Tuesday, May 24, 2011

Cerita Kenangan Masa Kecil~




Dulu, masa sekolah rendah pernah meminta kepada emak untuk menghadiri lawatan sekolah. Dengan yuran belanja yang ditawarkan cikgu sebanyak RM30 untuk lawatan ketika itu,saya amat berminat dan mengharapkan akan dapat menyertainya. Dibawa balik borang permohonan dan juga borang pelepasan untuk diisi oleh ibubapa atau penjaga. Kawan-kawan sekitar pun semakin galak untuk menghadiri lawatan ini. Kertas dibawa balik dan saya ceritakan kepada emak untuk menghadirinya. Tapi,ketika itu emak memberikan sebab tak dapat pergi kerana beberapa sebab. Maka,saya terpaksa membatalkan niat untuk pergi..


Pernah,saya mengintai keseorangan bagaimana rasanya pergi kembara keluar dari tempat yang sedia kita berada sekarang. Duduk di ruang laman rumah, memerhati ruang udara yang biru dan langit yang terbentang, tiba-tiba melintas burung Besi. Kapal terbang diberi nama. Terus ketika itu bertekad agar suatu hari nanti akan saya menaikinya untuk melihat dunia yang lebih luas. Cuma,azam dan impian disimpan keseorangan ketika itu kerana impian yang kecil pun belum terlaksana. Tahukah anda, setelah hidup 25 tahun barulah saya berkesempatan menaiki burung besi. Itupun dengan hasil gaji-gaji yang saya kumpul dari terhasilnya niat untuk menaikinya. Waima sebelum ini sudah mampu tapi selalu tidak mengambilnya secara serius. Rupa-rupanya murah saja tiketnya,hehehe..


Memasuki sekolah menengah, tidak lagi saya meminta pada emak dan abah untuk menghadiri lawatan sekolah yang berbayar. Saya sendiri tidak tahu mengapa; saya memang amat meminati lawatan yang bersifat kembara mengenal bumi Allah yang amat luas. Mungkin,kesempatan yang ada untuk saya akan tiba nanti. Namun, Alhamdulillah dek kerana ada sedikit penghargaan dari pihak sekolah, saya dapat menghadiri dua lawatan percuma sekitar Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan juga Tanah Tinggi Cameron. Cuma saya menyediakan duit makan sahaja. Itu pun emak juga yang beri ketika itu.


Ketika kawan-kawan lain galak membeli cenderahati di Tanah Tinggi Cameron untuk kawan-kawan yang tak pergi, emak dan abah masing-masing; saya berkira-kira dengan duit yang dibawa. RM50 yang diberi untuk lawatan ini, ditambah tolak untuk makan dan minum terlintas di kepala juga apa yang mahu dibeli alang-alang sampai di bumi Cameron ini? Tiba-tiba terlihat pewangi ruang tamu yang berbentuk bunga ros. Dalamnya terisi air wangi warna merah kerana bekasnya berbentuk bunga ros . Bekas itu warnya yang putih dan lutcahaya menarik minat saya. Berbekalkan harga yang boleh dibeli dengan baki duit yang ada, saya berniat membelikan pada emak tersayang. Dibawa balik, rupanya sampai satu masa yang agak lama emak menyimpannya di atas meja cermin emak, biarpun sudah habis air wanginya. Terima kasih emak..

Dan alhamdulillah, betapa syukur dan gembira akhirnya saya dapat mengembara juga ketika itu..

Bila sudah memasuki Universiti,dengan sumber kewangan daripada pinjaman;saya sediakan RM200 setiap semester untuk saya mengembara ke mana-mana di sekitar Malaysia. Alhamdulillah,sepanjang yang berkesempatan saya mengembara ke tempat yang belum pernah sampai seperti Langkawi, Perlis dan juga Penang. Cuma mungkin Sabah dan Sarawak tidak berkesempatan lagi. Namun,masih lagi tidak luntur niat untuk terus mengembara di bumi Allah yang luas ini,demi mencari pengalaman dan pengajaran.

Masih teringat dengan kisah yang saya cerap sepanjang perjalanan ini.

“ Nak, boleh berikan makcik seringgit dua?” pinta seorang makcik kepada saya.
“Sebenarnya, saya pun tidak ada juga buat masa ini makcik.Apa kata saya pergi ambil sekejap dan nanti saya kongsi bersama. Bank pun tak jauh sudah. Boleh makcik?” balas saya kepada makcik yang benar kelihatan seperti semacam tidak bermaya.

