Tuesday, October 15, 2019

Jangan Biarkan Pengganas Mengambil Tempat

Apakah takrifan Pengganas? Adakah ia sekadar makna yang pihak aku betul atau PIHAK mana yang betul? Sebagai contoh ada orang melihat tindakan menyokong ISIS itu betul,namun pada PIHAK yang satu lagi melihat ISIS itu perilaku pengganas ekstrim agama di dalam membunuh rakyat tidak berdosa. Apa bezanya? 


Hari ini, Kerajaan Turki sedang membedal labelan pengganas pada takrifan Kerajaan Turki iaitu pihak PKK (Parti Kerja Kurdish) yang disfatkan berhaluan kiri dan telah membunuh ramai rakyat Syria dan Turki sendiri. Sebuah kerajaan berdaulat mesti mempertahankan negara,walau dari agama,darah dan bangsa yang sama. Mempertahankan negara adalah cita cita yang lebih besar dan murni kerana Situasi yang sama pada Kerajaan Malaysia melalui ATM bekerja keras mempertahankan kedaulatan negara di Sabah (ESSCOM) walau yang dihadapi itu mungkin adalah saudara mara dari Sabah. Tentera Malaysia bertindak sangat pantas dan berani dalam mematahkan serangan pengganas Sulu ini. Ini lah keadaan yang sama dihadapi oleh Kerajaan Turki sekarang. 




Jadi, siapa sebenarnya pengganas?


Pada saya, pengganas sebenarnya adalah mereka yang berjuang bukan untuk agama dan tanah air,tapi untuk diri sendiri dan kumpulan tertentu. Jika benar mereka berhaluan kiri,gunakanlah saluran yang betul dan dibenarkan seperti demokrasi. Jika benar ada kecacatan pada demokrasi,ubahlah pada sistem dan generasi itu sendiri. 


Mana mungkin ia boleh berlaku dalam sehari perubahan itu,contohilah Malaysia bagaimana 60 tahun ingin mengubah kekangan dan penjara pemikiran rakyatnya bahawa sistem yang salah boleh menjumudkan pemikiran,lantas sekarang masing masing berani memberikan idea dan hujah berfakta, membetulkan perkara yang salah dan bersama di dalam membangunkan apa yang perlu untuk sekalian rakyat Malaysia.



Pengganas, jangan mengambil tempat kami!

Sunday, October 13, 2019

Musafir ke Balkan 2019

Pertengahan April lalu,aku dan 5 orang lagi kawan musafir ke Turki dan negara negara Balkan melalui Bosnia. Satu perkara yang langsung tiada dalam fikiran aku selama ini. Musafir ke Balkan adalah salah satu musafir terbaik yang pernah aku rasai sebagai pengembara. Ada 5 perkara yang menjadikan ia musafir terbaik aku setakat ini.


Kawan Kawan

Ini faktor pertama. Aku kira sebelum pergi kami semua akan ok kerana kami semua datang dari sekolah yang sama. Namun, realitinya permulaan musafir ini begitu menguji. Siapa kawan, siapa senior,dan siapa yang senang bermasam cuka. Sikap semua nak senang, sikap aku lah yang banyak tolong, sikap semua yang tengok saja amat teruji di awal musafir ini. Benarlah pesan Nabi kita, musafir akan membuatkan kita kenal orang dengan lebih mendalam. Alhamdulillah, pada akhir musafir ini, semua berlapang dada. Memaafkan dan dimaafkan. Mungkin itulah jalan terbaik. Namun, parut mungkin masih ada walau luka sudah sembuh pada sesetengah orang.  




Backpackers Mewah

Aku kira perancangan asal kami adalah konsep Backpackers, namun ia ditambah menjadi Backpackers Mewah pada musafir ini apabila hanya dua orang sahaja yang biasa ke Eropah/UK sebelumnya. Maka, yang lain belum pernah kembara jauh,oleh itu mereka mahukan sedikit ekslusif apabila berhenti berehat di satu satu satu tempat seperti mengambil masa yang lama untuk bergambar, membeli cenderamata mahal mahal,makan di restoren 2/3 kali sehari (ini bukan Backpackers punya gaya,hehehe) dan lain lain lagi. Tapi aku kira aku ok saja selagi duit tambahan aku tidak dikorek keluar dalam jumlah yang banyak. Pada akhirnya, aku seronok lah sebab aku boleh belajar banyak perkara. Paling kurang, aku tahu kawan kawan aku banyak duit,hehehehe.



Sarajevo

Aku sentiasa teringatkan kota ini. Bukan kerana pemudinya yang begitu cantik (MasyaAllah) sahaja, malah kerana ketenangan kota ini. Kecil tapi berasa sungguh nyaman. Namun sejarah di sebalik kota indah ini akan sentiasa diingati dan diteladani. 4 hari 3 malam di Kota ini menjanjikan pengalaman mendamaikan. Tidak banyak aku boleh tulis tentang Sarajevo, ia sentiasa indah...I Love Sarajevo!




Masjid Masjid Empayar Turki-di serata Balkan

Kagum apabila aku baru tahu Kerajaan Turki sekarang memberikan sokongan dan dana penuh untuk membaik pulih masjid masjid binaan zaman Turki Uthmaniyyah, di Sarajevo dan Mostar di Bosnia, Ohrid di Macedonia, Tirana di Albania dan Kotor di Montenegro. Kesemua masjid ini adalah masjid yang begitu lama,penuh dengan sejarah masing masing. Aku terduduk termenung menggambarkan bagaimana tentera tentera Muslim hebat dari Kerajaan Turki Uthmaniyyah membina peluang dakwah yang bertenaga sampai sejauh ini dari Istanbul. Wilayah Empayar ini sendiri membuktikan mereka tidak kenal erti penat lelah dalam mengisi peluang dakwah yang sesuai dengan zaman tersebut. Yang tinggal lagi bagaimana mereka mengisi dan mendidik pemimpin pemimpin sekitar agar benar taat pada Allah dan patuh pada kepimpinan yang adil. Pang!!! Aku tersedar dari termenung, lantas menuju balik ke Sarajevo dari Ohrid melalui jalan kampung sambil teringatkan bunga bunga Tulip Istanbul yang menawan.




Berbaloi

Semuanya berbaloi dengan duit,tempat tinggal dan kenderaan yang kami gunakan. Kami berpeluang menaiki pesawat dari Sabiha Airport ke Sarajevo Airport dan tiba dari Singapura ke Istanbul Airport besar yang baharu. Lagi lagi dengan Singapore Airlines,apa lagi yang kau boleh nafikan ia punya layanan istimewa walau diterbangkan kami dengan pesawat lama. Tapi,ya ia berbaloi. Di Istanbul kami tinggal di kediaman mewah berharga USD 250 semalam untuk 6 orang,ada 3 bilik besar,dapur dan 3 bilik air. Sepanjang di Balkan,kami tinggal di kediaman sederhana berharga purata Euro 50. Puas hati. Cuma yang tinggal adalah aku kurang membeli cenderamata sebab aku kumpul duit cukup cukup sebagai BackPackers,hehehehe



Ok, jumpa lagi untuk penulisan kembara musafir seterusnya.

