berasional selari dengan kehendak agama serta mempunyai tanggungjawab yang bersesuaian dengan tugas-tugas sampingan yang lain suatu perkara fundamental untuk pemuda Islam sekarang.


Akhlak Islam semestinya menjadi sandaran. Tidak boleh untuk hipokrit dengan akhlak yang baik. Lebih baik seseorang individu itu mahu berUBAH menjadi baik dengan akhlak yang baik daripada mereka yang nampak seolah-olah mahu berUBAH menjadi baik dengan akhlak yang baik yakni hipokrit. Oleh itu, jadilah seorang yang benar-benar mahu berubah untuk mempunyai akhlak yang baik,insyaAllah. Apa aktivitinya? Tepuk dada, tanya iman. Berguru degan mereka yang soleh, serta mencari dan menuntut ilmu dengan mereka yang arif pada bidangnya.Boleh buat kan??


Rasional pemikiran yang selari dengan kehendak agama. Inilah satu cabaran besar kepada remaja dan pemuda Islam sekarang. Selalu berfikir dengan emosi di hadapan, tidak meletakkan ilmu dan bacaan realiti keadaan semasa dalam menilai keputusan. Lebih-lebih lagi lupa untuk meletakkan sandaran agama dalam membuat penilaian dan keputusan. Kedengaran seperti susah, tapi belajarlah pemuda Islam daripada sekarang. Sebagai contoh kecil; kalau anda seorang yang setiap hari membaca surat khabar satu pihak semata, cuba lah belajar untuk membaca surat khabar satu pihak lagi. Buat perbandingan. Cari maklumat yang betul dan jika sudah buat pelbagai pertimbangan seperti yang dinyatakan di atas, jadikan keputusan itu sesuatu yang rasional dan bagus untuk diri,agama dan semua. InsyaAllah,dengan latihan sekecil ini nanti anda akan berlatih dan sentiasa dapat buat pada keadaan yang lebih besar.


Tanggungjawab? Apa lagi yang tidak ada dengan tanggungjawab. Sesungguhnya, amanah serta tanggungjawab ini kadang-kadang lebih senang ditulis dan cakap berbanding buat. Jadi, isi penting di bawah sub tajuk tanggungjawab adalah BUAT. Setelah menerima arahan dan kerja, BUAT. Paling signifikan kalau kerja itu adalah kerja untuk membantu perkembangan diri kita ke arah lebih baik dalam beragama dan dalam kehidupan bermasyarakat beragama.


ART itu SENI


Inilah juga satu perkara dan titik pentingnya. ART yakni Akhlak, Rasional dan Tanggungjawab itu juga satu seni. Seni kerana ia pasti akan menuntut kita dalam menggunakannya sebaik mungkin menghadapi seni kehidupan yang mencabar. Cabarannya nanti bagaimana seorang pemuda Islam yang mempunyai Akhlak yang baik berhadapan dengan anak-anak muda yang dikatakan rosak akhlak, bagaimana seorang pemuda Islam yang mempunyai pemikiran rasional Islam yang baik akan berhadapan dengan mereka yang sudah lama terdidik dengan amalan pemikiran sempit dan keBARATan, dan bagaimana pula seorang pemuda Islam yang bertanggungjawab mahu berhadapan dengan mereka yang sudah terlatih dengan rasuah, makan suap dan juga mahu dapatkan jalan bodek dalam menjayakan sesuatu kerja? Ini semua cabaran dan seni dalam berhadapannya.


Namun, ia boleh ditangkis dengan mulai sekarang pemuda Islam terus memberi latihan yang baik pada diri sendiri dan displin dengan mempunyai akhlak yang baik, pemikiran rasional Islam yang baik serta bertanggungjawab amanah dengan sepenuhnya. Jadi, bak kata saya; Jangan tunggu-tunggu lagi!!!


Akhlaknya


InsyaAllah, Islam sedang dipacu dengan baik sekarang. Namun, orang yang diperlukan untuk memacu itu juga sering kali sudah hilang kualiti dan kuantitinya. Semoga dengan hasil didikan dan ajaran kita selama ini dengan akhlak yang baik, rasional dan bertanggungjawab dapat memberikan kita peluang untuk bersama dalam memacu Islam dijulang ke tempatnya. InsyaAllah!!!


p/s-ART itu boleh!!

1 comment:

Qistina said...

the ART of living....