Saya dengan segera ke bank dan mengambil sedikit duit.Dan kembali ke tempat asal;seraya memberikan sedikit duit yang saya ada baki daripada duit yang saya sediakan untuk kembara ini.Namun,selepas diberikan mungkin ujian Allah…

“ Nak, makcik sebenarnya mahukan duit yang lebih lagi. Makcik mahukan semua duit yang nak ada,” sambil pisau di sisi.

Kaget dan senyap saya seketika. Saya serahkan semuanya.Dan hari itu berlalu tanpa duit lagi.Saya Cuma berdoa Allah mudahkan rezekinya suatu hari nanti.


………………………………………………………………………..


Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan ingatlah sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.Oleh itu,mengapa kamu wahai manusia tidak mahu memikirkannya?
(Yusuf:109)


Termaktub maksud teguran Allah dalam ayat diatas. Ketika mengetahuinya, saya amat terkesan dengan pesanan Allah ini.Waima selama ini minat saya untuk mengembara dari kecil;mungkin saya memandangnya biasa tapi pada pandangan Allah ia sesuatu yang besar dan boleh mencerminkan peribadi orang-orang yang beriman juga. Namun ia masih lagi bukan perkara utama setiap muslim harus buat tapi tiada salah untuk dilakukan..


Teguran Allah ada benarnya lagi pada maksud ayat ini.Sama-sama kita ambil iktibarnya.

Oleh itu,bukanlah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut;mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga sebenarnya;bukanlah mata kepala yang buta,tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.
(Al-Hajj:46)


Saya terdiam lagi seketika….


Memasuki alam pekerjaan, satu azam dan niat baru dibuat. Benar saya mahu mengembara ke tempat yang lagi luas di muka bumi Allah ini; saya jadikan minat sejak kecil sesuatu yang benar ibadah dan juga benar-benar mampu menjadikan saya dan sesiapa yang bersama saya nanti mereka yang dapat mengambil iktibar alam untuk menjadi lebih beriman kepada Allah.

Niatnya satu;sebelum keluar mengembara kepada Negara selain Malaysia, doa saya agar pastikan saya akan sampai terlebih dahulu ke bumi Mekah dan Madinah. Sesungguhnya,ia adalah doa yang benar saya panjatkan. Kalau bukan dengan Haji, saya doakan dengan Umrah terlebih dahulu. Mana-mana yang terdahulu dijemput Allah untuk ke sana, semoga hati ini sentiasa berlapang dada dan bersedia untuk merindui apa yang di sana.


Akhirnya, minat dan niat dari kecil jangan sesekali kecilkannya. Mungkin ada yang pada saatnya ia boleh menjadi ibadah yang benar boleh mengikat kita padaNya selain dari amalan wajib dan sunat yang lain kita amalkan. Selagi tidak melanggari syariah Allah, teruskan. Kenangan masa kecil dengan terbatal nya halangan untuk ke lawatan akhirnya diketahui ketika saya menjelang dewasa. Ia benar-benar mengubah persepsi saya ketika saya membesar sehingga sekarang..


Emak dan abah;adik beradik 8 orang ketika itu bersama dengan banyak lagi perkara yang perlu diutamakan,mungkin itulah sebab utama niat saya tidak menjadi kenyataan. Tapi ia bukan alasan. Ia sesuatu yang benar menjadikan saya lebih bersungguh dan benar-benar mahu melihat dunia yang Allah kurniakan ini dengan hasil tangan sendiri setakat mampu.Anda apa lagi? Jom realisasikan cerita kenangan masa kecil kita!!!~

p/s-Jom~

4 comments:

Anonymous said...

saff mukmin, tulisan anda mengimbau kenangan dan nostalgia masa kecik2..namun dipertengahan dan diakhir tulisan sgt meninggalkan kesan yg mendalam..mengembaralah kita di bumi Allah yg luas sambil memerhati agr dpt dimengerti isi yang tersirat & tsurat...

saffmukmin said...

syukran anon1.sudi dtg,baca dan komen.sbb dh lama xde org komen,hehehee....

setuju.kembaralah kalau mampu.saya pun baru sekadar dalam Malaysia.semoga dapat saya kembara ke tempat di dunia yg benar boleh dan sentiasa tingkatkan iman saya nanti.syukran!!~

cikgu siti hazreen said...

slm, apalah makcik tu, kita dah niat nak tolong dia buat macam tu pula adoiyaiii. Bagus banyak berjalan ni, banyak ilmu yang kita boleh dapat :)

!eNa PnG said...

suka membaca entry nie..:)