Tiga dalam Seminggu

Tiga kali pihak pembangkang ibarat ditampar oleh Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Mahathir minggu ini. Jujurnya, aku sendiri masih menyimpan prasangka buruk pada si tua ini,tapi lama lama bila ingat nasihat Mufti Pulau Pinang mengenai kembalinya Tun M untuk mengubah apa kerosakan yang dibuat dahulu, aku kira ia satu tindaqkan berani dan jujur,buat masa ini.

Tun M pun sudah tua,94 tahun. Tapi Allah masih berikan peluang untuk dirinya berjuang mengubah apa yang salah dia lakukan dahlu. Mungkin doa doa alim ulama' dahulu ada hikmahnya, bukan untuk melihat kebobrokan sahaja malah untuk membetulkannya semula.

Kembali pada tamparan UMNO dan barisan pembangkang. Tamparan pertama, ketika Kongres Maruah Melayu 6 Oktober 2019. Sekali Tun M datang habis dia sapu bagi nasihat untuk kembalikan Maruah Melayu Islam. Berubahlah Tun M kata, tiada orang lain yang merubah hanya kita sendiri. Sekali tertampar!




Tamparan kedua apabila Utusan Melayu akhirnya berkubur pada 8 Oktober 2019 dua hari selepas Kongres Maruah Melayu berlangsung. NUJ, persatuan pekerja pekerja Utusan menceritakan segalanya apabila UMNO yang mendalangi syarikat ini tidak ingin membayar pampasan dan gaji pekerja Utusan Melau sudah hampir 3 bulan. Di mana maruah Melayu Islam dimainkan sebegini.
Dua kali tertampar!

11 Oktober 2019 berlangsungnya Pembentangan Belanjawan 2020. Malu yang amat buat barisan Pembangkang apabila tiga kali tertampar apabila Belanjawan kali ini adalah yang terbaik walau dalam keadaan ekonomi masih tidak begitu sempurna dibaiki. Semua merasa, pelbagai insentif dan dorongan diberikan, perkhidmatan ditambah baik malah semuanya mengenai sasaran yang betul. Tidak ada yang boleh dipusing lagi,akhirnya boleh bermain sentimen perkauman murahan, korek hidung dan fakta yang salah.
Tiga kali tertampar!

Tun M dan barisan kabinet serta kerajaan baharu ini tersenyum dengan ketiga tiga tamparan ini.

Persoalannya, selepas ini siapa pula yang akan tertampar? Masih pihak yang sama atau pihak yang baru?

Menarik untuk disaksikan.

Tuesday, September 30, 2014

UTM..Destinasi Ilmu Ku


Sementelah 2014, banyak menguji ketabahan dan kekuatan emosi diri, Allah membenarkan untuk saya menyambung pengajian peringkat Msc.(malahan PhD satu hari nanti,InsyaAllah). Semoga bukanlah perjalanan kembara ilmu ini keperluan duniawi semata mata tapi semoga ia lebih kepada menggunakan peluang yang diberikan demi mendapatkan sedikit ilmu Allah yang ada di muka bumi ini.


Teringat kata pensyarah lamaku di USM masa awal awal kerja di UMT,
" bila u dah rasa dalam keadaan selesa, itu masanya u kena keluar dari zon selesa tu.sampai bila u nak kerja macam tu saja?sampai tua? pergi sambung belajar dan terus sambung belajar," kata pedasnya masih terngiang.
Kerna aku bukan pelajar terbaik di kalangan kami,aku ketatkan mukaku. aku diam dan kemamkan kata katanya.agar suatu hari nanti semoga kerna Tuhan dan kata kata pedasnya aku akan melangkah keluar dalam zon selesa.






Ya, zon selesa itu perangkap,dalam diam dan senyap.


Aku melangkah biarpun akan berdepan masalah,kecil atau pun mudah,besar atau susah.


Mudahkan kami Ya Allah...



Terima kasih Allah kerana memudahkan urusan.
Terima kasih UMT kerana memberikan peluang.
Terima kasih keluarga kerana banyak menyokong


Visi kita semua masing masing telah ditetapkan. Semoga kembara menyambung mencari ilmu diteruskan sehingga akhir. Jika tidak syahid di medan perang nyata, semoga Allah ketemukan dengan syahid di medan ilmu.

Allah musta'an..Ameeen.

Friday, May 31, 2013

Kembara, Aku Datang!!

Alhamdulillah, tanggal 14 Jun 2013 nanti saya akan memulakan musafir pertama saya ke bumi Eropah atau secara spesifiknya di bumi United Kingdom. Hanya 12 hari sehingga 26 Jun 2013 namun ia semestinya satu pengalaman mendebarkan serta mengujakan.Jika anda pernah baca entri saya yang dahulu , betapa saya sentiasa merancang untuk kembara di bumi Allah yang begitu luas ini. Pada masa yang sama mencari erti makna kebesaran dan kekuatan Allah,insyaAllah.


Bumi Chelmsford, Essex, UK

InsyaAllah,jika tiada apa apa aral melintang saya akan sampai di bumi ini pada 16 Jun 2013, sehari selepas ketibaan di Heathrow pada 15 Jun 2013. Jika ada masa, akan menziarahi anak sepupu yang sudah lama tak ketemu dan hampir 5 tahun sudah menetap di sini. Semoga Allah mudahkan saya setiap masa demi pertemuan ini. Bermula program saya di Writtle College adalah di atas peluang dan ruang yang diberikan oleh majikan saya, Universiti Malaysia Terengganu untuk mempelajari sesuatu yang baru dan menerokai peluang peluang yang ada dalam memajukan lapangan kerja saya dalam lapangan Teknologi Lepas Tuai atau dikenali Post Harvest Technologies Unit di Writtle College.

Peluang ini semestinya saya tidak sesekali akan siakan. Ia datang dengan izin Allah, semoga saya juga mengharapkan agar apa yang dirancang di sana berlaku dengan baik bersama dengan izin Allah juga. Doakan saya juga teman teman saya sekalian.

Hampir 12 hari di sana nanti, antara yang saya ada perasaan mendebarkan adalah bagaimana seorang musafir itu harus senantiasa rapat dengan Allah,bukan semakin jauh dengan Allah. Di bumi Chelmsford nanti, cabaran cabaran yang boleh saya kira sebagai mencabar adalah bagaimana saya mampu untuk sesuaikan diri dengan perubahan waktu, cuaca,suhu,pemakanan,cara berfikir mereka serta bagaimana saya mampu menyesuaikan diri dengan mereka dalam tempoh yang singkat. Semoga Allah juga berikan kekuatan ini, Ya Allah..



