"Apa yang penting tidak pernah berbangkit hendak bergabung atau berkongsi kuasa dengannya malah bersedia untuk kekal dalam Pakatan Rakyat," satu penegasan setelah sekian lama antara yang menyokong dan mendokong menunggu. Malah ada juga yang ‘menyibuk’ memberikan suara yang tidak sedap didengar. Penegasan ini membuatkan mana-mana yang tidur tak lena, makan tak rasa kenyang selesai semuanya.
Sebenarnya..
Sekiranya kita terus diuji macam ini, sejauh mana kita akan terus bersama dalam kepimpinan islam yang kita julang-julangkan. Yang resah terus resah. Ada yang teruk sehingga membuat cerita yang tidak sedap didengar. Boleh dikatakan ada yang mula untuk menjadi pewaris Abdullah bin Ubay, nauzubillah. Sirah akan terus mengajar kita.
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.
Al-Hujurat: 6
"Wahai Muhammad! Tidak adakah kata-kata yang lebih bagus dari kata-kata mu itu? Lebih baik engkau duduk di rumahmu. Jika ada yang datang sampaikan kata-katamu itu. Jangan beratkan dirimu dengan mendatangi orang lain dan menyampaikan apa yang mereka tidak sukai,” cemuh Abdullah bin Ubay. Beginilah setiap kali sehingga keimanan dan keyakinan pengikut Rasullullah s.a.w sempat goyang dan mulai bergabung dengan Abdullah bapa munafik ini. Tindakan Abdullah ini menyebabkan banyak pihak hilang fokus sebenar iaitu dalam menentang kafir Quraisy. Hinggakan kaum Ansar dan Muhajirin yang keimanannya sudah kukuh juga ikut terpancing dan hampir melakukan serangan terhadap Abdullah bin Ubay dan teman-temannya.
Inilah matangnya Rasul junjungan kita dalam berpolitik. Seraya Muhammad s.a.w menegaskan "Telah sampai kepadaku ancaman daripada kafir Quraisy. Ternyata rancangan jahat mereka tidak sebesar rancangan jahat kalian terhadap diri kamu sendiri. Kamu ingin memerangi saudara dan anak kamu sendiri." Penegasan ini menunjukkan Rasulullah s.a.w berjaya mengawal semuanya dengan memadamkan emosi mereka yang meluap-luap. Rasulullah berjaya menumpukan kembali tumpuan para sahabatnya pada satu titik iaitu untuk melawan ancaman dari kafir Quraisy. Nampaknya fokus telah dikembalikan setelah diganggu gugat oleh Abdullah bin Ubay.
Ayuh!!
Ayuh pejuang Islam. Jangan hilang fokus. Mana-mana yang sedang memberikan kata yang tidak sepatutnya dalam perjuangan Islam ini, gunakanlah saluran yang betul. Muktamar nanti muhasabah lah pimpinan ini. Tidak perlu menggunakan tempat tidak sepatutnya kerana bukan ini masanya. Paling penting jangan hilangkan fokus untuk mendaulahkan Islam di negara tercinta ini.
No comments:
Post a Comment