Akhlaknya

Saya ada rasa sedih juga kerana tidak dapat menunaikan janji saya untuk ke bumi Mekah dan Madinah terlebih dahulu,namun seperti yang saya sebutkan saya tetap akan terus berusaha untuk sampai ke sana. InsyaAllah saya akan jadi perjalanan musafir ini ke bumi United Kingdom ini sebagai ibadah berpanjangan,biarpun tidak sehebat perjalanan ke bumi Anbiya' itu. 

Selamat bermusafir semua!!

Thursday, May 30, 2013

Anak Muda Harapan Islam

Tamat sudah pengejaran umat Nabi Muhammad SAW ke atas maksud hadis Nabi Muhammad SAW 800 tahun sebelumnya di atas hadisnya, " Konstantinapole akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik baik raja dan tenteranya adalah sebaik baik tentera." Tahun awal 857 Hijrah, kota ini ditawan oleh Sultan Muhammad, pewaris keturunan Sultan dari Empayar Uthmaniah, empayar terakhir Islam sebelum kejatuhan pada awal tahun 1920an.

Sesudah hampir 560 tahun kota ini dibuka oleh sebaik baik raja dan tentera, betapa sejarawan Barat menutup kisah yang agung dan terhebat ini pada mata masyarakat Islam dengan membuatkan Turki menjadi negara sekular dan teruk pada pandangan orang Islam yang lain. Orientalis Barat berjaya menjadikan masyarakat Islam tidak sedikit pun sedar akan kehebatan Sultan Muhammad membuka kota ini dengan penuh kesungguhan dan perancangan di samping betapa jujur dan ikhlasnya pada Allah dalam pembukaan kota ini.


Sultan Muhammad Al Fatih

Al Fatih itu hanya gelaran diberikan kepadanya. Sejujurnya nama Sultan Muhammad itu begitu sinonim dengan nama kebanggan umat Islam yakni Baginda Nabi kita sendiri. Oleh kerana itu, adalah digalakkan kita memberikan nama yang baik baik kepada anak kita di samping kita berdoa agar anak kita dapat menurut menjadi sebaik namanya. Sultan Muhammad Al Fatih bersama gelarannya adalah salah seorang ikon anak muda bagi setiap anak muda Islam yang perlu diangkat di samping idola kita setiap masa Baginda Nabi Muhammad SAW. Pada umur 21 tahun beliau berjaya menjadi sebaik baik Raja dan menjadi sebaik baik ketua mentarbiyah sebaik baik tentera dalam menawan kota Konstantinapole. Kita umur dah nak masuk 30 tahun pun belum ada gelaran yang baik baik diberikan oleh orang lain, paling kurang biarlah sebelum 30 tahun kita ada gelaran yang baik seperti Sultan Muhammad Al Fatih ini. Tak dapat gelaran dalam bahasa Arab, dalam Bahasa Melayu pun jadi la..

Sebagaimana kita ada ikon anak muda di Malaysia sejak zaman berzaman. Kalau dulunya, Ustaz Nik Aziz Nik Mat, Ustaz Abd Hadi, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Fadzil Noor, Anwar Ibrahim dan menyusuri zaman lain sehingga generasi kini,semestinya juga pada zaman ini. Semalam, seorang lagi anak muda ditangkap, Saudara Safwan Anang, aktivis UM dan Malaysia di atas kelacuran politik Malaysia yang semakin merunsingkan. Sebelumnya pula Adam Adli, kali ini mereka yang ada kuasa sudah menyalah gunakan kuasa yang ada. Mereka anak anak muda semestinya tahu akan perkara ini menyusahkan mereka, tapi kerana mahu menjadi contoh yang baik untuk generasi yang tidak sanggup melihat undang undang dilacurkan dan penipuan menjadi raja, Mereka bangun melawan. Kita setuju mereka mungkin akan menyusahkan banyak pihak akan tetapi kita juga bersetuju sampai bila kita harus diam melihat semua ini berlaku. Jika bukan sekarang, bila lagi? Ketahuilah, dunia mungkin memerlukan pelbagai akta untuk menangkap kita, tapi untuk masuk syurga dan neraka Allah kita cuma perlukan pahala dan dosa. Anak muda harus sedar, bukan sekadar bersemangat menjadi ikon namun paling penting adalah gerak kerja kita adalah sama ada mahu menambah pahala atau menambah dosa. Anak muda hari ini adalah penentu corak kepimpinan masa depan negara. Sebagaimana Sultan Muhammad Al Fatih berjaya membuka kota Konstantinapole pada 560 tahun yang lalu, sebenarnya telah membuka peluang dan ruang dakwah yang lebih luas untuk menerokai dakwah hampir 3 per 4 dunia. Jika tidak Sultan Muhammad Al Fatih mencuba pada usianya 21 tahun, mana mungkin selama 28 tahun yang berbaki sebelum Allah menjemputnya pada umur 49 tahun, beliau benar benar bersungguh mahu membuka 'kota konstantinapole' yang lain demi menyebarkan usaha dakwah. Begitulah juga atas usaha murni Safwan Anang dan Adam Adli agar usaha dan peluang dakwah terus terbuka untuk kita dan generasi muda selepas kita menerokainya,demi menambah pahala bukan lagi sekadar menambah dosa.



Sultan Muhammad Al Fatih


Anak Muda Harapan Islam

Ya, anak muda pada mana mana generasi sebelum dan selepas ini pasti akan sentiasa menjadi harapan Islam. Bukan tidak menyanjungi yang sudah lama, namun yang muda dengan kuasa dan kemampuan yang ada mereka mampu menjadikan dan menjanjikan perubahan yang lebih baik di samping nasihat nasihat berguna dari orang yang lama. Anak Muda sentiasa menjadi harapan Islam.Itu pasti, InsyaAllah.

Penutupnya, sama sama kita doakan dengan mengambil iktibar juga bagaimana semenjak awal perancangan Sultan Muhammad Al Fatih mahu membuka kota Konstantinapole ini. Usaha dibuat bukan sehari dua namun bertahun tahun. Bersama pengaruhnya, kebijaksanaan kepimpinan,penuh strategi melawan musuh dan menambah kawan, bersedia dengan pelbagai kemungkinan, menguatkan segala keperluan fizikal dan rohani, dan paling penting kebergantungan begitu kuat dan kukuh dengan Allah setiap masa menajdi tunjang yang hebat.

Jika kita sudah cukup ini, bersedialah kita. Mungkin kita anak muda boleh menjadi agen kepada " sebaik baik Raja dan sebaik baik Tentera" dalam konteks PRU 14.

Seeru Barakatillah!!

Wednesday, May 29, 2013

Bergabung Biar Bersetuju, Berpecah Biar Bukan Tak Sebulu

" Bergabung biar bersetuju, berpecah biar bukan tak sebulu "

Inilah ungkapan terbaik yang saya rasakan dalam mengisi kelompongan pasca PRU 13. Ada sebabnya kemenangan Allah tangguhkan kepada pihak pembangkang sekarang.Sama ada pihak pembangkang tidak berjaya menarik minat pengundi atau sememangnya benar wujud faktor faktor menipu yang lain, hanya Allah yang tahu dan boleh dedahkan memandangkan kesemua pihak berani bermain tipu.Kita hanya ada Allah jika kesemua pertolongan manusia tidak dapat membantu. Namun dalam aspek organisasi, saya yakin pihak pembangkang masih mencari formula terbaik yang dapat menjadikan pembangkang yang hebat dan pada satu masa nanti dapat menjadi pihak kerajaan memerintah pula,dengan izin Allah.


Isunya timbul apabila Tuan Guru Presiden PAS membidas calon calon PKR yang masuk juga bertanding di kawasan yang dipersetujui untuk PAS dan memberikan sebab kenapa PAS terpaksa menghantar juga calon yang di dalam kawasan PKR bertanding. Kesemuanya adaalh kerana peringatan yang ditunjukkan pada PRU 12 yang lalu di mana akibat semberono PKR Perak menyebabkan kerajaaan Perak bersilih kerajaan dari PR kepada UMNO hanya kerana kewujudan katak katak PKR yang semberono ini. Kerana kelantangan ini, Ketua AMK membidas juga di satu majlis rasmi PKR. Kebiadapan Presiden PAS membidas mengakibatkan masalah kepada PKR dan mereka juga membidas PAS dalam isu Kota Damansara. Apa jua sekalipun, kita tetap nampak DAP tetap dengan cara mereka yakni tidak menunjukkan masalah dalam berkawan antara PAS dan PKR.Namun mungkin atas dasar orang Melayu mendominasi kedua dua parti ini, isu ini nampak semacam ada tidak kena.



PRU 14: Penentu PR


Bergabung Biar Setuju, Berpecah Bukan Tak Sebulu

Saya setuju ketika Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menegaskan tidak akan ada penggabungan antara PAS dan UMNO selagi hayatnya masih ada. Tuan Guru sedar akan penggabungan dulu masih terasa sakitnya.PAS ada ahli ahli nya. Mereka semua perlu bersetuju jika mahu bergabung, bukan kerana dua tiga orang sahaja. Inilah penegasan paling kuat dan kukuh dalam bergabung. Semua kena bersetuju. Mahu berpecah dalam PR hanya kerana pandangan ketua AMK? Mahu keluar PR hanya kerana tidak sebulu dengan Anwar? Ketahuilah, PAS akan keluar juga dari PR bukan dengan sebab sebab ini. Bukan kerana tidak sebulu dengan siapa siapa. Tapi PAS akan tetap keluar jika PKR dan DAP melanggar prinsip dan objektif kenapa PAS bekerjasama dengan mereka. Ingatlah PAS ditubuhkan bukan semata untuk menang membentuk kerajaan namun lebih penting daripada itu ialah untuk mendapat berkat dari Allah dalam mengurus organisasi, dalam membentuk masyarakat,dalam mengurus ahli ahli serta pelbagai lagi.


Hujungnya, agar kita yang boleh berfikir dengan baik jangan cuba meletakkan akal kita sama dengan orang yang tak boleh berfikir dengan baik. Ketahuilah jangan bangunkan fitnah. Jika tidak, susah kita untuk masa mendatang. Fitnah ini buruk padahnya serta kesannya ramai yang akan 'mati' hati dan emosi.


Salam perjuangan!!

Tuesday, May 28, 2013

Selamat Kembali~

Alhamdulillah, setelah lama tidak menulis Allah benarkan lagi saya untuk menulis di sini. Memang berhabuk laman ini,tanpa diusik sedikit pun oleh tuannya sebelum ini. Begitu lama dan begitu tidak terjaga. Namun, ketika ada masa sebegini sepatutnya harus diisi dengan baik.

Kerancakan setahun bagaikan banyak yang berlaku. Pada individu, keluarga, kumpulan, organisasi dan juga negara khususnya berlaku pelbagai ragam dan kisah. Paling menjadi tumpuan adalah berakhirnya Pilihan raya Umum ke 13 pada 5 Mei yang lalu. Kisah dan coretan sudah ditulis dalam sejarah Malaysia betapa banyak perkara yang meragukan dan terus diragui sepanjang pemilihan ini. Namun Allah lebih mengetahui siapa yang menipu. Mereka yang tertipu akan terus mendesak sehingga mereka sedar mereka adalah penipu.Tapi jika Sang Penipu mahu terus hidup dengan menipu, kita akan terus berusaha menghukum mereka lagi pada PRU 14. Semestinya ada sebab kemenangan ini masih tertangguh.

Alhamdulillah, pada individu sendiri saya tidaklah banyak cuma dapat membantu keluarga mencari rezeki halal dan jelas adalah paling utama. Anak sulung pun sudah besar dan isteri pun makin cantik. Mami Abah sentiasa ceria dan semua pun sama. Di tempat kerja juga saya merasakan harus ada lompatan kebaikan yang lebih sempurna. Misalnya datang kerja awal dan pulang lambat serta mempastikan hasil kerja lebih effisen dan kemas.Apapun jua hasilnya biarlah Allah menilai bukannya manusia sangat. Kadang kadang sedih juga saya cuma dinilai penilaian 2012 sekadar BAIK namun mungkin Allah menegur saya di situ. InsyaAllah tahun ini saya sasarkan hasil kerja saya adalah pada tahap optimum dengan kuasa yang maksimum akan saya lakukan.





Tuan Guru Mursyidul Am PAS



Apa Lagi Yang Kita Mahu?

Tiada apa lagi yng kita mahu cuma kebahagian dan ketenangan dari Allah. Tiada guna duit banyak tapi tidak tenang. Tiada guna duit pun tiada tapi terusan tidak tenang. Memang rugi jika anak ramai tapi masih tidak merasa tenang dan bahagia. Kita cuma mahukan ketenangan yang diberikan Allah ke dalam hati dan jiwa yang sentiasa kusut masai dengan maksiat yang kecil dan juga besar kepada Allah ini. Hati ini dan jiwa ini perlukan ketenangan bukannya dengan masalah dan terus bertambah masalah. Kita setuju, cuma dengan mengingati Allah hati akan terus tenang dan bahagia.

Akhirnya, saya doakan dan mengharap teman teman juga sama agar saya dapat menulis setiap hari satu artikel yang bermanfaat kepada saya dan semua pembaca Saffmukmin. Kalau tidak bermanfaat hari ini mungkin pada masa yang mendatang. Seeru Barakatillah!!~

Tuesday, September 25, 2012

Pilihan Raya Kampus 2012


Ayuh semua turun mengundi
Bagi menunjukkan hak pelajar pemuda pemudi.
Selesai mengundi
Hati senang ceria tanpa susah di hati.


Jom semua turun mengundi
Buat semua pelajar di sana sini
Kalau yang belum mandi
Cepat cepat nanti terlambat ramai yang rugi.


Jangan malu dan segan untuk mengundi
Pilihlah yang berkenan dengan penuh rela hati
Undi pada siapa yang sudi
Semoga apa yang kita lakukan Allah berkati


Siapa kata sia sia cabut undi
Tiada perkara yang sia sia jika memilih pemimpin di sisi
Pemimpin yang benar akan bersama pahala di tepi
Pemimpin yang salah akan iringi dosa di kiri.


Semua turun mengundi
Bukan semata kerana rupa dan penampilan diri 
Lihatlah kepimpinan dan kredibiliti
Malah amanah,tanggungjawab dan juga integriti.


Ayuh semua turun mengundi
Masa bergerak tiada siapa dapat menghalang ia berhenti
Jom semua turun mengundi
Agar universiti sentiasa menjadi tempat kebanggaan siswa siswi. 


Ayuh semua turun mengundi~


saffmukmin

Saturday, September 22, 2012

Perjalanan Ini Masih Jauh~

Perjalanan membesarkan anak masih jauh....


2 Julai 2012

Tangisan anak kecil meruntun jiwa.Tepat jam 7.35pm,lahirlah anak kami Muhammad Faqihuddin dengan seberat 4.1kg dan tingginya 57cm.Syukur,begitulah sebesar perkataan yang boleh diucapkan...saya menangis,ibunya juga lagi menangis.anak kami terus menerus menangis.kuat suaranya,mungkin dia sudah tahu tanggungjawabnya besar di dunia ini.Bukan datang untuk bergurau tapi untuk terus berguru bagi menjadi insan berilmu.Bukan datang ke dunia untuk jenaka tapi untuk membantu membawa diri dan masyarakat sekitar jauh dan terlepas dari azab neraka...menjadi khalifah di bumi allah.Seberat tanggungjawab,sekuat itulah dia menangis....

Namun,apa pun kami bersyukur padaMu Ya Allah dengan kurniaan ini...



Sekarang..

"Ummi,kita masih konsisten dengan perancangan kita untuk Faqih?,"soal saya kepada ibunya.

"Tentang proses pembesaran dan pendidikan Faqih? Setakat ni,ummi ikut saja apa abi buat,yang penting jangan tinggalkan dia untuk berdikari jauh sangat dengan ummi,ummi rindu Faqih nanti,"pinta ummi.

"Insyaallah,semoga Allah memberkati usaha kita.Abi pun dah kaji pada tiga tokoh hebat muslim,iaitu Baginda Nabi Muhammad,Umar Al-Aziz dan Al-Fateh..ketika kecil mereka tidak dibesarkan oleh ibu bapa mereka secara langsung,mereka dihantar untuk dididik oleh guru guru yang berpengalaman dalam pelbagai bidang.Abi yakin,semoga Faqih kita hantar seawal mungkin dapat membantu dia selesa dengan ilmu dan berdikari lebih baik.Namun,di mana Faqih berada,kita akan sentiasa sayang dan kasih pada dirinya.Abi dan ummi kan mahu Faqih jadi orang hebat untuk bantu Islam kan???,"pujuk dan menenangkan isteri dalam hal ini.

"Baik abi.Insyaallah ummi ikut saja.Semoga Allah memberkati usaha kita ini,ameeen,"doa ibunya kepada anak kami,Muhammad Faqihuddin.Saya turut mengaminkan doa ini sekali...






15 September 2012

Hari ini kami diuji untuk pertama kali.Muhammad Faqihuddin,balik bersama neneknya selama 2 minggu ke Serdang.kami rindu,semua pun rindu.Jumpa lagi Faqih!!!!


Sesungguhnya perjalanan membesarkan anak ini masih jauh!!~


p/s-abi ummi sayang Faqih.

Sunday, September 09, 2012

Lama Tak Menulis~






Lama tak menulis
Bimbang akal jadi kelat dan nipis.
Ayat kering dan bisu tanpa hiris.
Akhirnya tiada yang sudi mengunjung tanpa renjis.


Lama tak mengarang.
Lama lama jadi macam arang.
Disimpan lama mahu guna baru memanggang.
Tak mahu guna simpan di belakang.


Lama tak bermadah.
Tiada romantik tiada gundah
Ayat manis hilang sepah.
Lama lama tinggal tiada terasah.


Lama tak menulis.
Jangan jadi muflis.
Muflis idea dan perkara picis.
Agar akan terus menulis,ditulis dan tertulis..


Lama tak menulis..

saffmukmin

Wednesday, May 23, 2012

Kesalahan Untuk Menjatuhkan atau Meningkatkan??

Kehidupan seharian memang akan memberikan kita banyak pengalaman dan pengajaran. Sama ada kita mahu menjadikan ia tealdan atau membiarkan ia berlalu begitu sahaja,ia adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Pada saya,ia perlu dijadikan teladan dan harus juga dibiarkan begitu sahaja jika ia benar mengganggu kita dalam meneruskan kehidupan mendatang.

Minggu ini,ada banyak pengajaran yang saya ambil. Paling bernilai adalah mengenai bagaimana begitu jelek jika kita sentiasa mencari kesalahan orang lain bukan untuk membaiki prestasi kita,namun unutk menjatuhkan kita.Amat jelek dan begitu sedih dibuatnya.

Mesyuarat

Jujur saya akui,saya bukanlah antara pekerja yang diminati oleh saya punya ketua di tempat kerja.Mahu dijadikan cerita,kami bersama pegawai pegawai lai ada mesyuarat bulanan tentang perkara makmal.Panjang pendek punya mesyuarat, ada satu bahagian apabila ketua kami marah kepada mereka yang tidak hadir ke mesyuarat yang sepatutnya mewakili dirinya.mungkin ada tujukan kepada sesiapa.mungkin aku rasanya.tapi aku baru shaja 3 kali kena wakilkan dia mensyuarat,semuanya aku pergi...marah bukan kepalang.semua senyap..malas nak cakap lebih.

Akhirnya, mesyuarat itu habis di situ.kami pelik,apa yang menyebabkan marah sangat.pasti ada cerita di seblikya. Kebetulan,semalam saya terpaksa mewakili Ketua Jabatan untuk satu mesyuarat Pusat.Mahu dijadikan cerita juga,tuan pengerusi mesyuarat orang yang sama juga.Terkejut kepalang sebab saya yang mewakil mesyuarat itu.panjang pendek mesyuarat sekali lagi,apabila tiba bahagian saya kena melaporkan apa perkembangan terkini AJK kami,tuan pengerusi mesyuarat tu kata " Tak mengapalah, awak wakil je..tak perlu bentang takpa.."..

waaaaahhh,rasa malu menebal dalam diri.tapi saya terpaksa juga keluarkan perkataan." Dah semalam kata marah kalau ada orng tak wakil dalam mesyuarat,tapi ini bila orang datang wakil boleh pula nak sekat tak bagi lapor," dalam nada gurau rasanya,hehehehe..

Nasib baik semua ahli mesyuarat turut gelak sama.dan alhamdulillah,saya dapat juga menyampaikan apa laporan terkini dari bahagian saya.dan dalam 2 jam,mesyuarat pun tamat.selesai.saya harus pulang segera kerana saya puasa pada hari semalam.

Tapi..

Sebelum pulang,ketua saya itu datang pada saya dan buat bertanya khabar," kenapa kena wakilkan Ketua Jabatan?,"..saya jawab," Ketua Jabatan ada kelas dan ada kena jaga ujian,"jelas saya.

" Baiklah..tak mengapa..jangan ambil hati hal tadi,saya pun dalam nit bergurau juga,hehe..,"tambah ketua saya ini.

Saya pun senyum sahaja.saya bersalam dan terus meninggalkan bilik mesyuarat. Dan saya sambil berjalan anak ke kereta,saya menyimpulkan satu teladan hari ini, kita buat kerja kita sehingga selesai..memang kita menurut arahan atasan namun jika ia memberi peluang orang lain untuk menjatuhkan kita,sama ada satu tahap kita perlu beritahu yang sebenar atau kita diam seketika menunggu peluang untuk memberitahu perkara sebenar.

p/s-kerja kita semua sama cuma yang membezakan adalah bagaimana kita ikhlas berbuat.

Saturday, March 31, 2012

Semuanya Kerana Allah dan Rasul



"sesungguhnya setiap amal itu bermula dengan niat"
begitulah Baginda Nabi mengajar kita untuk mengumpul pahala.
Dari sekecil perkara kepada sebesar tindakan dan tabiat.
Untuk dibawa bersama di Akhirat sana.


"sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul,dia akan dapat allah dan Rasul "
begitu mahal penghijrahan kerana Allah dan Baginda.
Pahala bermula dikira apabila niat kerana Allah dan Rasul.
Tapi ia akan jadi miskin jika kerana dunia dan wanita.


"sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin dicapainya serta wanita yang ingin dikahwini,maka dapatlah dia apa yang diniatkan sahaja"
begitu murah sesiapa yang berniat sebegini.
Rugi dan sesalan berganda-ganda.
kerana dunia dan wanita ia kalah dan awal-awal lagi...



p/s-Niat dan Ikhlaslah kerana Allah dan rasul. InsyaAllah semua akan jadi mahal dan mudah.


saffmukmin

Ikhlas~




Ada satu cerita yang sentiasa mengundang resah dan gelisah dalam diri saya. Seusai menghadiri banyak majlis perkahwinan kawan-kawan saya sebelum ini, ramai yang bertanya bagaimana saya sekarang. Saya banyak menjawab semuanya alhamdulillah baik sahaja. Kebanyakan mereka mengatakan saya bertuah dapat isteri cantik,datang dari keluarga yang ada kedudukan dan juga membantu saya dalam menstabilkan ekonomi keluarga. Saya cuma membalas dengan senyuman. Penuh dengan senyuman sahaja.


Apa Kriteria?


Kawan-kawan saya juga ramai bertanya bagaimana saya bertemu. Saya ceritakan ringkas tapi penuh dengan padat ceritanya. Saya ceritakan dari A kepada Z. Namun,ada bahagian yang saya tidak kongsikan.Mungkin itu rahsia kami berdua.


Namun,cerita yang saya sampaikan masih tidak menghalang dari kawan-kawan mengekspresskan betapa untungnya saya mendapat isteri seperti yang saya ceritakan di atas. Kerja sebagai Doktor Perubatan, gaji selesa, datang dari keluarga ada kedudukan dan macam-macam lagi. Sekali lagi saya cuma menjawab dengan senyum.


Saya cuma menjawab dalam hati, "kriteria saya sama seperti kalian...niat ikhlas mahu mencari yang beragama dan beramal dengan agama...". Dulu,sebelum berkahwin saya sentiasa berkongsi dengan kawan-kawan tentang maksud hadis dari salah satu hadis Baginda tentang mencari jodoh sebagai isteri. Ada 4 kriteria utama,rupa,harta,keturunan dan agama. Tapi Baginda menyuruh kita memilih agama sebagai yang utama. Dan saya kongsikan lagi Baginda pasti tidak menolak yang 3 lagi krtieria yang ada. Kalau kita dapat yang beragama dan ada keturunan baik,itu bonus. Kalau kita dapat yang beragama dan juga ada harta,itu bonus. Malah jika kita dapat yang beragama dan juga yang ada rupa, itu juga bonus. Boleh saya katakan, asas kepada pemilihan isteri pastikan ikhlas untuk dapatkan yang beragama. Kerana ia bukan pembolehubah ,ia adalah pemalar. Harta,rupa dan keturunan adalah pembolehubah yang boleh berubah. Ia boleh berubah dengan bersandarkan masa. Rupa boleh jadi tak cantik bila tua. Harta boleh kurang kalau tidak pandai mengurus. Keturunan boleh hilang jika habis keturunan baik-baik. Tapi agama ia pemalar. Pada dirinya ada agama yang beramal dengan agama..


Begitulah saya sentiasa berkongsi dengan kawan-kawan..malah saya juga sentiasa berdoa dan mengharapkan seperti maksud hadis Nabi ini..


Ikhlas


Ikhlas saya akui di sini, ketika saya memilih isteri saya yang saya cintai sekarang, ikhlas...rupa,harta dan keturunan tidak saya ketahui secara dekat dan berterusan. Saya cuma yakin pada keyakinannya beramal agama. Itu juga berdasarkan penilaian berterusan bersendirian dan bersama seorang kawan saya juga. Apa yang dia ada, rupa dan juga keturunan tidak pernah saya ketahui secara penuh. Kami cuma berkenalan melalui Yahoo Messenger yang menjadi talian perhubungan kami selama 2 tahun setengah. Jumpa bersama keluarga hanya dua kali. Kali kedua itu sudah bertunang. Pertunangan pula hanya di kedai makan. Tidak pernah tahu di mana rumahnya sehingga hari persandingan. Tidak pernah tahu apa kerja ayahnya sehingga saya di akad nikahkan oleh ayah mertua..


Ikhlas...Jadi,kalau boleh dan mampu, saya harap dapat kurangkan untuk mengatakan seperti saya mengejar yang 3 kriteria itu, saya tidak pernah memandang lebih dari sekadar itu. Kesemuanya adalah kepunyaan ayah dan ibu mertua. Saya adalah apa yang saya ada dulu dan sekarang,ada ibu dan ayah yang baik serta adik beradik yang ceria.serta mempunyai seorang isteri yang benar-benar saya kasihi dan sayangi..


Dan saya setuju,jika anda semua jika ikhlas dan sabar..insyaAllah Allah akan memberikan segala yang setimpal dengan apa yang anda bersabar..


IKHLAS...~`

Saturday, November 26, 2011

Pasti Tidak Akan Kembali Lagi..~



Pasti tidak akan kembali lagi
Di atas segala perilaku-perilaku dosa
Seharus diri ini bertaut pada kasih sang Ilahi
Pengukuh taubat setiap detik dan juga masa


Pasti tidak akan kembali lagi
Diri yang berbuat dosa; beterusan ke dunia fana
Setelah sampai melabuhkan diri di padang Masyhar nanti
Merayu,menangis dan terus merayu tiada lagi gunanya


Pasti tidak akan kembali lagi
Setelah merasa bahagia berbuat demi kebaikan
Ketahuilah dosa itu adalah ibarat virus dalam diri
Berjaya dibersihkan maka berjaya mendapatkan nikmat kemanisan iman


Pasti tidak akan kembali lagi
Seraya mengakui Allah dan Nabi Muhammad itu sebagai pegangan
Hidup dan mati kemudian hidup sekali lagi
Menunggu Syurga nan indah permai tersurat di idaman


Pasti tidak akan kembali lagi
Kebergantungan kepada kekuatan jahiliyyah
Semoga terus bersinar cahaya Islam dalam diri
Menanti kemenangan Islam yang pasti tiba,InsyaAllah!!!!

Pasti tidak akan kembali lagi~


nukilan:saffmukmin

Kenapa Sayangkan Dia?

Dr Mahathir Mohamed, bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-4.Digelar bapa Pembangunan Malaysia.Ramai yang sayangkannya. Sayangkannya kerana idea sendiri atau kerana bekas Perdana Menteri. Penulis tidak membenci beliau kerana tubuh badannya akan tetapi kerana kelantangan idea yang berani untuk menutup ruang bagi orang meningkatkan peluang meraikan dakwah di Malaysia. Paling ketara apabila berani mengatakan hukum Hudud Allah tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana masih tidak relevan dan tidak sesuai dengan masyarakat Majmuk Malaysia.


Pelbagai lagi idea yang berani dilontarkan oleh bekas Perdana Menteri ini. Ramai bangsa Melayu berjasa dengannya. Saya yakin, saya juga melalui sistem yang diciptakannya dalam sistem pendidikan Malaysia. Namun, kita bersyukur kerana atas dua sebab. 1.Kerana Allah sudi memberikan kita peluang untuk belajar sehingga ke tahap ini. 2.Terima kasih juga kepada Bekas Perdana Menteri ini kerana memberi peluang kepada mereka yang layak dan sesuai untuk belajar.


Namun, saya sentiasa tidak berdiri sama dengan kedudukannya di atas isu merendahkan isu agama yang sentiasa dipandang tinggi oleh RasulAllah dan sahabat-sahabatnya. Dengan siapakah kita mahu mendapatkan syafaat selain dari Nabi serta mereka yang alim mendoakan kesejahteraan untuk kita? Saya tidak skeptikal dengan agama semborono, namun kita diajar untuk meraikan mereka yang sudi dan berani untuk membawa Agama Allah ini. Mungkin bekas Perdana Menteri ini mengakui pernah bertikam lidah melawan Israel dalam satu wawancara, kredit boleh diberikan namun kenapa lagi mahu direndahkan agama di bumi sendiri???


Saya yakin, kalau Dr Mahathir itu bukan bekas Perdana Menteri, tiada siapa pun yang akan sayang dia sekarang seperti orang Islam lain yang sentiasa mengutuk Islam agama sendiri..Mungkin buku Doctor In The House juga tidak laku.......

p/s-Kenapa Sayangkan Dia??..

Wednesday, October 26, 2011

Multi Bekerja atau Multi Bertanya?




Alhamdulillah, lama sudah tidak menulis di sini. Namun, di sini juga lah tempat yang akan saya sentiasa asah bakat tulisan yang tidak seberapa ini. Jangan segan untuk terus mengunjungi Saffmukmin ye!!


Multi Bekerja atau Multi Bertanya?


Ahad lepas, isteri tercinta mula mendaftarkan diri untuk kerjanya. Dirinya sungguh bimbang dan risau pada awalnya. Malahan, saya lagi risau kerana ia benar-benar akan memberikan persepsi baru kepada dirinya sendiri nanti dalam menuju prospek kerjanya hingga ke akhir pencen nanti,insyaAllah. Saya sedia berkongsi dengannya tentang penagalaman saya sendiri di tempat kerja bagi setiap pekerja baru. Ada 3 perkara penting iaitu:


1) tetapkan dan tanam dalam diri niat kerja kerana Allah serta pada masa yang sama dapat memaksimumkan kerja sebagai Doktor dan tanggungjawab sebagai isteri.


2) dapat adaptasi dengan suasana politik di tempat kerja. sedia maklum keupayaan kita sebagai pekerja untuk cepat atau lambat beradaptasi dengan pelbagai karenah perangai politik di tempat kerja akan memberikan kita kepuasan dalam bekerja


3)tahu untuk menguruskan stress.sama ada kita mahu berhadapan atau terus tinggalkannya. keduanya tetap ada keputusan yang baik.namun, kita berhak memilih sesuai dengan kapasiti dan kemajuan diri kita. dalam hidup ini sememangnya sentiasa ada cabaran,itu poin penting!



Saya pesan lagi, orang yang bekerja akan ada dua jenis cara kerjanya sama ada Multi Bekerja atau Multi Bertanya. Multi Bekerja maksudnya kita ini akan buat banyak kerja sehingga tahu atau tak tahu methodnya belakang kira. Janji dapat siapkan.(Kalau dapat disiapkan,hehehe). Satu jenis lagi ialah jenis banyak bertanya. Kerja mungkin entah ke mana tapi soalan sudah disiapkan untuk bertanya.Tanya seolah tidak tahu apa-apa untuk dilakukan.


Jadilah Multi KerjaTanya


Saya konklusikan pada isteri saya sebelum mula kerja, jadilah orang kedua-duanya. Tanamkan sifat kedua-duanya dalam diri kita. Buat kerja dan bertanya jika tak dapat lakukan. Dan selepas dapat jawapan, gandakannya kerja kita sehingga benar kerja itu dapat di siapkan mengikut spesifikasi yang diperlukan. Pasti apabila pulang kerja dengan kepuasan yang begitu menyenangkan akan mengurangkan rasa stress bekerja.


Siapa di sini Multi Bertanya dan Multi Bekerja angkat tangan??hehehe..


Apa pun, jumpa lagi pada masa datang.


p/s-kena tulis ringkas tapi semoga ada isinya...hehehe...~




Tuesday, September 06, 2011

Alhamdulillah~

Alhamdulillah, Allah s.w.t memudahkan urusan segalanya di atas perancangan manusia bersama untuk Majlis Walimah dan Majlis Kesyukuran kami pada 24 Julai 2011 dan 02 September 2011. Semestinya dipanjatkan kesyukuran di atas segalanya. Terima kasih tak terhingga kepada mak abah, mami abah, adik beradik kedua-dua pihak dan saudara mara dari kedua pihak yang sentiasa membantu dan melicinkan urusan majlis kami bersama. Sesungguhnya hanya Allah yang bisa menjelaskan dan melengkapkan balasan baik kepada kalian.


Kami juga sentiasa memohon doa kalian untuk kami. Semoga perkahwinan ini sentiasa dalam rahmat dan jagaan Allah s.w.t. Kami juga doakan pada sahabat dan sahabiah kami yang belum kahwin tapi sudah cukup semuanya, jangan lama-lama ye!!!hehehehe..~




















Monday, August 22, 2011

Cerita Tentang Tina-Siri V

"Ahmad 568493, berseorangan melarikan diri dari penjara ini,Tuan!!," lapor pegawai penjara kepada ketuanya.


Pada fikirannya, ini bukan kes pertama. Sudah berkali pesalah melarikan diri dari penjara ini. Bingung memikirkan bagaimana mahu menjawab pada yang pihak atasan. Pening bagi seorang ketua tak dapat ditafsirkan oleh pegawai-pegawai penjara yang lain.


" Baik.Teruskan usaha mencari.Saya mahu budak Ahmad tu dijumpai dalam masa segera!!," perintah ketua kepada anak-anak buahnya.


Semua bergegas.Dalam kepala mereka, mahu mencari siapa yang salah.Tapi itu harus diletakkan di tepi.Mungkin ada perkara besar yang boleh berlaku lagi kalau lambat bertindak.Mereka bertindak.Tanpa menunggu lagi!!

....................

"Makcik, jangan sedih ye..kalau makcik sedih,saya dan Nisa lagi bertambah sedih.Apa pun, kebakaran di bangunan sebelah sudah dipadamkan.Lepas ini,pasti anggota bomba dan polis akan bersegera mencari Tina dikedua-dua bangunan dan seluruh kawasan kolej.Makcik jangan sedih ye..," pujuk damba Aminah kepada Mak Timah.Mak timah nampak kesedihannya sejak sampai dari kampung sebentar tadi..


" Nisa, aku nak kau tolong tanyakan fellow. Apa cerita sekarang.Boleh tak,?" pinta Aminah kepada Khurunnisa.


" Baik. Aku akan tanyakan. Semua pelajar pun dah kembali tenang nampaknya.Sudah sejam mereka kat bawah ni. Aku rasa fellow pun pasti ada perkembanga terbaru kan," Nisa membalas permintaan Aminah sambil berjalan perlahan menuju kepada fellow asrama.


Tak lama kemudian...


" Aminah....Aminah...!!!," nampak berlari cergas dan kalut Khurunnisa dari jauh.


" Kenapa Nisa??," tanya Aminah dengan perasaan ingin tahu bersama memeluk Mak Timah.


" Tina..Tina..dijangkakan masih ada di dalam kawasan kolej atau secara spesifik dalam blok yang sudah habis terbakar itu..ini semua kerana pihak bomba menjumpai sesuatu yang mengesahkannya..," Khurunnisa menggantungkan ayat..


" Apa Nisa??Jangan buat suspen la pula," Aminah lagi tertanya-tanya.


" Telefon bimbit Tina dan kad staf salah seorang di sini. Ia dijumpai berhampiran tempat punca kebakaran..," Khurunnisa menamatkan cerita.


Aminah dan Mak Timah lagi bertambah bingung.Siapakah staf yang ada bertindak sedemikina kepada Tina????

....................


Tina masih terkejut dari tersedarnya tadi.Dikenali seorang lelaki dari sudut belakang tadi.Bersama pisau yang begitu menggerunkan dirinya. Tina amat lemah.Baru sahaja dia sedar berada di dalam satu bilik yang agak sederhana panjang tetapi kecil lebarnya.Ada satu kipas siling dan juga satu lampu pendaflour putih.Cahayanya sekadar memenuh ruang Tina dan lelaki tadi.


" Lepaskan aku!!!!," jerit Tina.


"Lepaskan aku laa....!!!," jerit Tina bersambung.Ia lagi kuat. Agar didengari mereka yang diluar.Penuh berharap...


" Jangan menjerit budak. Aku mahu menikmati saat ini...," balas lelaki tadi.


"Hahahahahahahahahaaa......," disertakan gelak yang galak dan tanpa menyembunyikan perasaan gembiranya.


" Aku mahu menikmati. Ini masanya.Budak gadis yang aku sememangnya dah lama tunggu saatnya. Tiada yang boleh menghalang lagi.Ini antara kau dan aku.Oh Tina...hehehe,"gelak kecil pula bersambungan sambil menolehkan mukanya. Tubuhnya sepenuhnya sudah dapat dilihat..


Tina makin terkejut. Ia salah menyangka orang.Dari belakang kelihatan sama.Namun,rupanya ia berlainan. Ini memang menambahkan kepalang.Ya Allah,ampunkan dosa-dosa aku!!!!


Tina, hanya Allah yang boleh selamat KAMU!!!!




Sunday, August 14, 2011

Berkahwin Sebagai Satu Usaha~




Alhamdulillah, sekali lagi dipanjatkan infiniti kesyukuran kepada Allah di atas segala nikmatNya yang telah dikurniakan kepada kami selama ini. Alhamdulillah, hari ini sudah memasuki minggu ketiga kami bersama melayari bahtera perkahwinan. Tiada apa yang diminta agar terus memohon doa sahabat sahabiah agar sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebaikan dalam perkahwinan ini juga. Ameeen!!~


Berkahwin Sebagai Satu Usaha


Masih teringat ketika ditanya kawan apakah perasaan untuk berkahwin? Saya jawab ketika itu;


" Alhamdulillah, ada perasaan gembira. Sama ada ia gembira yang sedikit atau tidak, ia bukan persoalan besar sangat. Tapi memang gembira. Gembiranya ia datang dari dalam. Malah lagi gembira kerana ini juga adalah satu usaha yang saya akan buat untuk menghampiri salah satu sunnah RasulAllah yang diamalkan. Berkahwin dan mendapatkan zuriat semampu mungkin dengan keadaan keluarga, insyaAllah. Andai kita sedar kahwin itu kerana Allah dan mahu mengikuti apa yang dibawa oleh baginda RasulAllah, insyaAllah kita akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kita boleh lakukan. Mencintai isteri dan keluarga kerana Allah serta mencontohi sayang dan romantisnya Baginda RasulAllah pada semua isterinya seperti sesuatu yang tidak kita dapat bayangkan. Begitu romantik, santai dan hikmah dalam mendidik kesemua isteri Baginda. Semestinya kita sebagai umatnya tidak salah untuk tiru dan amalkan dalam membentuk keluarga yang bahagia,insyaAllah," jawapan saya ikhlas...


Akhlaknya


Andai kita sedar menyimpan janggut itu seolah kita mendapat pahala sunnah RasulAllah 24 jam tanpa henti, ingatlah jua berjuang untuk mendapatkan keluarga yang mawaddah dan rahmah juga adalah salah satu sunnah RasulAllah yang membolehkan kita mendapatkan pahala 24 jam tanpa henti dari malam sampai ke malam seterusnya!!

p/s-selamat beramal dan tahniah ye!!~